Friday 11 December 2015

Orang Tua vs Orang Muda





Sering kita mendengar konflik antara orang tua dengan orang muda dalam sesuatu organisasi. Masing-masing mendakwa golongan mereka lebih penting dari golongan yang satu lagi. Orang tua mengatakan mereka lebih tahu kerana mereka lebih dahulu makan garam. Golongan muda mendakwa mereka lebih tahu kerana lebih terpelajar dan tahu banyak mengenai teknologi.
        Orang tua mempunyai pengalaman yang jauh lebih dari sekadar pengetahuan. Pengalaman adalah sesuatu yang dilalui dan alami sedangkan pengetahuan mungkin satu teori yang belum dilaksanakan. Mereka menempuhnya dari dahulu hingga kini dan bukan sekadar tahu malah dapat merasakannya, samada pahit atau manisnya. Kerana itu mereka lebih bersifat konservatif demi mempertahankan nilai-nilai dan prinsip yang dipegang. Pengalaman lalu telah mengajar mereka betapa nilai dan prinsip boleh tergadai jika besifat lemah dan hanyut dipengaruhi sifat kebendaan dan kepentingan diri.
            Namun dunia semakin berubah dan bergerak maju. Untuk maju memerlukan sikap yang progresif yang cenderong kepada perubahan, penambahbaikan dan reformasi. Oleh itu Dr Yusoff Qardawi, menyatakan, "Jika ingin melihat masa depan negara, lihatlah pada anak mudanya pada hari ini." Orang mudalah agen perubahan yang utama kerana merekalah peneroka perubahan masa depan. Mereka menguasai teknologi dan sistem baru yang lebih cekap dan efisien.
               Sebenarnya kita memerlukan kedua-dua golongan orang tua dan orang muda. Jika orang tua mendominasi sesuatu institusi ianya mungkin akan bertahan lama kerana sikap konservatif orang tua dapat mengekalkannya. Tetapi ianya akan kekal tanpa kemajuan dan perubahan kerana sikap orang tua yang konservatif itu tidak mesra perubahan. Jika orang muda pula mendominasi sesuatu institusi perubahan yang drastik mungkin akan berlaku lantaran jiwa muda yang panas dan progresif itu sentiasa dahagakan perubahan dan pembaharuan. Regulasi prosedur dan undang-undang mungkin tergugat lantaran ghairah mengejar matlamat dan meremehkan soal prosedur dan undang-undang. Justeru komposisi golongan tua dan muda perlulah seimbang. Yang muda meluncur laju ke arah kemajuan dan yang tua bertindak mengawal batas-batas agar perluncuran tidak tegelincir dari landasan. Orang tua dan orang muda wajib bekerja sama dan membuang ego masing-masing demi kemaslahatan yang lebih penting.