Monday, 18 April 2016

Bagaimana Memperolehi Nikmat Bekerja


Bekerja adalah fitrah manusia dan merupakan aktiviti yang sangat penting dalam hidup manusia. Hanya orang gila atau pemalas sahaja yang tidak mahu bekerja Bila seseorang itu bekerja ia akan merasa hidupnya bererti dan penuh nikmat. Menurut pandangan seorang pemikir Barat William Faulkner, " Satu perkara yang membolehkan manusia tekun melakukannya selama lapan jam sehari, hari demi hari ialah pekerjaan. Anda tidak boleh makan selama lapan jam sehari begitu juga minum, begitu juga berasmara. Tetapi pekerjaan boleh dilakukan sepanjang lapan jam sehari."  Ini disebabkan melalui pekerjaan manusia mendapat rezki, mendapat sahabat dan ruang untuk manusia mencurah buah fikiran dan daya ciptanya.Dengan bekerja ia mendapat kelazatan dan kemeriahan dalam hidup.

Bekerja dalam bidang yang diminati

Bekerja dalam bidang yang kita minati akan memberi motivasi yang tinggi kepada diri seseorang itu. Ini sebagaimana yang dirasai oleh mendiang Steve Jobs, pengasas Apple, "Bila anda bekerja dalam bidang yang anda minati anda tidak perlu paksaan. Visi anda akan menarik anda (untuk bersemangat bekerja)". Bekerja dalam bidang yang kita minati akan menghadirkan semangat atau ghairah yang membuat seseorang itu meminati pekerjaan. Kerana itu ahli falsafah China Conficius menyarankan, "Bekerjalah dengan cinta maka seumur hidup anda tidak perlu lagi (merasa) perlu bekeja." Bila kerja telah dicintai maka kerja bukan lagi satu beban tetapi ia menjadi seperti aktiviti santai yang menyeronokkan.  Oleh itu bekerjalah kerana minat, nanti kerja pun nikmat.

Memotivasi diri untuk nikmat bekerja

Nikmat bekerja tidak semestinya terbit kerana kita bekerja dalam bidang yang kita minat sahaja. Faktor-faktor lain seperti kenaikan pangkat dan gaji juga boleh memberi kepuasan dalam bekerja. Justeru bekerja jangan sekadar untuk mendapatkan gaji sahaja kerana motivasinya rendah. Sasarkan diri kita untuk menjadi yang terbaik dalam pekerjaan kita. Untuk menjadi yang terbaik kita perlulah memberi komitmen dan sumbangan yang paling baik pada majikan kita. Dengan cara ini kita akan menjadi aset penting kepada majikan dan bukan liabiliti kepada majikan. Malah mungkin akan diberi peluang kenaikan pangkat dan gaji. 
          Walau apa pun jawatan yang kita pegang kita harus bersyukur kerana mempunyai pekerjaan. Ramai yang menginginkan posisi yang kita pegang yang sekarang menjadi milik kita. Bukankah ini nikmat yang perlu kita syukuri? Rasa ketidakpuasan hati timbul kerana kita tidak bersyukur. Kita mungkin tidak bepuas hati dengan suasana tempat kerja kita atau dengan pegawai atasan kita, namun kita tetap bersyukur kerana memperolehi nikmat dapat bekerja ditempat kita bekerja sekarang. Ingatlah nikmat ini dan besyukurlah agar Allah menambah nikmat yang kita kecapi.
           Bekerja adalah nikmat kerana ianya adalah suatu ibadah. Bekerja dalam rangka kita mencari rezki yang halal dan memberi nafkah anak dan keluarga adalah merupakan suatu ibadah. Oleh itu kerja tidak boleh dilakukan dengan sikap asal buat atau sambil lewa sahaja. Harus diingat bahawa ibadah itu untuk Allah dan sangat tidak wajar jika kerja itu dilakukan secara sambil lewa sahaja. Bila kita menyedari bahawa kerja itu ibadah ianya akan menambah motivasi kita untuk kita bekerja dengan serius, mematuhi syara' dan dengan niat yang ikhlas. Sebagaimana kita merasa nikmatnya khusyu' dalam solat maka bila bekerja sebagai ibadah kita akan merasa nikmatnya bekerja mematuhi syariat.

Nikmatilah kerja walau apa pun posisinya dengan niat kerana Allah dan mematuhi suruhan dan larangannya. Bersyukurlah kerana Allah akan menambahkan nikmat bagi orang yang besyukur. Bekerjalah dengan menyedari bahawa ianya satu ibadah, sehingga seluruh kehidupan kita adalah dalam ibadah kepada Allah.

No comments:

Post a Comment