Monday 26 December 2016

Bagaimana mahu kekal dalam grup




Media sosial adalah fenomena berkomunikasi secara santai yang popular kini. Terdapat perlbagai media sosial yang popular seperti facebook, wassapp, instagram, wechat dan sebagainya. Keseronokan bersembang (chat) membuat seseorang jadi leka dan tidak memperdulikan persekitarannya. Namun tak kurang juga kesetiaan seseorang ahli grup tidak berpanjangan akibat rasa tersinggung dan tidak puas hati. Oleh itu jika kita ingin bertahan lama dengan sesuatu grup banyak perkara yang perlu kita fahami dan bertoleransi.

  • Fahamilah bahawa ahli grup mempunyai banyak perbezaan dari segi pendidikan, hobi, sifat, fahaman agama, kematangan dan pola berfirkir. Misalnya jika kita seorang yang berpendidikan tinggi mungkin bahan yang kita post hanya akan dibaca dan mendapat respon dari mereka yang berpendidikan tinggi. Jika majoriti ahli grup kurang berpendidikan mungkin posting kita tidak dibaca atau mendapat perhatian dari ahli grup. Justeru kita kena faham keperbezaan ini dan faham situasi di dalam grup.
  • Fahamilah bahawa kerektor ahli-ahli grup juga tidak sama, ada yang suka humor, ada yang serius, ada yang santai, ada jenis yang suka tazkirah, ada yang suka mengkeritik, ada yang suka artikel bermenafaat dan ada yang loyar buruk. Umpamanya bahan yang kelakar mungkin mendapat perhatian dari yang suka humor tetapi mungkin kurang digemari kepada yang serius. Jika majoriti ahli grup suka humor grup ini akan dipenuhi dengan bahan-bahan lawak dan respon lawak. 
  • Fahamilah bahawa keaktifan ahli-ahli grup juga berbeza-beza. Ada yang sangat aktif, ada yang sedang-sedang dan ada yang jarang-jarang posting. Ada pula yang malu-malu nak posting sehingga tak posting langsung. Sebahagiannya pula hanya suka baca posting dan sebahagiannya malas nak buka media sosial. Jadi ada bermacam ragam keaktifan posting ahli-ahli grup. 
  • Fahamilah bahawa tidak semua isi posting itu benar. Oleh itu jangan mudah terpengaruh dengan isi posting. Dapatkan pandangan kedua atau ketiga dan bandingkan. Jangan sampai isi posting membuat kita emosi, tersinggung atau tak mahu kalah akibat mempercayai begitu sahaja posting yang diterima.
  • Fahamilah bahawa janganlah kita terlalu ghairah untuk membetulkan keadaan. Jika posting isinya keliru tidak perlu kita cuba luruskan jika kita tahu ianya sensitif. Ini mungkin akan mengeruhkan keadaan kemesraan dalam grup. Sebaliknya jika posting yang keliru itu jika cuba diluruskan ahli grup janganlah cepat tersinggung.
  • Fahamilah bukan semua posting akan sesuai dengan kehendak dan citarasa kita. Jika sesuatu posting itu kita tidak berkenan misalnya humor, gambar berdenyut-denyut, cerita seks, artikel terlalu panjang atau berjela-jela biarkan sahaja atau delete. 
  • Fahamilah bahawa tujuan utama kita menjadi ahli media sosial adalah untuk mengeratkan persahabatan dan silaturrahim. Oleh itu fokus kepada satu tujuan iaitu menjalin tali silaturahim, setiakawan dan perhubungan yang balik. Perkara-perkata titik bengik yang tidak penting abaikanlah agar tidak menimbulkan sengketa.

Sunday 25 December 2016

Nikmat Sakit

Siapa pun tidak suka mendapat sakit kerana ia mengganggu perjalanan hidup kita dan akan membuat kita menderita. Namun mendapat sakit adalah lumrah dan fitrah hidup manusia. Walaupun kita berusaha menjaga kesihatan dan cuba mencegahnya ia tetap akan datang menimpa kita sekurang-kurang sekali atau dua dalam seumur hidup kita. Ini adalah keana bukan semua benda berada di bawah kawalan kita, termasuklah penyakit. Oleh itu setelah kita berusaha menjaga dan cuba mencegah penyakit dari menimpa kita kita perlu menyerahkan takdir kita kepada Allah SWT. Andainya kita ditimpa penyakit dengan redho kita perlu terima ia sebagai takdir dari Allah. Kita perlu melihat sakit dari sudut yang positif, malah ianya merupakan satu nikmat  dari Allah SWT.
          Sakit adalah nikmat  kerana bila sakit kita akan banyak mengingati Allah berbanding semasa kita sihat. Mengingati Allah dengan memperbanyak zikir dan melakukannya dengan kesungguhan dan linangan air mata. Mengharap Allah memberi kekuatan, kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi ujian sakit. Ketika ini kita merasa diri begitu dekat dengan Allah. Zikir begini tidak dapat kita nikmati semasa kita sihat.
          Sakit adalah nikmat kerana bila kita sakit dan sabar serta redho Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Ketika ini kita teringat akan dosa-dosa yang kita lakukan dan sedar jarak kita dengan ajal sudah semakin dekat. Pada saat ini kita bersungguh-sungguh beristighfar kerana khuatir dosa tidak diampun sebelum dijemput Allah. Sedangkan semasa sihat istighfar yang kita ucapkan tidaklah begitu menyentuh mungkin kerana asyik dengan nikmat dunia.
          Sakit adalah  nikmat kerana apabila menyedari dekatnya ajal maka lidah dan hati akan lazim mengucapkan syahadah. Jika takdirnya maut menjemput biarlah akhir kalimah adalah kalimah thoyyibah . Mengharap hidup berakhir dengan "husnul khotimah" bukan "suul khotimah". Disaat inilah kita paling ingat akan kematian. Sedangkan semasa masih sihat kita merasa seperti akan hidup seribu tahun lagi. Itulah sebabnya mengapa kita sering digalakkan untuk mengingati mati.
          Sakit adalah nikmat kerana dikesempatan inilah kita mempunyai cukup masa untuk muhasabah diri apa yang telah kita lakukan selama kita hidup. Sejauh manakah kita telah melakukan amalan soleh. Amalan dosa manakah yang masih belum kita tinggalkan. Sambil kita berazam jika Allah memanjangkan usia kita, kita akan buat lebih baik lagi dalam mendekatkan diri kepada Allah. Jika Allah panjangkan usia ianya merupakan peluang kedua untuk kita memperbaiki diri dari segi iman dan amal. Sedangkan ketika sihat kita dihayalkan dengan kehidupan dunia yang indah-indah. Tanpa ada waktu untuk bermuhasabah diri.
          Sakit adalah nikmat kerana bersabar dengan sakit dan berjuang melawannya adalah satu jihad.  Walaupun sakit kita tetap meneruskan beramal dan taat kepada Allah. Semua ini adalah satu perjuangan. Bagi yang bersabar dan redho dengan sakit yang berat seperti kanser jika ia mati ia mendapat pahala syahid. 
          Sakit adalah nikmat kerana ia memberi nasihat kepada kita. Apabila sakit baharulah kita benar-benar faham punca penyakit dan kepentingan menjaga kesihatan. Baharulah ada tekad untuk mengamalkan cara hidup sihat. Sakit menginsafkan kita bahawa suatu nikmat itu bila-bila masa sahaja boleh ditarik oleh Allah.  Sakit akan membuat seseorang insaf dan sedar diri seterusnya menghilangkan sifat sombong. Sakit dapat menundukkan sifat tamak kerana sakit mengingatkan kita bahwa setiap sesuatu itu ada hadnya. Sakit mengajar kita agar santun peribadi, lembut dan tawadhu' kerana bila sakit baru kita sedar betapa kerdilnya kita disisi Allah.
          Sakit adalah nikmat kerana kita dapat merasakan hangatnya tali silaturrahim ketika teman-teman dan saudara menziarahi dan memujuk agar sabar, memberikan senyuman dan rasa rindu mesra. Sakit mempereratkan ukhuah merapatkan hubungan kita dengan teman dan saudara yang selama ini kita sangka menjauh dari kita. Selama ini kita merasa seolah-olah terssisih bertukar menjadi akrab bila teman dan saudara datang menziarahi. Rasa kasih sahabat dan saudara menjadi terapi tambahan kepada sakit kita dan membantu mempercepatkan sakit kita sembuh.
           Sakit adalah nikmat kerana ketika inilah antara waktu-waktu mustajab doa. Rintihan kita didengar oleh Allah ketika kita sakit.

Justeru janganlah kita hanya melihat sakit hanya dari sudut yang negatif. Sakit adalah nikmat jika kita lihat kesan positif pada jiwa dan keimanan. Sakit kadang-kadang bertindak sebagai imunisasi diri bagi menjadikan diri lebih kuat melawan pengaruh-pengaruh yang mendorong kepada dosa.