Thursday 28 April 2016

Katakan "Tidak"

Jika kita tidak mahu membebankan fikiran kita dan ketenangan fikiran kita, kita mestilah mampu untuk berkata "tidak" bila mana perlu. Berkata "ya" sedangkan kita bermaksud "tidak" akan mengheret kita kepada kemarahan, kesedihan dan berkecil hati. Kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri mengapa kita sering diminta oleh orang lain untuk membantu atau berbuat sesuatu sedangkan ramai lagi yang boleh berbuat demikian? Mungkin sebab kita seoang yang lembut dan tidak mudah mengatakan "tidak" atas permintaan orang lain. Mungkin kita merasa diri kita tidak popular dan disisihkan jika mengatakan "tidak". 
            Inilah kesilapan besar kita kerana apabila kita tidak sanggup mengatakan "tidak" atas semua permintaan orang lain kita menjuruskan diri kita kepada beban yang tidak sepatutnya kita tanggung. Ada orang yang suka menerima beban tugas yang banyak dan akhirnya gagal menjalankan tanggung jawab diberi dengan sempurna kerana terlalu terbeban. Akibatnya mereka bukan sahaja tidak berterima kasih kepadanya malah meletakkan sebab kegagalan itu ke atasnya. Keengganan mengatakan "tidak" menyebabkan seseoang itu mengambil tanggung jawab melebihi dari keupyaannya dan gagal menguruskannya dengan baik.
           Kita berhak memilih jalan kita sendiri dan tidak boleh dipaksa ke arah lain yang kita tidak setuju, kecuali jika kita tidak mempunyai pilihan. Kita tidak perlu merasa bersalah kerana mengatakan "tidak" kepada sesuatu yang kita tidak bersetuju. Kita perlu mengatakan yang benar dan tidak seharusnya bepura-pura demi menjaga hati orang lain. Tidak guna menipu diri sendiri. Nampak hebat di mata orang lain tetapi di dalam jiwa kita memberontak. 
           Untuk bergerak ke arah tertentu maka kita perlu mengetepikan arah lainnya. Niat yang jelas untuk melakukan tindakan dapat menghilangkan kelesuan semangat. Kenal pasti apakah keutamaan kita kerana ianya akan menjelaskan matlamat kita dan tenaga kita. Oleh itu kita perlu mengatakan "tidak" kepada perkara-perkara yang bukan keutamaan kita. Bila kita mengatakan "ya" kepada sesuatu yang bukan keutamaan, kita mungkin akan kehilangan fokus kepada pekara-perkara utama yang patut kita laksanakan. Akhirnya kita berjaya melaksnakan perkara-perkara kurang utama dengan meninggalkan perkara yang utama.
             Yang utama adalah kehidupan kita sendiri. Kawallah kehidupan kita, hidup dengan lebih bermakna dan buangkan rasa perlu menjaga hati orang lain sehingga tak berupaya mengatakan "tidak". Jika kita cuba mengambil hati orang lain dengan mengatakan "ya" sedangkan hati kita mengatakan "tidak" kita sebenarnya tidak berlaku jujur kepada sesiapa pun, terutama diri sendiri kerana kita tidak gembira. Jika kita tidak sejuju katakan sahaja "tidak" dengan sopan dan dengan memberi cadangan bagi menyelesaikan masaalah yang cuba di atasi.

Monday 18 April 2016

Bagaimana Memperolehi Nikmat Bekerja


Bekerja adalah fitrah manusia dan merupakan aktiviti yang sangat penting dalam hidup manusia. Hanya orang gila atau pemalas sahaja yang tidak mahu bekerja Bila seseorang itu bekerja ia akan merasa hidupnya bererti dan penuh nikmat. Menurut pandangan seorang pemikir Barat William Faulkner, " Satu perkara yang membolehkan manusia tekun melakukannya selama lapan jam sehari, hari demi hari ialah pekerjaan. Anda tidak boleh makan selama lapan jam sehari begitu juga minum, begitu juga berasmara. Tetapi pekerjaan boleh dilakukan sepanjang lapan jam sehari."  Ini disebabkan melalui pekerjaan manusia mendapat rezki, mendapat sahabat dan ruang untuk manusia mencurah buah fikiran dan daya ciptanya.Dengan bekerja ia mendapat kelazatan dan kemeriahan dalam hidup.

Bekerja dalam bidang yang diminati

Bekerja dalam bidang yang kita minati akan memberi motivasi yang tinggi kepada diri seseorang itu. Ini sebagaimana yang dirasai oleh mendiang Steve Jobs, pengasas Apple, "Bila anda bekerja dalam bidang yang anda minati anda tidak perlu paksaan. Visi anda akan menarik anda (untuk bersemangat bekerja)". Bekerja dalam bidang yang kita minati akan menghadirkan semangat atau ghairah yang membuat seseorang itu meminati pekerjaan. Kerana itu ahli falsafah China Conficius menyarankan, "Bekerjalah dengan cinta maka seumur hidup anda tidak perlu lagi (merasa) perlu bekeja." Bila kerja telah dicintai maka kerja bukan lagi satu beban tetapi ia menjadi seperti aktiviti santai yang menyeronokkan.  Oleh itu bekerjalah kerana minat, nanti kerja pun nikmat.

Memotivasi diri untuk nikmat bekerja

Nikmat bekerja tidak semestinya terbit kerana kita bekerja dalam bidang yang kita minat sahaja. Faktor-faktor lain seperti kenaikan pangkat dan gaji juga boleh memberi kepuasan dalam bekerja. Justeru bekerja jangan sekadar untuk mendapatkan gaji sahaja kerana motivasinya rendah. Sasarkan diri kita untuk menjadi yang terbaik dalam pekerjaan kita. Untuk menjadi yang terbaik kita perlulah memberi komitmen dan sumbangan yang paling baik pada majikan kita. Dengan cara ini kita akan menjadi aset penting kepada majikan dan bukan liabiliti kepada majikan. Malah mungkin akan diberi peluang kenaikan pangkat dan gaji. 
          Walau apa pun jawatan yang kita pegang kita harus bersyukur kerana mempunyai pekerjaan. Ramai yang menginginkan posisi yang kita pegang yang sekarang menjadi milik kita. Bukankah ini nikmat yang perlu kita syukuri? Rasa ketidakpuasan hati timbul kerana kita tidak bersyukur. Kita mungkin tidak bepuas hati dengan suasana tempat kerja kita atau dengan pegawai atasan kita, namun kita tetap bersyukur kerana memperolehi nikmat dapat bekerja ditempat kita bekerja sekarang. Ingatlah nikmat ini dan besyukurlah agar Allah menambah nikmat yang kita kecapi.
           Bekerja adalah nikmat kerana ianya adalah suatu ibadah. Bekerja dalam rangka kita mencari rezki yang halal dan memberi nafkah anak dan keluarga adalah merupakan suatu ibadah. Oleh itu kerja tidak boleh dilakukan dengan sikap asal buat atau sambil lewa sahaja. Harus diingat bahawa ibadah itu untuk Allah dan sangat tidak wajar jika kerja itu dilakukan secara sambil lewa sahaja. Bila kita menyedari bahawa kerja itu ibadah ianya akan menambah motivasi kita untuk kita bekerja dengan serius, mematuhi syara' dan dengan niat yang ikhlas. Sebagaimana kita merasa nikmatnya khusyu' dalam solat maka bila bekerja sebagai ibadah kita akan merasa nikmatnya bekerja mematuhi syariat.

Nikmatilah kerja walau apa pun posisinya dengan niat kerana Allah dan mematuhi suruhan dan larangannya. Bersyukurlah kerana Allah akan menambahkan nikmat bagi orang yang besyukur. Bekerjalah dengan menyedari bahawa ianya satu ibadah, sehingga seluruh kehidupan kita adalah dalam ibadah kepada Allah.

Thursday 7 April 2016

Bagaimana anda berfikir begitulah anda hidup





Kalau kita perhatikan sering kita dapati bahawa orang yang gagal atau hidup tidak bahagia biasanya mempunyai persepsi negatif tentang dirinya sendiri. Kebanyakan mereka menganggap diri mereka telah ditakdirkan tidak beupaya dan serba kekurangan sehingga mereka tidak mampu berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Sebenarnya kitalah yang menyebabkan diri kita jadi begitu kerana sentiasa memikirkan yang negatif tentang diri kita sendiri. Menurut Dale Carnegie, sebenarnya fikiran kitalah yang membentuk peribadi kita, dan arahan fikiran kita adalah faktor utama yang membentuk perjalanan hidup kita.
            Jika kita fikirkan kita boleh tentu kita boleh melakukan. Sebaliknya dari awal lagi kita fikirkan kita lemah dan tak berdaya maka kita akan kecundang sebelum berjuang. Orang yang berfikiran negatif begini sentiasa merelakan keadaan dirinya tanpa ingin berusaha untuk berganjak ke arah yang lebih baik. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, " Sesiapa yang rela maka baginya kerelaan, dan sesiapa yang benci maka baginya kebencian." (HR Termizi). Ini bermakna kalau seseorang itu tidak mahu berusaha merubah nasibnya dan merelakannya maka itulah nasibnya.
                Pandangan ini juga diperkatakan oleh seorang ahli motivasi Ranjit Singh, dalam bukunya 'Mempertingkatkan Harga Diri'  bahawa, anda akan menjadi apa yang anda paling kerap fikirkan. Apa yang lazim anda fikirkan akhirnya terpahat dalam minda separa sedar anda. Apa-apa yang dipercayai sebagai benar oleh minda sedar anda, minda separa sedar akan menerimanya dan membawanya ke tahap realiti. Minda separa sedar anda akan mempercayai apa sahaja yang anda katakan kepadanya walaupun perkara itu tidak benar. Minda separa sedar tidak berupaya mena'kul dan berfikir dengan sendiri. Jika anda berfikiran negatif bermakna negatiflah hasilnya.                                                                  Oleh itu kita perlu sentiasa berfikiran positif dalam hidup kita. Inilah kekuatan dalaman yang perlu ada  dalam diri kita. Menurut Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad, seorang ahli motivasi faktor kekuatan dalaman sangat penting dalam diri seseoang kerana ia menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang itu berfikiran positif,  perkara seperti  percakapan, perasaan  dan emosi akan positif maka semua tidakbalas dalaman yang dilakukan oleh tubuh badan akan memberi kesan kepada dunia luaran. Misalnya jika kita memberi senyuman, orang akan senyum kepada kita, jika kita marah, orang akan marah kepada kita. Berdasarkan keterangan ini jelas apa yang kita fikirkan negatif atau positif akan membentuk kehidupan dalam dan luaran kita.
                   Kesimpulannya umumnya kejayaan ialah satu keadaan minda  dimana anda mengawal magnitud kejayaan anda dengan mengawal kepercayaan anda. Berfikiran positiflah jika ingin berjaya dan bahagia.

Friday 1 April 2016

Jangan Bertuhankan Cinta

Bila cintakan makhluk melebihi cinta kepada Allah maka ianya akan mengundang petaka. Orang yang mabuk cinta sanggup berbuat apa saja demi cinta. Makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi pun tak basah. Buang emak buang saudara kerana kekasih ia sanggup turutkan. Tahap yang kronik pula berikrar hidup dan matinya demi kekasih yang dicinta. Rela mati jika cinta mereka terhalang. Apakah kerana  begitu murninya cinta sehingga ia menjadi perkara keutamaan dalam hidup setiap insan? Tidak dinafikan cinta itu penting bagi manusia. Tanpa cinta pasti tiada bahagia dan tiada pengorbanan. Namun cinta itu ada peraturannya. Hargailah cinta dan patuhilah peraturannya. Jika peraturan cinta dipinggirkan cinta pasti akan tercemar dan bertukar dari nikmat yang paling indah menjadi racun pemusnah.

Awas! Talbis al-Iblis

Kerana menganggap cinta itu begitu suci maka mata manusia menjadi kabur dan terperangkap dalam Talbis al-Iblis atau tipudaya iblis. Atas nama cinta nan suci iblis menampakkan baik perbuatan maksiat dan mungkar. Atas sebab keramatnya cinta pergaulan tiada batasan lagi dan zina menjadi halal dalam kitab percintaan. Iblis memperlihatkan cinta itu begitu suci dan murni sehingga kelihatan hebat seperti tuhan yang perlu ditaati.

Cinta itu rezki

Cinta merupakan rezki dari Allah. Nabi SAW bersabda tentang isterinya Khadijah, "Aku telah direzkikan cintanya" (HR Muslim) . Apabila ada orang mencintai kita itu adalah rezki kerana bukan semua orang akan dicintai. Seseorang yang beristeri atau bersuami pun belum tentu mendapat nikmat dicintai atau mencintai. Kerana itu bersyukurlah jika kita dikasihi dan disayangi oleh isteri atau suami kerana itu adalah rezki. 

Cinta kerana Allah tanda sempurna iman

Jika benar seseorang itu mencintai anda kerana Allah maka bergembiralah kerana kalian benar-benar mahukan syurga dan tidak kisah dengan siapa berakhirnya hubungan ini. Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, " Barangsiapa yang mencintai kerana Allah dan membenci kerananya serta memberi kerana Allah  atau menghalang kerana Allah maka telah sempurnalah imannya. " (HR Abu Dawud , disahihkan oleh Skeikh Albani)  Ini bermakna sesiapa yang bercinta bukan kerana Allah maka ia mempunyai iman yang rosak. Oleh itu jika ia mencintai seseorang tetapi yang dicintainya itu telah dipinang dan dinikahi oleh orang lain, maka sentiasalah mendoakan dan mengharapkan kebaikan bagi keduanya. Inilah tanda orang beriman. Walaupun tiada jodoh dengannya namun Allah telah menjanjikan iman yang sempurna dan syurga kepada orang yang cintakan seseorang kerana Allah.

Cinta bukan Tuhan

Cinta bukan tuhan oleh itu tidak semua kehendak cinta mesti kita patuhi. Apabila cinta melanggar batas-batas rasional, nilai-nilai kemanusiaan dan paling utama melanggar syariat, kehendaknya mesti dihentikan.Cinta bukan tujuan tetapi ianya hanyalah jalan menuju bahagia. Ia sebagai alat untuk mencapai tujuan. Rasa ingin mencintai dan dicintai dalam diri setiap manusia pada hakikatnya adalah untuk membolehkan manusia melaksanakan tujuan kita diciptakan. Bertuhankan cinta samalah seperti bertuhankan hawa nafsu. Apabila tujuan suci dan hakiki dipinggirkan timbullah tujuan keji dan ilusi sebagai pengganti akibat bertuhankan cinta.
              
           Oleh itu jangan bertuhankan cinta kerana ianya sekadar rezki yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Sebaliknya cintai seseorang kerana Allah kerana itu tanda kesempurnaan  iman dan dijanjikan syurga oleh Allah SWT.