Thursday 26 November 2015

Apa itu rezeki ?

Apa itu rezeki? Adakah ia terbatas kepada banyaknya wang dan harta? Kalau kita membataskan bahawa rezeki  itu dengan memiliki wang dan harta maka ramailah orang yang miskin di dunia ini. Seseorang itu mungkin tidak mempunyai wang dan harta yang banyak tetapi kadang-kadang ia memiliki sesuatu yang berharga melebihi dari nilai wang dan ringgit. Apabila kita teliti kita akan menyedari bahawa Allah menganugerahkan kita rezki dalam pelbagai bentuk. Sesunguhnya rezeki itu tidak semestinya berbentuk wang dan harta. Diantara bentuk-bentuk rezeki yang Allah anugerahkan kepada kita adalah:-
  • Qanaah iaitu sifat kaya hati dimana seseorang itu sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Sifat ini dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Bagi orang yang beriman mereka perlu melakukan sekeras usaha dan bertawakal agar Allah menganugerahkan rezeki. Allah SWT berfirman ; "Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah mencukupkan (keperluan)nya" (QS: Ath-Talaq: 3).  Berdasarkan ayat ini orang yang beriman sentiasa merasa cukup kerana merasa yakin dengan janji Allah.
  • Sakinah iaitu rasa tenang walau dalam keadaan apa pun. Sifat ini juga adalah sifat orang-orang yang beriman seperti sabda Nabi SAW yang bemaksud, " Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang beiman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya."  ( H.R. Muslim)  Sedangkan banyak berita yang kita dengar orang yang kaya harta selalunya jiwanya tidak tenang dan keluh kesah.
  • Ilmu adalah rezeki yang tak ternilai. Manusia menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk memiliki ilmu. Harta tidak akan diperolehi tanpa ilmu. Kerana itu dikatakan ; " Ilmu itu lebih baik dari harta. Ilmu menjagamu, dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (Hakim) dan harta terhukum."
  • Tubuh Sihat dan Sempurna adalah rezeki yang sepatutnya seseorang itu sangat bersyukur. Sekiranya seseorang itu memiliki kesempurnaan tubuh tanpa kecacatan ia adalah insan yang jauh bernasib baik bebanding OKU. Orang kaya sanggup membeli dengan wang jutaan ringgit jika anggota manusia boleh menjadi alat ganti kepada anggotanya yang cacat. Begitu juga kesihatan yang baik adalah rezeki. Ramai dikalangan orang yang kaya mengidap diabetes dan darah tinggi tidak boleh merasai manis dan masin kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Wang ringgit tidak boleh membeli kesihatan dan kebahagiaan.
  • Isteri yang solehah juga adalah rezeki yang tidak semua orang memperolehinya. Isteri yang solehah bukan jenis "Sikit kasi, banyak minta" seperti wanita-wanita materialistik yang assesorinya pun megah dan mewah. Nabi SAW menggambarkan kelebihan isteri solehah dalam hadisnya bermaksud, "Hati yang bersyukur, lisan yang mengingat Allah dan isteri yang baik akan menolong kamu dalam urusan hidupmu dan agamamu adalah harta tebaik yang dimiliki manusia."  ( H.R. Tirmizi)
  •  Anak adalah rezeki yang lazimnya ramai dalam keluarga yang berpendapatan rendah. Sedangkan orang yang  Allah kurniakan rezeki dengan kekayaan wang ringgit selalunya miskin anak. Kekayaan mungkin boleh membeli ramai anak-anak untuk dijadikan anak angkat, namun ianya tidak sama dengan memiliki anak dari darah daging sendiri
Demikianlah sebahagian dari bentuk rezeki tidak berbentuk wang dan harta yang dikurniakan kepada manusia. Banyak lagi bentuk rezeki yang Allah anugerhakan seperti sahabat yang baik, bakat, kasih sayang, dihormati dan sebagainya. Oleh itu kita harus bersyukur sekiranya kita memiliki semua yang disebut di atas atau sebahagianya kita adalah seorang yang kaya, walau kita tidak mempunyai wang yang banyak.

Thursday 12 November 2015

Merangka Matlamat ........

Bila menjelang tahun baru samada Hijriah atau Masihi setiap kita pasti memikirkan azam bagi tahun baru yang akan menjelang. Azam adalah satu tekad untuk mencapai sesuatu pada tahun yang baru yang lebih baik atau matlamat yang kita beazam untuk capai. Merangka matlamat hidup kita adalah penting kerana cara terbaik untuk meramal masa depan kita  adalah dengan berusaha menciptakannya dan bukan bergantung kepada nasib. Kitalah jurumudi dan jurubina nasib kita dan Allah akan menentukan ianya tercapai atas usaha kita itu. 
        Dalam menentukan matlamat yang ingin kita capai kita boleh mengambil konsep SMART sebagai asas merangka matlamat yang ingin kita capai. 
S atau specific  adalah menetapkan sesuatu matlamat dengan jelas dan tertentu. Bukan membuat matlamat yang umum dan kabur. Misalnya jika kita matlamat kita untuk menjadi kaya, ianya telalu umum dan kabur. Tetapi jika kita menetapkan matlamat kita untuk menabung sebanyak RM100,000 dalam tahun ini, ianya matlamat yang jelas.
M atau measureable tentukanlah suatu matlamat yang boleh diukur atau boleh ditentusahkan. Misalnya kita beazam untuk menurunkan berat badan sebanyak 20 kg. Ini adalah matlamat yang boleh diukur. Sebaliknya jika matlamat kita ingin menguruskan badan, ianya sesuatu yang umum dan tidak boleh diukur.
A atau attainable adalah matlamat yang realistik iaitu yang boleh dan mampu kita capai. Umpamanya kita ingin menjadi seorang anggota polis sedangkan kita tidak mempunyai ketinggian yang cukup dan penglihatan yang kabur, ini adalah matlamat yang diluar keupayaan kita. 
R atau relevan  adalah matlamat yang relevan dengan perinsip dan misi hidup kita. Matlamat yang tidak relevan ini akan mensasarkan kita dari matlamat hidup kita yang lebih jauh dan utama. 
T atau time bounde iaitu matlamat yang mempunyai tempoh pencapaiannya. Penetapan tempoh ini penting kerana jika tidak kita akan menjadi umpama sampan yang hanyut tidak berhaluan. Misalnya jika kita berazam untuk khatam Quran sebulan sekali, bermakna kita telah menetapkan matlamat dengan suatu tempoh masa tertentu.

Dengan mengamalkan kaedah SMART ini kita akan dapat memenuhi azam kita setiap tahun kerana konsep SMART menjadikan setiap matlamat kita adalah relevan dan realistik.