Sunday 20 March 2016

Ceriakan Hidup Diusia Emas

Golongan yang berusia emas sering merasakan diri mereka seolah-olah seperti penyapu buruk sudah tidak boleh digunakan, tidak perlu disimpan, tiada penghormatan dan hanya layak dilupuskan. Kadang-kadang sebahagian masyarakat memang melayan warga emas seperti penyapu buruk dan menyebabkan diri mereka tersisih. Ianya mungkin berpunca dari sikap masyarakat yang kurang menghormati warga emas atau disebabkan oleh warga emas sendiri yang tidak menjaga personaliti dan kesejahteraan diri sehingga diri mereka dinilai tak ubah seperti penyapu buruk oleh masyarakat. Oleh itu sebagai warga emas mereka tidak sepatutnya bersara dalam semua perkara dalam hidup ini jika mahu hidup ceria dalam masyarakat. Roger Fritz, penulis "Little Things Big Results" menyarankan untuk terus hidup ceria jangan berhenti melakukan perkara-perkara seperti berfikir, bermain, membaca, beribadah, membantu yang memerlukan, tunjukkan kasih sayang, berangan-angan, ketawa, kuasai kemahiran baru dan merancang. Apa yang disarankan beliau ini boleh dijadikan panduan untuk kita dapat terus hidup ceria.


1. Berfikir
  • Berfikir adalah sumber pembaharuan diri. Ianya kegiatan alami yang mana jika tidak dilakukan ianya bertentangan dengan fitrah manusia.
  • Memikirkan sesuatu bererti mengarahkan diri kepada objek tertentu, menyedari secara aktif dan menghadirkannya dalam fikiran kemudian mempunyai wawasan tentang objek tersebut.
  • Al-Quran menyeru manusia agar befikir dalam Surah Ar-Ra'ad ayat 3, " Sesungguhnya semua itu mengandungi tanda kekuasaan Allah SWT bagi kaum yang mahu berfikir." 
  • Tidak mahu berfikir atau malas berfikir buruk akibatnya kerana tanpa berfikir segala yang dilakukan hanya akan mengikut rasa atau nafsu atau hanya dilakukan kerana ianya kelaziman yang dilakukan hari-hari tanpa memikirkan buruk dan baiknya.


2. Beribadah
  • Beribadah adalah pengakuan atas keterbatasan diri kita dihadapan Allah SWT.
  • Beribadah adalah tujuan hidup manusia seperti Dinyatakan oleh Al-Quran surah Az-Zariat ayat 56, "Tidak Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar beribadah kepadaKu"
  • Beribadah bermaksud merendah diri, tunduk, patuh, taat, menghina diri dan memperhambakan diri kepada Allah.
  • Ibadah adalah makanan rohani yang memperkukuh jiwa seseorang dengan keimanan.
3. Membaca
  • Membaca akan meremajakan pemikiran kita.
  • Membaca adalah proses pembelajaran yang menggerakkan minda. Ianya suatu proses aktif minda dimana sel-sel otak dikerah untuk berfikir dan mengaktifkannya lalu menjadikan minda seseorang itu sihat.
  • Membaca adalah senaman minda bagi meningkatkan kesegaran, ketajaman dan kebijaksanaan minda.
  • Otak yang terstimulasi dengan tenaga positif akan bekerja secara positif dan maksimum serta menghasilkan pemikiran-pemikiran positif sehingga proses penuaan, nyanyuk dan kerosakan otak dapat dicegah.
4. Membantu Yang Memerlukan
  • Membantu yang memelukan akan membuat kita mendapat balasan lebih baik dari apa yang kita beri.
  • Allah SWT berfirman dalam Al-Quran surah Al-An'am ayat 160, "Barangsiapa membawa amal baik maka baginya sepuluh kali ganda amalnya; dan barangsiapa membawa amal jahat maka tidak diberikan pembalasan melainkan setimpal dengan kejahatannya sedangkan mereka sedikit pun tidak diinaya"
  • Dalam Hadis Riwayat Ahmad, Nabi SAW bersabda, "Siapa yang ingin dikabulkan doanya dan dilepaskan penderitaannya, maka hendaklah ia memudahkan orang yang dalam kesulitan"

5. Kuasai Kemahiran Baru
  • Belajarlah dan kuasai kemahiran baru kerana ia akan membuat kita sentiasa diperlukan..
  • Kemahiran baru seperti kemahiran ICT dan alat komunikasi pintar sangat baik dikuasai agar hidup kita bergerak mengikut zaman. 
  • Dengan pengetahuan dan ilmu kemahiran kita akan menjadi aset dan bukan liabiliti kepada masyarakat.
6. Tunjukkan Kasih Sayang
  • Rasa kasih sayang adalah kunci kepuasan hidup yang paling utama.
  • Rasa kasih sayang adalah rasa yang timbul dalam hati yang tulus untuk mencintai, menyayangi, serta memberikan kebahgiaan kepada orang lain atau sesiapapun yang dicintai. Kasih sayang diungkapkan bukan hanya kepada kekasih tetapi juga  kasih kepada Allah, orang tua, keluarga, sahabat serta makhluk lain yang hidup di dunia ini.
  • Hidup terasa indah apabila saling memberi kasih dan saling menyayangi tanpa memandang perbezaan. Erti kasih sayang adalah dengan selalu berbuat perkara yang terbaik samada hubungan kita dengan Tuhan, manusia, alam dan makhluk hidup lainnya di dunia ini.

7. Aktiviti Riadah dan Rekreasi
  • Riadah dan rekreasi adalah aktiviti masa lapang untuk menyihatkan badan dan membuat kita awet muda.
  • Aktiviti ini menyihatkan badan melalui pembakaran lemak, melancarkan perjalanan darah dan menurunkan tahap stres kita. 
  • Ianya meransang sistem otak yang disebut hiposis hipotalamas yang berfungsi mengeluarkan hormon anti penuaan.
8. Bermain
  • Bermain seperti bermain ping-pong, teka silang kata, musik, menyusun puzzle dan sebagainya akan membuat seseorang itu muda.
  • Bermain bukan sahaja menghiburkan malah ianya menyebabkan otak kekal aktif.
  • Menurut sebuah laman sesawang Pesona Feminia, kajian menunjukkan dengan bermain seseorang itu melatih fungsi otak agar terus bekerja dan ianya mampu mempelambatkan penuaan otak bahkan mencegah demensia.
9. Ketawa
  • Ketawa adalah rahsia mengembalikan keseimbangan seseorang. 
  • Ketawa mengurangkan stres dan meningkatkan daya ketahanan tubuh secara semulajadi.
  • Menurut Dr. Dhlip Kumar seorang pakar Perubatan Semulajadi, ketawa memperbaiki aliran darah dan meningkatkan oksigen dalam darah serta mencegah penyakit jantung. Ketawa menyebabkan hormon endorfin iaitu horman kelegaan dan kesejahteraan diri dikeluarkan dengan banyaknya.
10. Berangan-angan
  • Berangan-angan menyediakan peta bagi masa hadapan seseorang.
  • Dengan berangan-angan membuat seseorang cenderung untuk mempunyai rasa "empati" terhadap keluarga dan rakan-rakan.
  • Berangan-angan membuat kita berfantasi di alam luas dan ini dapat menurunkan tekanan darah.
  • Secara umumnya kajian menunjukkan minda yang menerawang biasanya mempunyai memori kerja yang lebih baik. 
  • Banyak ciptaan dan penemuaan hari ini adalah bemula dengan angan-angan yang kini telah menjadi kenyataan.
Demikian sepuluh saranan yang mungkin berguna untuk diamalkan bagi seseorang itu untuk terus hidup ceria walau di usia emas. Bersara dari perkhidmatan atau pekerjaan bukan bererti bersara dari semua aktiviti kehidupan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan harga diri agar kita akan sentiasa menghargai diri kita. Jika kita tidak menghargai diri sendiri tentulah orang lain juga tidak akan menghargai kita. Hidup perlu diteruskan dan setiap insan berhak untuk hidup ceria dan bahagia.




















Wednesday 2 March 2016

Ada masaalah cerita, Jangan pendam.

Memendamkan perasaan ketika ada masaalah adalah satu perbuatan yang boleh memudaratkan seseorang. Masaalah perlu dilepaskan dengan menceritakannya kepada orang lain. jika dipendamkan ianya akan meletus dan akan menjejaskan diri orang memendamkan masaalah itu dari segi mental dan fizikal. Sesiapa yang menyimpan atau memendam masaalahnya boleh memendekkan umurnya. 
Menurut sebuah website kesihatan Liputan6, satu kajian telah dijalankan oleh University of Rochester selama 12 tahun seperti dilaporkan oleh majalah MensHealth pada Rabu 6.11.2013 menyatakan bahawa, orang yang sering memendam perasaannya dengan mendiamkan diri seribu bahasa, 35% berisiko akan mati dibandingkan dengan orang yang meluahkan emosinya dengan orang lain.Dalam kajian yang mengukur keterbukaan emosi seseorang menunjukkan peningkatan penyakit kanser dan kardiovaskular meningkat masing-masing 70% dan 47%.

Stres terpendam akan terkumpul dari emosi yang tidak diluahkan kemudiannya mengganggu tubuh orang yang memendamkan masaalahnya membuat tubuh bertindak balas dan menurunkan tahap imunisasi tubuh.Memendam perasaan adalah seperti seseorang yang memasang bom jangka yang akan meletus apabila diri tidak dapat mengawalnya lagi. Oleh itu segeralah diluahkan jangan dipendam.
         Kalau ada masaalah jangan pendam, jangan simpan. Carilah seseorang kawan, psikiater atau sesiapa untuk dilepaskan atau ceritakan. Jika ia boleh memberi nasihat itu lebih baik. Jangan simpan kerana ia akan menjadi virus. Benda yang terbuku boleh meletup padahal kita boleh lepaskan sedikit demi sedikit dengan meluahkannya  dan mendapat kelegaan. Untuk bahagia dan ceria, luahkan dan lepaskanlah.
       Jangan lupa tempat yang paling utama untuk menceritakan dan memohon penyelesaian kepada masaalah kita ialah kepada Allah. Mengadulah kepadaNya dengan bersujud dan berdoa dengan penuh harap dan merendah diri. Allah berfirman yang bermaksud;

"Berdoalah kamu kepada Aku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina." ( QS 40: 60)

Janji Allah adalah benar. Berdoalah dan merayu kepadanya dengan sangkaan yang baik, tentu Allah akan memakbulkan dan memberi ketenangan kepada kita. Jangan berputus asa dari rahmat Allah kerana hanya orang yang kafir yang berputus asa kepada Allah.
              Usah biarkan diri kita memendam rasa dan menaggung beban masaalah sepanjang umur kita yang singkat. Masaalah yang bukan sahaja menjejaskan jiwa malah menyebabkan penyakit seperti kanser dan kardiovaskular juga melemahkan daya tahan badan.  Legakanlah ia dengan meluahkannya kepada kawan, kepada yang prihatin dan jangan lupa kepada Allah yang maha mendengar.