Friday 21 August 2015

Bagaimana berbual mesra

Bila menghadiri sesuatu majlis bagi sesetengah orang amat sukar untuk bertegur sapa dan bermesra dengan tetamu yang tidak kenali. Akibatnya suasana menjadi senyap kerana tiada perbualan antara tetamu yang datang. Ini mungkin disebabkan masing-masing berprasangka tetamu itu sombong atau tidak mesra. Terdapat beberapa petua untuk mengatasi masaalah ini iaitu:-
  • Salam pengenalan. Pertama hapuskan prasangka buruk kita terhadap orang lain.  Apabila sudah bertemu mulakanlah dengan salam pengenalan iaitu pertama hulurkan tangan bersalaman. Tunjukkanlah wajah yang ceria dan sentiasa tersenyum tanda mesra. Terus bertanya soalan pembuka bicara seperti, " Encik dari mana?" atau "Encik saudara tuan rumah ke?". Bila kelihatan kemesraan mula terjalin bolehlah kita memperkenalkan diri dan bertanya nama tetamu itu. Seterusnya bolehlah kita melanjutkan dengan perbualan.
  • Perbualan. Bila kita sudah memperoleh sedikit maklumat mengenai tetamu tersebut atau memang kita sudah tahu latar belakangnya kita mulakanlah bicara dengan topik umum yang dia tahu dan minat. Dengan cara itu perbincangan akan menjadi lebih rancak dan banyak topik yang boleh dibicarakan. Elakkan berbual isu-isu sensitif seperti isu politik, agama dan kaum. Tambahan pula jika kita berlainan pandangan dengannya, perbualan akan menjadi tegang dan kemesraan akan hilang. Begitu juga elakkan bertanya atau berbual mengenai perkara yang terlalu peribadi kerana kebanyakn orang tidak suka isu peribadinya disentuh. Perkara peribadi selalu membuat seseorang tesinggung. Jika tetamu itu dari kaum atau bangsa yang berbeza dari kita fahami dan hormatilah budaya mereka. Mungkin apa yang baik diperkatakan dalam budaya kita, tidak baik bagi bangsa mereka. Janganlah terlalu banyak celoteh dan banyak cakap kerana ini akan membuat tetamu kita rasa tidak selesa. Berilah ruang untuk dia bercakap agar perbualan menjadi perbualan dua hala bukan "one man show". Sesekali selitkan kata-kata pujian yang ikhlas kepada tetamu tersebut dan ini akan membuat dia berasa besar hati dan menghormati kita. Juga selitkan senda gurau yang akan membuat tetamu merasa mesra seolah-olah telah lama mengenali kita. Pastikan kita bercakap dengan fasih dan jelas serta dapat difahami olehnya.
  • Sikap. Semua yang kita lakukan di atas akan rosak jika kita bersikap sombong dan meninggi diri dengan menunjukkan kita lebih hebat dari tetamu itu. Sikap ini akan menjadi tembok penghalang bagi tetamu itu untuk berbual mesra dengan kita. Kita juga harus memahami ego tetamu tersebut. Kalau ia berpangkat Dato' atau seorang pegawai tinggi hormatilah kedudukannya dan jangan buat ia seperti kawan-kawan biasa kita. Namun kita jangan pula terlalu merendah diri sehingga terlalu banyak pekara yang kita khuatirkan untuk dibicarakan. Akhirnya tidak banyak yang dapat kita bicarakan. Semasa berbicara tunjukkanlah air muka yang ceria. Pandang semasa berbicara dan jangan buat pandang tak pandang kerana ini akan menyinggung perasaan tetamu itu. Tunjukkan rasa minat dengan perbualan dengan gerak badan, mata dan air muka bagi menunjukkan kita memberi perhatian. 
Demikianlah sebahagian petua yang boleh kita cuba jika ingin berbual mesra dengan tetamu atau orang yang kita tidak kenal. Sangatlah buruk jika kita duduk bersebelahan dengan seseorang dalam satu majlis tanpa bertegur sapa.

Thursday 13 August 2015

Mengubat Hati




Seperti badan, hati juga boleh menjadi sihat, sakit atau mati. Hati yang sihat adalah hati yang ada iman, cenderong beramal soleh dan tidak suka amalan dosa. Hati yang sakit cenderong kepada amalan dosa, berat untuk beamal soleh tetapi masih ada iman. Hati yang mati hati yang tidak lagi mahu mendengar nasihat seperti dimiliki oleh Firaun dan Abu Jahal. Seperti badan yang sakit, hati yang sakit juga perlu dirawat dan diubati. Oleh itu ia pelu melalui proses penyembuhan ia itu dengan cara:

Didiagnosis 
Jika badan tidak sihat kita akan berjumpa doktor untuk didiagnosis. Bagi hati yang dihinggapi penyakit hati kita perlu berjumpa dengan orang yang alim dan soleh bagi mengenalpasti penyakit hati dan sejauh mana parahnya. Mereka dapat menilai sejauh mana tahap lemahnya hati kita dan boleh memberi saranan cara mengatasinya. Apa yang penting jangan merasa malu dan perlu bersabar terhadap apa jua hasil pemerhatian dan saranan mereka.

Preskripsi
Bila doktor mendiagnosis kita ia akan mengeluarkan preskripsi bagi mendapatkan ubat bagi menyembuhkan penyakit kita. Begitu juga bila kita berjumpa orang yang alim dan soleh mereka akan memberi saranan bagi penyembuhan penyakit hati kita. Contoh saranan atau preskripsi bagi penyakit hati kita adalah sebagaimana yang disarankan oleh seorang ulama Ibrahim Al-Khawas yang menyatakan ubat hati itu lima perkara iaitu (i) Baca Quran dan maknannya (ii) Solat malam (Qiamullail)  (iii) Berkumpullah dengan orang-orang soleh (iv) Perbanyakkan puasa  (v) Zikir malam berpanjanglah. Preskripsi ini bukan untuk dibaca tetapi untuk diamalkan, baharulah ia akan menyembuhkan penyakit hati.

Dikuarantin
Jika sakit kita pada tahap yang memerlukan pemerhatian doktor kita mungkin perlu dikuarantin atau ditahan dalam wad. Sama juga dengan orang yang hatinya berpenyakit kadang-kadang perlu beruzlah sementara untuk menjalani proses pemulihan hati. Dalam tempoh inilah ia perlu mempertingkatkan ilmu dan amal agar menjadi kemas. Menjauhi sebarang pengaruh yang mengganggu proses pemulihan yang sedang dijalani. Dengan cara ini proses pemulihan akan berjalan lancar tanpa gangguan.

Pengubatan
Setiap ubat adalah pahit, begitu juga ubat hati. Untuk sembuh kita perlu sabar dan istiqamah dalam usaha untuk mengubati penyakit hati. Sebagaimana kita perlu mengambil ubat secara berterusan untuk mengubati badan yang tidak sihat maka begitu juga kita perlu mungubati hati kita secara istiqamah tanpa jemu.

Pencegahan
Setelah dirawat doktor tentulah kita bertekad tidak mahu lagi mendapat penyakit semula setelah sembuh. Hati yang sudah pulih juga perlu dijauhkan dari unsur-unsur yang boleh membawa kepada berulangnya penyakit hati. Hati yang telah bertaubat tidak sepatutnya terjebak dengan dosa-dosa yang akan merosakkan hati. Mencegah lebih baik dari mengubati. Oleh itu untuk mengelakkan pengaruh buruk itu kita sepatutnya sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berada dalam majlis-majlis yang soleh seperti majlis-majlis ilmu.

Amal cara hidup sihat
Badan akan menjadi sihat apabila seseorang itu mengamalkan cara hidup sihat. Cara hidup sihat adalah melaui permakanan seimbang, bersenam dan menjauhi amalan hidup yang merosakkan seperti penagihan dadah dan alkohol.  Hati juga akan menjadi sihat apabila mengambil jalan hidup yang benar mengikut sunnah.  Hati juga perlu seimbang. Iman dan amal, Ibadah dan akhlak, serta ibadah khusus dan ibadah umum perlu seimbang. Menumpu kepada ibadah semata dengan mengabaikan tanggung jawab mengurus kehidupan adalah tidak seimbang dan merosakkan hati. Hati juga perlu dilatih dan diuji. Misalnya untuk meningkatkan tawadhu sesekali kita buat kerja-kerja seperti mencuci tandas, untuk mengikis sifat ego. Untuk mengurangkan nafsu yang haloba kita perbanyakkan berpuasa.Inilah antara contoh senaman hati yang boleh kita amalkan. Akhirnya jauhilah anasir-anasir perosak hati dari kekeliruan keasyikan dunia dan ajaran-ajaran berwajah agama yang tidak bersumber dari nas yang sahih. 

Doa 
Hebat mana pun kita segalanya terletak dibawah kuasa Allah. Oleh itu kita wajib berdoa agar sentiasa diberi petunjuk di jalan yang lurus. Sifat terlalu optimis tanpa meletakkan pegantungan kepada Allah mungkin akan me jerumuskan kita ke jalan yang sesat seperti yang dilalui oleh Iblis yang setelah begitu lama mengabdi kepada Allah akhirnya engkar dan ditempatkan dalam neraka.