Friday, 1 April 2016

Jangan Bertuhankan Cinta

Bila cintakan makhluk melebihi cinta kepada Allah maka ianya akan mengundang petaka. Orang yang mabuk cinta sanggup berbuat apa saja demi cinta. Makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi pun tak basah. Buang emak buang saudara kerana kekasih ia sanggup turutkan. Tahap yang kronik pula berikrar hidup dan matinya demi kekasih yang dicinta. Rela mati jika cinta mereka terhalang. Apakah kerana  begitu murninya cinta sehingga ia menjadi perkara keutamaan dalam hidup setiap insan? Tidak dinafikan cinta itu penting bagi manusia. Tanpa cinta pasti tiada bahagia dan tiada pengorbanan. Namun cinta itu ada peraturannya. Hargailah cinta dan patuhilah peraturannya. Jika peraturan cinta dipinggirkan cinta pasti akan tercemar dan bertukar dari nikmat yang paling indah menjadi racun pemusnah.

Awas! Talbis al-Iblis

Kerana menganggap cinta itu begitu suci maka mata manusia menjadi kabur dan terperangkap dalam Talbis al-Iblis atau tipudaya iblis. Atas nama cinta nan suci iblis menampakkan baik perbuatan maksiat dan mungkar. Atas sebab keramatnya cinta pergaulan tiada batasan lagi dan zina menjadi halal dalam kitab percintaan. Iblis memperlihatkan cinta itu begitu suci dan murni sehingga kelihatan hebat seperti tuhan yang perlu ditaati.

Cinta itu rezki

Cinta merupakan rezki dari Allah. Nabi SAW bersabda tentang isterinya Khadijah, "Aku telah direzkikan cintanya" (HR Muslim) . Apabila ada orang mencintai kita itu adalah rezki kerana bukan semua orang akan dicintai. Seseorang yang beristeri atau bersuami pun belum tentu mendapat nikmat dicintai atau mencintai. Kerana itu bersyukurlah jika kita dikasihi dan disayangi oleh isteri atau suami kerana itu adalah rezki. 

Cinta kerana Allah tanda sempurna iman

Jika benar seseorang itu mencintai anda kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, " Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerananya serta memberi kerana Allah  atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah imannya. " (HR Abu Dawud , disahihkan oleh Skeikh Albani)  Ini bermakna sesiapa yang bercinta bukan kerana Allah maka ia mempunyai iman yang rosak. Oleh itu jika ia mencintai seseorang tetapi yang dicintainya itu telah dipinang dan dinikahi oleh orang lain, maka sentiasalah mendoakan dan mengharapkan kebaikan bagi keduanya. Inilah tanda orang beriman. Walaupun tiada jodoh dengannya namun Allah telah menjanjikan iman yang sempurna dan syurga kepada orang yang cintakan seseorang kerana Allah.

Cinta bukan Tuhan

Cinta bukan tuhan oleh itu tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi. Apabila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan.Cinta bukan tujuan tetapi ianya hanyalah jalan menuju bahagia. Ia sebagai alat untuk mencapai tujuan. Rasa ingin mencintai dan dicintai dalam diri setiap manusia pada hakikatnya adalah untuk membolehkan manusia melaksanakan tujuan kita diciptakan. Bertuhankan cinta samalah seperti bertuhankan hawa nafsu. Apabila tujuan suci dan hakiki dipinggirkan timbullah tujuan keji dan ilusi sebagai pengganti akibat bertuhankan cinta.
              
           Oleh itu jangan bertuhankan cinta kerana ianya sekadar rezki yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Sebaliknya cintai seseorang kerana Allah kerana itu tanda kesempurnaan  iman dan dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

2 comments:

  1. Pada saya, bercinta dengan manusia tidak salah. Setia juga tidak salah. Asalkan jangan abaikan tanggungjawap pada Tuhan. Kalau dah nak rak, kawin jer...

    Itpun kalau mak ayah pula faham dan tidak meletakkan beban hantaran atau mas kahwin yang tinggi...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang benar saudara, apahal pun kembali kepada syarak selagi mematuhi syarak biarlah apa orang nak kata, kita tak ragu untuk meneruskan. Namun dalam masyarakat kita kadang-kadang adat melampau syarak.

      Terima kasih atas komen saudara.

      Delete