Saturday 12 September 2015

Bahaya Masa Lapang




Bagaimana kita menguruskan masa lapang kita adalah sangat penting. Ini adalah kerana waktu lapang adalah ruang kosong dalam hidup kita yang boleh diisi dengan apa sahaja, samada kebaikan atau kemaksiatan. Samada disi dengan hak atau yang bathil. Jika salah urus, masa lapang akan dipenuhi dengan perkara lagha dan dosa. Dalam hal ini Imam Shafi'i telah berpesan,

"Kalau engkau tidak menyibukkan dirimu dengan yang hak, maka ia akan sibuk dengan yang bathil"

Masa yang dipenuhi dengan perkara yang bathil akan menjurus kepada lemahnya iman dan jiwa menjadi kosong. Umpama sebuah gelas yang kosong jika tidak diisi dengan susu yang berkhasiat, ianya mungkin diisi dengan arak yang memabukkan. Demikian jiwa manusia bila ia kosong, ianya akan diisi dengan pelbagai perkara negatif seperti rasa takut, cemas, dengki, cemburu, dendam dan sebagainya. Unsur-unsur yang merosakkan kebahagiaan diri.
            Justeru kita harus berwaspada masa lapang walau pun suatu kesempatan untuk kita berehat atau bersantai namun ianya haruslah dalam batas-batas syarak agar kita tidak tersasar mengisi masa lapang kita dengan perkara bathil dengan meninggalkan yan hak. Apabila kita putus dari mengingati Allah bererti terdapat ruang kosong dan syaitan dengan mudah menyelinap masuk di ruang kosong tersebut dan menjalankan dakyahnya. Kesimpulannya walaupun kita bersantai dan berehat di masa lapang namun kita tetap menjaga hubungan kita dengan Allah SWT.

Tuesday 8 September 2015

Kunci Kebaikan Hati




Kebaikan hati seseorang itu ada kuncinya. Kuncinya kecil iaitu "Rasa Syukur". Kunci ini hanya dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Ini adalah kerana hanya orang yang benar-benar beriman sahaja yang meletakkan pergantungannya kepada Allah. Kerana itu hati mereka dipelihara Allah dan dikurniakan kebahagiaan. Bersabda Rasulullah SAW;

"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya."

(H.R. Muslim)


Bersabda Rasulullah SAW;

"Hati yang bersyukur, lisan yang mengingat Allah dan isteri yang baik akan menolong kamu dalam urusan hidupmu dan agamamu adalah harta terbaik yang dimiliki manusia"

(H.R. Thirmizi)

Justeru itu marilah kita mencari kunci kecil ini yang merupakan kunci bagi kebaikan hati iaitu "Rasa Syukur". Untuk memperolehnya perlulah kita mempertingkatkan dan memantapkan iman agar rasa syukur itu benar-benar kita miliki. Dengan kunci ini kita akan dapat membuka pintu-pintu kebahagiaan dan mengunci pintu-pintu kedukaan.