Monday 9 May 2016

Ciri-ciri Orang Yang Menang

Ada sebahagian orang apabila kita bergaul dengan mereka kita rasa tidak selesa kerana mereka suka membicarakan hal-hal yang negatif dan tidak mendorong kita ke arah perkara-perkakara yang positif. Manakala sebahagian orang pula  apabila kita bergaul dengan mereka kita rasa mereka orang yang menarik dan selalu mendorong ke arah yang positif. Mereka berfikiran  positif dan tinggi motivasinya serta membangunkan semangat kita untuk berubah. Mereka dari jenis orang yang tekun dan tabah, tidak mudah kalah. Merekalah orang-orang yang dipangil berpersonaliti menang atau "achiever". 

Apakah ciri-ciri orang yang menang?

KOMITED
Seorang yang bepersonaliti menang komited dengan tugas dan tanggungjawabnya. Ia menyatakan komitmennya dengan penuh keyakinan. Sentiasa mengambil peluang untuk meneroka bidang dan perkara baru. Ia sedia berhadapan dengan masaalah dan mencari jalan penyelesaiannya. Ia bekerja melepasi masa yang ditetapkan dengan menyudahkan kerjanya dengan hasil yang berkualiti. Sebaliknya personaliti kalah atau "loser" hanya suka membuat janji yang tidak pasti. Ia suka mencari jalan keluar dari permasaalahan dan tidak fokus kepada menyelesaikan masaalah. Bekerja mengikut masa yang ditetapkan dan hanya mementingkan kerja siap tanpa mengambilkira kualiti hasilnya. 
PERHUBUNGAN
Orang yang berpersonaliti menang mempunyai hubungan yang baik dengan ramai orang utama. Ini memudahkan ia menjalankan tugasnya kerana ada banyak kontek untuk dirujuk dan meminta pertolongan. Dalam persaingan dia tidak takut menghadapi kekalahan. Ia menghormati pemenang dan sedia belajar dari mereka. Dia akan berkata, "Saya bagus tetapi tidak sebagus yang saya inginkan". Apabila melakukan kesalahan dia akan berkata, "Saya salah" dan meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Sebaliknya personaliti kalah hanya berkawan dengan kelompoknya sahaja. Perhubungan yang tidak meluas ini menyukarkannya mendapat sokongan dan pertolongan dari pihak lain. Personaliti kalah tidak berani berhadapan dengan kekakalahan. Ia membenci pemenang dan cuba mendedahkan kelemahannya. Kerana itu ia akan berkata, "Saya tidak seteruk kebanyakan orang." Apabila melakukan kesalahan dia akan berkata, "Saya tidak bersalah". Walaupun ia meminta maaf, ia tetap mengulangi kesalahannya.

PENGURUSAN MASA
Orang yang berpersonaliti menang bijak mengurus masa. Walaupun mereka bekeja keras namun mereka mempunyai lebih masa. Ia mempunyai masa untuk menikmati ketenangan kerana berjaya mengimbangi masa bekerja, masa untuk peribadi dan keluarga. Sebaliknya personaliti kalah bekerja sambil lewa tetapi sentiasa tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan tugas. Ia bekerja dengan tergopoh-gapah kerana terpaksa menyiapkan tugas disaat akhir. Ini akibat kurang berdisplin dan tidak pandai mengurus masa.
NILAI MURNI
Orang yang berpersonaliti menang bersikap tenang dan lemah lembut apabila berhadapan dengan sesiapa yang berurusan dengannya. Ia lebih suka menerangkan secara menyeluruh duduk suatu perkara daripada sekadar memberi maklumbalas kepada sesuatu isu. Ia seorang pendengar yang baik sedia mendengar apa jua perkara yang dibangkitkan atau diterangkan. Ia berusaha mencari jawapan ke atas setiap permasaalahan. Ia tidak akan menolak mentah-mentah permintaan tetapi akan memberi cadangan altenatif kepada penyelesaian sesuatu masaalah. Ia juga bersedia melakukan tugas dan kerja sukarela. Sebaliknya personaliti kalah sering gusar dan bersikap kasar apabila berhadapan dengan sesiapa yang berurusan dengannya. Ia tidak akan menerangkan dan hanya akan memberi maklumbalas apabila diminta. Ia hanya suka orang lain mendengar apa yang dibicarakannya dan tidak tahan mendengar orang lain berbicara. Dalam mencari penyelesaian ia cepat berputus asa dan hanyak akan mencadangkan satu jalan penyelesaian yang muktamat. Baginya tiada tugas yang boleh dilaksanakan secara percuma.
KEPIMPINAN DIRI
Seorang yang berpersonaliti menang menonjolkan dirinya dengan melihat dan turun padang. Dengan cara itu ia mendapat maklumat dari sumber pertama (primary source) bukan sumber kedua (secondary source). Ia tahu situasi sebenar sesuatu perkara dan dimana kekuatan dan kelemahannya. Tabah dan tekun adalah ciri paling kuat bagi seorang berpersonaliti menang. Ketabahan dan ketekunan menyebabkan ia menjadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya personaliti kalah lebih suka menunggu dan mengharapkan orang lain yang melihat. Hasilnya ia memperolehi maklumat dari sumber kedua yang tidak tejamin ketepatannya. Apabila gagal ia akan merasa sangat kecewa dan sangat sukar untuk bangun dari kegagalannya.
             Demikian sebahagian ciri-ciri utama personaliti menang yang patut dimiliki jika mahu memajukan diri dalam apa jua bidang. Jika mahu maju seseoang perlu komited bukan sekadar batuk ditangga. Ciri yang paling penting adalah tabah dan tekun tidak mudah kalah. Berupaya bangkit walau beberapa kali gagal. Ciri ini tidak semestinya dimiliki oleh orang yang berpelajaran tinggi atau berbakat, kerana banyak penemuan dan ciptaan berjaya dihasilkan oleh mereka-mereka yang tidak mempunyai akademik yang hebat. Mereka berjaya kerana sifat tabah dan tekun.