Friday 17 June 2016

10 Jenis Pembaziran

Membazir adalah perbuatan yang dikutuk oleh Islam. Sehingga seorang pembazir dianggap sebagai saudara syaitan. Anda dikira membazir sekiranya anda menggunakan atau membelanjakan sesuatu melebihi had keperluan anda. Misalnya jika anda mampu makan satu hidangan makanan tetapi mengambil lebih dari keperluan menyebabkan banyak lebihan yang tidak dapat dihabiskan dan dibuang begitu sahaja maka anda telah melakukan pembaziran. Sedangkan kita tahu sebahagian manusia di bumi ini yang hanya dapat makan sehari atau dua hari sekali sahaja. Namun pembaziran bukanlah hanya berbentuk material malah berlaku dalam hal-hal yang tidak berbentuk mateial. Bagi ulama salaf Ibn Qayyim Al-Jawziyya terdapat sepuluh (10) pembaziran yang dilakukan oleh manusia samada kaya atau miskin iaitu:

(1)  Ilmu

Orang berilmu dikatakan membazir apabila ilmunya tidak bermanafaat bagi dirinya dan orang lain. Ia tidak beramal dengan ilmu . Tahu beribadah tetapi mengabaikan ibadah. Melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang yang jahil. Lokek ilmu dan enggan mengajarkan kepada orang lain kerana merasa megah dengan ilmu yang dimiliki. Membiarkan orang-orang tidak berilmu menjadi imam dan guru memimpin masyarakat. Sedangkan dia sekadar melihat dan membiarkan masyarakat sesat kerana mengikut orang yang tidak berilmu. 

(2) Amalan

Orang beramal adalah membazir apabila melakukannya tidak dengan ikhlas. Walau dilakukan dengan banyak tetapi tidak tulus keana Allah maka ianya menjadi sia-sia. Amalannya kosong tanpa pahala. Oleh itu setiap amal harus dielakkan dari riak atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan bertujuan untuk menjadi masyhur atau mendapat sanjungan manusia. Tetapi setiap amalan hanya bernilai bila ia bertujuan mendapatkan keredhaan Allah.

(3)  Kekayaan

Orang kaya membazir apabila kekayaan dibelanjakan ke jalan yang tidak mendekatkan diri kepada Allah. Kita bazirkan duit kita, status kita dan kuasa kita kepada perkara-perkara yang tiada bermanafaat untuk dunia dan akhirat. Kekayaan yang dikumpul dan dibelanjakan untuk nafsi-nafsi semata tidak akan menyumbangkan pahala di akhirat. Malah apabila seseorang mati walau berjuta hartanya tidak akan dapat dibawa bersama melainkan jika dibelanjakan dijalan Allah, pahala yang diperolehi dapat dibawa ke akhirat.

(4) Hati 

Orang memiliki hati membazir kerana hatinya kosong dari cinta kepada Allah dan tidak rindu untuk bertemu dengannya di Akhirat. Hati yang membazir juga adalah hati yang tidak memiliki ketenangan dan kekhusyukan. Ini adalah kerana hati telah dipenuhi dengan cinta dunia dan tunduk kepada nafsu. 

 (5) Tubuh badan

Tubuh badan membazir kerana kita tidak gunakan untuk beribadah dan berbakti kepada Allah. Semasa sihat tidak ingat kepada Allah tetapi apabila sakit baru ingat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ada yang tidak mensyukuri kesihatan yang diberi dan mengabaikannya dan akhirnya ditimpa berbagai penyakit. Ada yang terlalu menjaga badan untuk menjadi kuat dan untuk mendapat bentuk badan yang menarik tetapi tidak berdaya untuk beribadah.

(6)  Cinta

Pemilik cinta membazir kerana menumpahkan emosi cintanya kepada yang lain selain Allah. Cintakan selain Allah melebihi dari mencintai Allah. Misalnya bila pasangan bercinta atas nama cinta sanggup melanggar batas-batas larangan Allah mereka sebenarnya meletakkan cinta mereka melebihi dari cinta mereka kepada Allah. Ini adalah pembaziran cinta yang dimurkai Allah.

(7)  Masa

Masa yang digunakan adalah membazir bila tidak digunakan dengan betul untuk memperbaiki amal yang lepas dengan mengerjakan amalan yang baik. Masa yang berbaki tidak dapat kita jangkakan. Oleh itu tidak menggunakannya dengan betul adalah satu pembaziran dan tidak dapat ditebus. Kerana itu Al Quran dalam surah Al-Asr menyatakan bahawa manusia ini sentiasa dalam kerugian. Hanya mereka yang beiman dan yang memenuhi masa dalam kehidupan dengan amalan yang soleh yang beruntung.

(8) Akal

Kebijaksanaan akal kita adalah membazir jika digunakan kepada yang tidak berfaedah dan merugikan individu dan masyarakat. Akal jika tidak digunakan untuk memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama ianya adalah suatu pembaziran yang besar. Sebenarnya semua perkara berkaitan dengan agama ada kaitannya dengan kehidupan kita di dunia dan semua kegiatan hidup kita di dunia ada kaitannya dengan agama.


(9) Khidmat

Adalah satu pembaziran bila khidmat kita berikan kepada seseorang yang tidak membawa kita kepada Allah atau memberi faedah di dunia. Tambahan pula apabila kita memberi khidmat kepada pihak yang menyumbang kepada maksiat atau menentang ajarana Islam. Ianya khidmat yang membazir dan sia-sia lagi dimurkai Allah.


(10) Zikir

Zikir akan menjadi sia-sia dan membazir jika ia tidak memberi kesan kepada diri dan hati kita. Jika zikir banyak tetapi hati masih penuh dengan dendam kesumat, lidah basah dengan zikir namun buat benda yang dilarang Allah juga tak pernah berhenti atau zikir tak kering dibibir namun mulut tak lepas dari mengata dan mengumpat orang. Ini semua termasuk dalam zikir-zikir yang membazir. Lidah yang  memuji dan mengagungkan Allah adalah lidah yang sama melakukan maksiat.

Dari keterangan ini dapatlah kita fahami bahawa  pembaziran itu bukan berlaku dalam soal wang ringgit sahaja malah meliputi zahir dan batin. Sepuluh jenis pembaziran yang disebut oleh  Ibn Qayyim Al-Jawziyya sering berlaku dalam hidup kita samada secara sedar atau tanpa kita sedari. Mungkin inilah sebabnya mengapa walaupun banyak kita beramal tetapi ianya tidak memberi kesan yang banyak kepada perubahan diri kita. Justeru kita pelu menghapus pembaziran ini jika ingin menuju kearah pembentukan insan yang soleh.