Sunday 31 May 2015

Meriahnya Ramadhan

Ramadhan datang lagi dan bersyukurlah bagi sesiapa yang dapat bertemu Ramadhan lagi tahun ini. Bulan yang pernuh berkah yang mana beramal didalamnya digandakan pahalanya lebih dari bulan-bulan lain dan bulan dimana doa-doa dimakbulkan. Bagi orang yang soleh Ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan setelah merinduinya sekian lama dan bila  Ramadhan  berakhir dilepaskan dengan air mata khuatir tidak bertemu lagi ditahun hadapan. Bagi orang awam pula kemeriahan tetap dirasakan disudut budayanya. Diantara kemeriahan yang dapat dirasakan :-

Kepelbagaian Juadah Berbuka

Meriahnya bulan Ramadhan tergambar dengan pelbagai juadah berbuka masyarakat kita. Ini boleh kita saksikan di bazar Ramadhan yang menjual pelbagai juadah berbuka yang kadang-kadang tidak terdapat dibulan yang lain. Dari murtabak, roti john sehinggalah ke kuih seperti kuih badak berendam dan kuih taik itek. Di surau dan mesjid pula diedarkan bubur lambuk atau nasi dalca kepada orang ramai untuk berbuka. Di surau dan mesjid ada moreh dan jamuan lepas terawih atau tadarus juga dengan pelbagai juadah bergantung kepada bajet atau sedekah ahli khariah. Dibandar-bandar telah menjadi trend restoran dan hotel-hotel menawarkan Buffet Ramadhan yang menawarkan pakej berbuka puasa mewah dengan bayaran tertentu setiap orang. Namun kurma tetap menjadi bahan utama untuk berbuka puasa. Pelbagai jenis kurma dijual dari yang murah hingga yang termahal. Di bulan Ramadhan sahaja kita dapat menikmati pelbagai jenis kurma yang lazat dan masih segar. 

Kemeriahan Membeli Belah
Aidilfitri   adalah perayaan yang utama bagi masyarakat kita. Kerana itu persediaan ke arah menyambutnya dibuat dengan lebih bersungguh. Membeli pakaian, langsir dan peralatan rumah menjadi acara utama di bulan Ramadhan bergantung kepada bajet masing-masing. Walaupun dikatakan membuat persediaan awal apat menjimatkan perbelanjaan namun membeli belah dibulan Ramadhan itu sendiri adalah satu kemeriahan bagi  masyarakat kita yang mereka tidak dapat elakkan. Disana-sini pasaraya dan kedai-kedai mengiklankan kempen jualan Aidil Fitri. Walau penat berpuasa membeli belah tetap dilakukan. Seolah-olah tiada hari raya jika tiada pakaian baru. Bagi golongan berpendapatan rendah inilah masanya mereka menyediakan pakaian baru bagi anak-anak mereka setahun sekali.

Kemeriahan Lampu dan Cahaya

Malam Ramadhan setelah penat berpuasa masyarakat menjadi ceria dengan limpahan cahaya dari lampu kelap-kelip dan pelita panjut yang dipasang di rumah dan di tempat tertentu terutama menjelang akhir Ramadhan. Ada pendapat mengatakan idea memasang panjut ini adalah kerana hendak menerangkan kampung pada zaman dahulu supaya senang penduduk kampung hendak pergi dan balik ke surau atau mesjid untuk menunaikan terawih dan bertaddarus. Kini pemasangan panjut menjadi tradisi kerana zaman sekarang sudah ada lampu jalan menerangi jalan untuk menerangi orang lalu lalang. Pihak Perbandaran juga turut menghiasi bandar dan jalan dengan lampu-lampu hiasan dan menjadikan malam pada bulan Ramadhan sungguh meriah dengan lampu-lampu.

Kemeriahan Ibadah

Dibulan Ramadhanlah kita dapat melihat mesjid dipenuhi dengan ahli jemaah. Masyarakat kita berduyun-duyun mengunjungi mesjid dan surau untuk menunaikan solat tarawih. Orang dewasa, kanak-kanak dan kaum wanita memenuhi ruang solat mesjid dan surau. Mesjid menjadi terang bercahaya dan meriah dengan ramainya ahli jemaah disepanjang Ramadhan. Mesjid dan surau juga diadakan majlis taddarus quran dan tazkirah. Setelah bersahur ramai yang terus ke mesjid dan surau untuk solat subuh berjemaah. Seolah-olah setiap hari bulan Ramadhan adalah pesta ibadah bagi masyarakat Islam. Ramadhan dipenuhi dengan solat berjemaah, tarawih, membaca quran, iktiqaf dan bersedekah yang kurang dilakukan dibulan lain.
  • Begitulah meriahnya Ramadhan saban tahun yang kadang-kadang kita terfikir mana lebih meriah antara Ramadhan dengan Aidilfitri. Apa pun bagi orang yang beriman yang dicari bukan meriahnya tetapi berkahnya Ramadhan. Bulan yang dosa-dosa diampunkan dan pahala digandakan. Bonus tahunan yang jangan sekali-kali dilepaskan.




Saturday 23 May 2015

Menyemarak cinta di hujung usia


Bila usia telah mencecah separuh abad hubungan suami isteri semakin hambar dan sudah tidak romantik lagi. Kalau dulu memanggil pasangan masing-masing "sayang" kini mungkin memanggilnya "atuknya" atau "opahnya". Kalau duduk dekat-dekat terasa rimas dan panas. Kalau cuba nak romantik sikit isteri akan berkata, "orang tua ni dah buang tebiat ke apa?". Isteri pun dah tak berminat nak behias untuk suami, begitu juga suami dah tak kisah dengan kekemasan dirinya. Apakah sudah tiada cinta lagi setelah mengemudi bahtera perkahwinan dua ke tiga dekad? Sebenarnya cinta itu masih ada tetapi ia telah dipudarkan oleh tanggapan tiada cinta untuk usia emas. Cinta itu perlu disemarakkan semula dengan mengambil langkah-langkah perubahan.
         Pertama, isteri berhiaslah untuk suami. Memang jika anda berhias pun tidak akan mengembalikan anda ke zaman muda. Tetapi kelihatan kemas dan menarik dapat menyejukkan hati suami anda. Malah berhias untuk suami itu adalah suatu ibadah walaupun isteri telah mencecah usia emas. Tidak kira cantik atau buruk isteri tetap kena berhias. Dengan berhias isteri akan mendapat pahala dan keberkatan dari Allah. Dengan niat kerana Allah, berhias akan mengikat kasih sayang suami-isteri. Tetapi bukan isteri sahaja perlu berhias sebaliknya suami juga perlu menjaga kekemasan diri agar tenang bila isteri melihatnya. Mengemaskan diri untuk isteri kerana Allah pasti mendapat pahala dan keberkatan serta menjadi pengikat kasih sayang yang kukuh.
           Namun kecantikan isteri janganlah dilihat pada kulit wajah yang kendur tetapi lihatlah pada jasanya kepada anda dan keluarga setelah sekian lama bersama. Kecantikannya bukan pada matanya yang sudah kekurangan sinar, tetapi lihatlah pada kesetiaannya yang tidak pernah pudar. Carilah kecantikan isteri bukan mencari isteri yang cantik. Jasanya, kasih sayangnya, layanannya, masakannya, kesabarannya, dan pelbagai lagi keindahan yang tidak zahir pada rupa tetapi dapat dirasakan oleh hati anda. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan seorang isteri yang cantik lagi.
            Kedua, semarakkanlah semula cinta diusia emas dengan hubungan seksual. Jangan berhenti mengadakan hubungan seksual kerana ia akan memudarkan hubungan suami-isteri. Menurut Profesor Dr. Ismail Tambi seorang pakar sakit tuan,
i.   Seks masih perlu di usia emas
ii.  Penuaan bukanlah seteru seksualiti
iii. Komunikasi memantapkan seksualiti
iv.  Kesihatan, emosi dan isu-isu seksual boleh ditangani untuk mengecapi penghayatan seksual
      yang memberansangkan.
v.   Terapi moden dan altenatif boleh mengatasi masaalah seksual
vi.  Perubahan sikap adalah mustahak untuk mencapai kesemua dari  i.  hingga v.
Oleh itu anda perlu berubah dan nikmati semula zaman muda anda melalui sesualiti tetapi dalam versi baru usia matang.
               Ketiga, apabila usia telah mencecah separuh abad anak-anak telah membesar, rumah tangga sunyi dan tak banyak lagi untuk diperbualkan antara suami dan isteri.Cara yang baik untuk menyemarakkan semula cinta ia merancang bulan madu kedua. Ini cukup berkesan untuk membangkitkan kembali kehangatan dalam rumah tangga yang kian suram. Untuk itu cadangan berikut boleh diambil kira
i.    Menetapkan tarikh untuk percutian
ii.   Menyediakan bajet 
iii.  Memilih lokasi yang penuh dengan alam semulajadi kerana ianya sesuai dan baik 
      bagi usia emas
iv.   Bergerak melalui jalan darat agar banyak masa untuk anda berbual.
Anda akan pasti dapat merasakan kelainannya apabila anda melaluinya. Tidak mustahil bulan madu kedua lebih hebat dari yang pertama.

Semarakkanlah cinta, bangkitkanlah asmara.......semuanya ditangan anda untuk berusaha.