Sunday 4 February 2018

Mengurus Kemarahan


Marah adalah sifat yang menjadi fitrah kehidupan manusia. Marah penting kerana dengan adanya rasa marah manusia bangkit membela maruah dan mempertahankan  haknya. Kerana marah rakyat sesuatu negara menuntut kemerdekaan dan keadilan. Tetapi jika marah tidak dikawal manusia akan mengamuk dan mencederakan orang lain. Marah jika tidak dikawal perkara kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan secara aman akan menjadi punca permusuhan yang tidak berkesudahan. Oleh itu marah hendaklah diurus dengan baik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Cegah marah

Rasa cepat marah atau baran perlu dicegah kerana jika tercetus akibatnya buruk. Ianya akan mengakibatkan permusuhan dan dendam. Langkah-langkah yang boleh diambil ke arah itu antaranya

(a) Untuk mendapat kekuatan behadapan dengan tekanan seseorang perlu membuat latihan bebas tekanan. Ini boleh dilakukan dengan banyak bermeditasi dan memperbanyakkan zikir. Dengan cara ini jiwa akan lebih kuat dan tenang berhadapan pelbagai tekanan. Zikir boleh juga dalam bentuk melihat kebesaran Allah dengan memerhatikan keindahan alam ciptaanNya. Kesannya jiwa akan menjadi besar dan orang berjiwa besar tidak mudah melenting dengan perkara-perkara titik bengik.  Terdapat juga program-program motivasi yang boleh diikuti bagi mengawal rasa marah dan melatih diri secara praktikal mengurus tekanan.
(b) Jauhkan diri dari provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan. Jauhi golongan yang suka menyindir, memperleceh dan bergurau melampaui batas. Elakkan berdebat yang matlamatnya untuk menang dan bukan mencari kebenaran. Jauhi perbincangan isu-isu sensitif berkait dengan agama, politik dan bangsa. Ianya merupakan unsur-unsur yang bakal mencetuskan sakit hati dan marah bila ianya bertentangan dengan pendirian seseorang.
(c) Gunakan humor  dalam percakapan dan perbualan bagi memperlihatkan perkara yang dibicara itu bukan perkara yang menyinggung perasaaan. Ianya sebagai isyarat bahawa seseorang dalam mood yang baik dan tidak marah.
(d) Berfikiran positif dalam setiap keadaan dan jangan berfikiran negatif. Misal bila seseorang diberikan tugas baru janganlah anggap inya menambah beban tetapi anggaplah ianya satu peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Juga ianya satu petunjuk bahawa dia  layak dan diberi kepecayaan. Jangan selalu buruk sangka bila kawan menegur kekurangan kita. Dia bukan bertujuan menjatuhkan tetapi cuba membaiki apa yang silap. Berfikiran negatif akan sentiasa membuat seseorang dalam keadaan marah kerana semuanya tak kena dalam hidupnya.
(e) Bersenamlah kerana bersenam akan mencerdaskan minda dan minda yang cerdas akan mendahului emosi dalam membuat keputusan. Badan yang lemah dan kurang sihat lebih mudah dikuasai emosi dan menjurus kepada rasa cepat marah.

Kawal marah

Apabila perasaan marah mulai terasa ada bebeapa langkah yang boleh diambil bagi mengawalnya agar tidak meletus. 
(a) Membaca ta'awuz dengan segera agar tidak dipengaruhi syaitan yang akan menyuruh manusia cepat bertindakbalas ke atas pencetus kemarahan tanpa berirkir panjang. Jika kemarahan masih memuncak segera mengambil wuduk agar api kemarahan akan mendingin.
(b) Ingatlah betapa besar pahala orang yang mampu menahan kemarahan disisi Allah. Mengalah bukan bererti kalah. Menahan diri dari marah bukah bererti lemah. Sabda Nabi SAW "Bukanlah orang yang kuat (yang sebenarnya) dengan (mengalahkan lawannya dalam) pergulatan (pekelahian) tetapi tidak lain orang kuat (yang sebenarnya) adalah mampu mengendalikan dirinya ketika marah" (H.R. Bukhari No. 5763)

(c) Mengambil sikap berdiam diri tidak berbicara bila rasa hendak marah kerana ketika marah sedang berputik percakapan yang keluar pasti dengan nada yang tinggi dan tonasi yang tidak mengenakkan.
(d) Ambillah posisi duduk atau berbaring  kerana posisi berdiri atau bergerak akan menggalakkan seseorang untuk menyerang penyebab kemarahan. Oleh itu jika ketika marah mula terasa segeralah duduk atau berbaring. 
(e) Bayangkanlah betapa buruknya penampilan diri bila sedang marah. Imej budiman dan akhlak terpuji akan terhakis. Kelak orang akan menyangka itulah wajah sebenar kita.
(f) Sentiasa ingat besarnya pahala jika memaafkan. Firman Allah SWT, "Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menafkahkan (harta mereka) baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang lain.Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan (QS Ali Imran: 134)

(g) Hendaklah menjauhkan celaan, makian, tuduhan, laknat dan cercaan.Itu semua perangai orang jahil, yang akhirnya akan mencetus persengketaan.

Luahkan marah 
Setiap orang tidak lepas dari rasa marah namun sebaiknya kita luahkan rasa marah itu secara terus terangn agar ianya tidak tebuku di hati. Dengan cara ini kita dapat memperbetulkan segala masaalah yang kita hadapi.Rasa marah jika dipendam akan menimbulkan berbagai masaalah lain pula. Namun beberapa perkara perlu diambil perhatian sebelum meluahkan rasa marah.

(i)  Kita hendaklah bertanggungjawab dengan perasaan marah kita. Semasa meluahkan rasa marah nyatakan tentang perkara yang dimarahi dan bukan menyerang peribadi orang yang kita marah. Misalnya katakan, "Saya marah dengan tindakan awak kerana tidak memaklumkan kepada saya terlebih dahulau..........." Bukan , "Awak tu siapa memandai-mandai ambil tindakan........"
(ii) Ambil sedikit waktu untuk bertenang dan menyejukkan perasaan. Dengan berbuat begini kita akan bercakap dengan rasional dan tenang.
(iii)Luahkan rasa marah itu dalam nada yang positif.  Contohnya, "Saya hargai awak menyiapkan kerja dengan cepat mengikut masa yang ditentukan. Namun awak buat saya marah kerana banyak kesilapan dalam kerja awak." Bukan sebaliknya mengkritik," Awak ni kerja asal siap sahaja , tapi kerjanya hentam keromo saja. Makan gaji buta"


Jika tidak dapat diluahkan 

Walaupun kita ingin meluahkan kemarahan kita ada ketikanya kita tak dapat  lakukannya mungkin yang membuat kita marah itu kadang-kadang ketua kita atau orang yang lebih berkuasa dari kita. Ini menimbulkan rasa takut dan khuatir menjejaskan tugas atau karier kita. Apa lagi kemarahan itu belum sampai ke tahap untuk kita mengorbankan kepentingan  kehidupan kita. Jika ini terjadi kita masih boleh meluahkan rasa marah dalam bentuk yang lain.

(i) Sediakan "punch bag" khas untuk kita luahkan marah dengan menumbuk dan menendangnya dengan menyebut apa yang kita marah sepuasnya. Selepas itu bolehlah kita lupakan segala kemarahan itu.
(ii) Tukar tenaga marah kepada tindakan positif. Misalnya pegawai atasan kita membuat kita marah dan  dengan kemarahan membuap-buap itu kita tanamkan azam untuk memajukan diri dalam kerjaya. Jadikan ia sebuah dendam yang positif. Dendam untuk naik ke atas tanpa memijak orang lain.
(iii) Mengadulah kepada Allah dalam solat dan doa. Serah kepadanya dan yakinlah doa orang yang terinaya tidak ada hijab dan pasti dimakbulkan Allah. Doakan agar segala kesilapan dapat dibetulkan dan orang berkenaan diberi pengajaran agar ia insaf.