Sunday 25 October 2015

Lepaskanlah...............

Kadang-kadang banyak perkara yang membebankan fikiran kita adalah perkara-perkara yang tidak perlu dan sepatutnya menjadi beban kepada kita. Kita menjadi stress kepada perkara-pekara yang tidak perlu dan ianya mengganggu kebahagiaan hidup kita. Oleh itu kita perlu melepaskan semua beban yang tidak sepatutnya kita pikul ini demi mengecapi kehidupan yang lebih bahagia. Diantara perkara-perkara yang perlu kita lepaskan dari pemikiran dan kehidupan kita adalah:
  •  Paradigma yang tidak benar. Lepaskanlah semua pradigma yang salah jika kita mahu berubah dan bergerak maju kehadapan untuk menikmati hidup ini. Paradigma yang tidak benar seperti "hanya memiliki kelulusan akademik yang cemerlang akan menjamin masa depan seseorang" menyebabkan seseorang itu merasa peluang untuk dia memajukan diri tertutup. Ini adalah tanggapan yang tidak benar kerana gagal dalam akademik tidak menutup peluang seseorang itu untuk maju dalam kerjaya. Tanggpan yang salah ini telah membuat ramai pelajar yang kecewa merasa rendah diri dan rasa peluang mereka sudah tertutup. Ini tidak benar, kerana peluang kerjaya tidak semestinya melalui kelulusan akademik tetapi boleh juga dicapai melalui bidang kemahiran dan peniagaan. Oleh itu lepaskanlah semua paradigma yang tidak benar ini demi untuk kita maju ke hadapan.
  • Perkara bukan utama. Lepaskanlah semua perkara yang bukan utama sebaliknya beri tumpuan sepenuhnya kepada perkara yang utama dalam hidup kita. Misalnya perkara utama bagi seorang pelajar adalah belajar dan mencapai tahap yang tebaik dalam pelajarannya. Dia perlu lepaskan apa juga perkara yang menjadi batu penghalang kepada pencapaian pelajarannya. Umpamanya ia perlu melepaskan diri dari terlibat dengan hubungan percintaan kerana ianya mungkin menjejaskan pembelajaranya. Dia perlu memberi tumpuan kepada misinya yang utama iaitu belajar. 
  • Rasa bersalah yang tidak perlu. Lepaskanlah semua rasa bersalah yang tidak perlu kerana ia akan menghantui hidup kita dan melemahkan semangat kita untuk maju. Jika tidak dilepaskan kita akan menjadi seperti orang salah yang sedang diburu polis. Rasa bersalah seperti merasa diri yang menyebabkan ibu meninggal kerana melahirkan kita adalah rasa bersalah yang mesti dibuang dari pemikiran kita. Selagi tidak dilepaskan kita akan menghukum diri kita sehingga akhir hayat.
  • Memikul terlalu banyak tanggungjawab. Lepaskanlah jawatan atau tanggungjawab yang tidak diwajibkan ke atas kita dan diluar keupayaan kita. Walaupun kita ingin membuat jasa namun kita perlu mengambil kira dahulu kepayaan kita kerana memikul terlalu banyak tanggungjawab akan menjadikan fiikiran terbeban dan buat kita tertekan. Akhirnya tanggungjawab asasi kita terabai dan kualiti kerja kita rendah. 
  • Bukan milik kita. Lepaskanlah sesuatu yang bukan lagi milik kita. Insan yang tersayang yang telah pergi menemui tuhan, redhakanlah. Kekasih yang telah menjadi milik orang lain, anggaplah ianya bukan jodoh kita. Jawatan kenaikan pangkat yang telah diperolehi oleh orang lain, anggapkah itu bukan rezeki kita. Bila kita melepaskannya dari pemikiran kita bererti kita redha dengan takdir Allah. Bila kita redha Allah akan curahkan ketenangan dalam jiwa kita dan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.
  • Dendam tak sudah. Lepaskanlah segala dendam dan maafkanlah. Selagi kita masih menyimpan dendam selagi itulah kita merasakan sakitnya jiwa kita. Umpama duri dalam daging yang belum dikeluarkan, sakit dan menyucuk-nyucuk. Bila kita lepaskan semua dendam dan memaafkan jiwa kita akan bebas dari belenggu dendam. Bila kita sudi memaafkan Allah akan buka hai orang lain untuk memaafkan kita.
Lepaskanlah kerana bila kita lepaskan ianya bukanlah akhir sebuah kehidupan sebaliknya ia menjadi awal sebuah kehidpan yang baru. Lepaskanlah semua beban-beban yang tidak perlu kerana kita berhak untuk hidup bahagia.

Tuesday 13 October 2015

Salah Faham Tentang Qanaah

QANAAH adalah sifat yang hanya ada pada orang yang beriman iaitu merasa cukup dan memadai menerima rezki yang dikurniakan Tuhan kepadanya, serta merasa bersyukur kepada Allah terhadap rezki yang diterimanya. Inilah yang juga disebut sebagai kaya hati. inilah kaya yang sebenar kerana perasaan sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak merasa gelisah walau kekurangan harta. Tetapi ada yang mempunyai fahaman yang salah tentang maksud qanaah kerana mereka merasa rela dan berserah sahaja dengan kekurangan dan kehidupan yang rendah, lemah semangat dan kemahuan untuk cita-cita yang lebih tinggi, mati keingingan untuk mencapai kemajuan moral dan material. Bagi mereka rezki telah ditentukan, seperti pepatah Melayu, "rezki secupak takkan jadi segantang". Bagi mereka apa yang penting kita kena memberi tumpuan kepada amal ibadah. Soal rezki semuanya terserah kepada Allah, semuanya telah ditetapkan. Ini menyebabkan kelesuan untuk membebaskan diri dari kelaparan, kemiskinan dan kesengsaraan. Ini sangat bercanggah dengan konsep tawakal yang diajar oleh Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, 

"Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, nescaya Dia menjamin rezkimu sebagaimana Dia menjamin makanan burung terbang diwaktu pagi dengan perut kosong namun pulang kembali diwaktu petang dengan perut kenyang"
(H.R. Imam Ahmad, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah & Ibnu Hibban)

Memang benar janji Allah membei rezki kepada makhluknya adalah pasti, namun burung tidak tunggu diam menunggu rezki datang dari langit. Sebaliknya pagi-pagi lagi ia telah keluar mencari rezki dan berkat usahanya Allah menganugerahkan rezki kepadanya. 
            Qanaah bukan demikian tujuannya. Qanaah adalah sebagai suatu sifat yang mengekang atau sempadan jiwa manusia supaya sanggup membatasi sifat tamak dan haloba yang tidak dapat dikendalikan dengan semata-mata akal dan fikiran. Ianya sebaliknya pula bukanlah sifat bermalas-malas dan berserah kepada Allah tanpa usaha dalam mencari rezki dan kekayaan. Salah faham terhadap konsep qanaah ini adalah satu daripada punca kemunduran umat Islam dalam pelbagai bidang.

Wednesday 7 October 2015

Hijrah : Perubahan Diri

Secara ringkas Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atas sebab-sebab yang tertentu seperti Hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Secara falsafahnya hijrah bermaksud berubah dari keadaan yang kurang baik kepada bertambah baik. Ini sesuai dengan saranan Islam kepada orang-orang beriman agar "Hari ini mesti lebih baik dari semalam". Ini bermakna setiap kita perlu sentiasa membuat pembaharuan diri terutama bila masuk ke tahun Hijrah yang baru. Perubahan diri penting untuk mempertingkatkan harga diri dan memperbaiki diri secara berterusan. Espek penting dalam pembaharuan diri ini adalah perubahan dimensi mental agar kita dapat berfikir secara rasional dan menolak pemikiran spekulatif, emosional dan ilusi. Cara kita berfikir dan bersikap menentukan tahap harga diri kita. Bagaimana membuat pembaharuan diri dari sudut dimensi mental?
  • Bersikap Positif - Tanamkan dalam diri bahawa kita boleh berubah kepada keadaan yang lebih baik. Jangan memperkecilkan diri sendiri yang akan membuat motivasi diri kita rendah. Lindungilah nilai diri kita dengan menafikan kritikan-kritikan yang tidak berasas. Buanglah segala kepercayaan palsu dan salah tentang diri kita.
  • Bangun dengan perasaan gembira - Hidup ini tidaklah terlalu serius sehingga menghalang kita dari rasa gembira. Banyak perkara yang boleh buat kita rasa gembira dan kita tidak perlu melayan semua kesedihan kerana kita juga berhak untuk rasa gembira. Memulakan hidup dengan rasa gembira adalah suatu tenaga yang kuat untuk berubah.
  • Tetapkan Matlamat Yang Realistik -  Untuk berubah perlu ditentukan matlamat-matlamat yang hendak dicapai. Namun matlamat yang hendak dicapai itu hendaklah sesuatu yang berada dalam kemampuan dan keupayaan kita. Jangan tetapkan matlamat yang tidak realistik yang kita tahu ianya diluar kemampuan kita. Akhirnya nanti kita sendiri yang kecewa kerana gagal mencapainya.
  • Berkawan Dengan Kawan-kawan Bersikap Positif - Bergaullah dengan teman-teman yang bersikap positif yang cenderong kepada perubahan diri. Mereka akan menyokong dan menggalakkan kita ke arah perubahan diri. Sebaliknya jika kita berkawan dengan mereka yang berfikiran negatif, kita akan didorong kepada berfikiran negatif dan menghasut kita agar kekal di takuk lama. 
  • Jangan Bandingkan Diri - Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain secara negatif, kerana ianya akan membuat kita merasa diri kita lemah dan tak berkebolehan. Jika ingin membuat perbandingan, buatlah perbandingan yang adil iaitu dengan perbandingan yang setaraf dengan kita. Dengan cara ini kita akan merasa jika orang lain boleh kita juga boleh lakukan. 
  • Terima Dan Sayangi Diri - Kita perlu menerima diri kita seadanya dan menyayangi diri kita. Setiap insan dilahirkan unik dan istimewa. Banyak perkara yang ada pada diri kita yang tidak dimiliki orang lain yang membuat kita istimewa. Kita hanya ingin membuat perubahan diri tetapi bukan untuk berubah menjadi orang lain. Hitunglah rahmat yang diterima dan bersyukurlah.
  • Bantulah Orang Lain - Sebenarnya apabila kita membantu orang lain harga diri kita akan menjadi lebih tinggi dan mulia. Hakikatnya yang memberi mendapat lebih dari yang menerima dalam bentuk keberkatan dan rahmat serta rezki. Kerana itu dikatakan tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. 
  • Jangan Cuba Jadi Sempurna - Sesiapa yang cuba menjadi orang yang sempurna akan sentiasa hidup dalam kekecewaan, kerana hanya tuhan yang sempurna sedangkan manusia diciptakan dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Matlamat kita adalah untuk membuat yang terbaik namun tidak menafikan akan ada kelemahan di sana sini. Namun kita berusaha untuk mengurangkan kelemahan dan kekurangan itu seminima mungkin.
  • Belajar Dari Kesilapan - Setiap kita pasti melakukan kesilapan. Seburuk-buruk manusia ialah mereka yang tidak pernah belajar dari kesilapan. Kesilapan bukanlah satu kegagalan tetapi ianya satu pelajaran. Tidak mengulangi kesilapan yang sama itulah perubahan yang perlu kita buat.
  • Sedia Terima Idea Baru dan Kritikan Membina - Untuk berubah bersedialah menerima dan melaksanakan idea-idea yang baru serta bersedia menghadapi kritikan yang membina bukan menghina. Sikap konservatif yang negatif tidak akan membantu kita untuk membuat perubahan diri. Sedangkan dunia sentiasa berubah mengikut zaman.
  • Elakkan Tekanan - Janganlah risau dengan sesuatu yang diluar kawalan kita sepeti bencana alam dan maut. Juga kita tidak perlu terlalu memikirkan apa yang telah lalu dan apa yang akan berlaku di masa depan. Ini semua akan memberi tekanan kepada kita. Kita perlu hidup untuk hari ini kerana ianya pasti. Berguraulah dan ketawa ianya akan mengurangkan stress. Ibadah dan zikir akan membuat fikiran tenang. Untuk perkara yang diluar kawalan kita kita berserah dan tawakal kepada Allah.
  • Tambah Ilmu dan Pengetahuan - Banyakkan membaca, hadiri majlis ilmu dan belajar akan menambah ilmu dan pengetahuan. Tanpa ilmu yang kemaskini amat sukar melakukan perubahan diri keranan ilmu adalah prasyarat bagi sesuatu perubahan. Kemajuan pantas dunia dalam pelbagai perkara menuntut kita menguasai ilmu untuk menangani kehidupan yang kian mencabar. Oleh itu kita tidak terkecuali dari menguasai ilmu demi untuk perubahan diri.
  • Sedia Log Kemajuan Diri - Sebaiknya kita patut menyediakan suatu log pencapaian-pencapaian yang telah berjaya dicapai selama ini. Ianya berguna untuk mengetahui apa yang kita telah capai dan apa yang belum kita capai atau bagi membuat penambahbaikan. Log ini dapat kita gunakan bagi mengatur set matlamat  dan wawasan diri untuk dicapai bagi tempoh masa yang beikutnya.
Semuga saranan-saranan ini ada menafaatnya demi perubahan diri yang positif.