Thursday 30 April 2015

Pukologi dan Psikologi


Semasa persekolahan saya dulu tahun 60an dan 70an kena rotan ni adalah perkara biasa. Ia diterima oleh semua sebagai teknik mendidik yang berkesan. Anak-anak pada masa itu tekun belajar dan lebih berdisplin kerana takut dirotan jika engkar. Saya masih ingat semasa sekolah kami diminta menghafal sifir kali-kali 2 hingga 12. Jika tidak hafal akan dirotan tapak tangan. Dek kerana takut dirotan setiap hari sentiasa menghafal sifir kali-kali itu. Hafalan sifir ni perlu sebab kami  sudah masuk Ilmu Kira-kira yang menggunakan dharab. Kalau tak hafal sifir macam mana nak buat kira-kira. Begitu juga murid-murid yang nakal buat bising atau keluar kelas tanpa izin akan dirotan. Murid-murid tak berani melanggar displin. Apa lagi Guru Besar pun selalu meronda dengan membawa rotan memeriksa kelas-kelas. Di rumah kaedah yang sama digunakan untuk mendidik dan mendisplinkan anak-anak. Anak yang nakal dan tak mengikut cakap orang tua pasti mendapat habuan rotan , tali pinggang atau getah paip dari abah. Pernah dulu abah melarang kami mandi sungai, tetapi bila kawan-kawan mengajak kami pun ikut juga mandi sungai dan membantah cakap abah. Akibatnya balik bebiratlah belakang kena libas dengan tali pinggang. Ada sekali saya dan kawan  lambat pergi mengaji Quran kerana tak mahu telepas menonton TV cerita "Samurai" di rumah Makcik Mah. Selepas tamat cerita baru pergi mengaji dan   kami saja yang tinggal, yang lain sudah balik. Kami dirotan dan ditahan sehingga lewat baru balik. Bila nak balik rasa takut sebab jalan gelab. Sampai rumah kena lagi rotan dengan abah pula. Ustaz yang mengajar kami tegas jika tak beri tumpuan dan tak hafal akan dirotan tapak tangan. Jadi masa mengaji tak boleh main-main. Pada masa itu kaedah pendidikan merotan sungguh berkesan sehingga kami dapat menguasai pelajaran dengan baik, dapat menghafal surah-surah lazim dan  dapat dikawal dari terjebak dengan masaalah-masaalah sosial remaja. 
               Kini kaedah Pukologi (merotan) sudah tidak relevan dan tidak diterima oleh semua. Kini para pendidik dan ibu-bapa lebih bersetuju dengan pendekatan Psikologi. Bagi mereka merotan menyebabkan anak-anak menjadi bebal. Pendekatan pukologi menjadikan minda anak-anak jumud dan tidak boleh berfikir diluar kotak. Menurut mereka rasa takut buat salah dan menerima hukuman menjadi mereka tidak kreatif dan inovatif. Pendekatan pukologi hanya mampu meletakkan pelajar ke satu tahap dan tidak mampu pergi lebih jauh. Bagi mereka memberi motivasi adalah cara paling berkesan untuk mendisplinkan anak-anak. Anak-anak pelu diberikan rasional mengapa sesuatu itu salah dan hukuman dalam bentu mendidik perlu dibeikan. Misalnya anak yang tidak mencapai tahap yang baik dalam pelajaran mungkin akan dikurangkan elaun belanja sekolahnya. 
               Ibu-bapa yang memukul anak-anak mereka atau guru-guru yang memukul murid mereka diancam tindakan undang-undang jika ada aduan dibuat. Mereka boleh didakwa atas tuduhan mendera. Pendekatan pukologi tidak selamat digunakan kini. Sebaliknya sudah kedengaran kini guru-guru dipukul oleh murid-murid mereka. Ibu-bapa murid juga ada yang menyerang guru-guru dan ada yang mendakwa guru ke mahkamah keana isu rotan. Semasa pendekatan pukologi diterima semua kita tidak pernah dengar perkara ini tejadi. Kini apabila pendekatan psikologi diterima semua anak-anak tidak boleh ditegur lagi.
               Kedua-dua pendekatan ini mempunyai pro dan kon nya. Oleh itu perlu ada penyelarasan agar menafaat dari kedua-dua kaedah ini boleh diimplementasikan.

Thursday 23 April 2015

Antara Kerbau dan Kucing

Bekerja keras dan membuat jasa belum tentu akan membuat anda disayangi. Berapa ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan  air mata darah malah ada sebahagiannya gugur dalam perjuangan serta merengkok dalam penjara sehingga ke penghujung hayat, yang mana mereka tidak pernah disanjung atau diingat. Merekalah yang disebut "The unsung heroes". Namun niat perjuangan mereka bukan mencari nama, tetapi demi pertiwi dan kemerdekaan anak cucu mereka kemudian hari sebagaimana yang kita nikmati hari ini. Tetapi begitulah resam dunia yang bejasa kurang dindahkan tetapi yang mengutip hasil dari jasa orang lain, yang pandai bermuka-muka dan berbahasa disanjung orang kerana petahnya berkata-kata.
          Lihatlah sang kerbau, rumahnya kandang yang busuk dan makanannya rumput-rumput yang tumbuh semulajadi. Tempat permandiannya adalah kolam kubang yang berlumpur dan kotor. Namun seekor kerbau sangat berjasa kerana kudratnya digunakan untuk membajak sawah yang luas. Kadang-kadang ditunggang sebagai kenderaan. Najisnya boleh dibuat baja. Dagingnya boleh dimakan. Jika tidak mematuhi suruhan tuannya ia akan dipukul.
          Lihatlah sang kucing, disediakan tempat tidur yang selesa, makanannya disiapkan tuannya dan dimandikan dengan sabun dan wangian. Tiada apa jasanya kepada tuannya melainkan aksi manja "Alim-alim kucing" nya dan aksi stuntnya ketika bermain-main mengejar dan menangkap sasarannya. Sebagai balasan dihadiahkan kepada tuannya sebuah kek pusing yang busuk disudut-sudut rumah dan bau perfume-nya yang hancing di tempat-tempat strategi sebagai penanda kawasan takluknya.
          Namun berbanding kerbau yang banyak berjasa, manusia lebih menyayangi kucing yang "kurang asam" tu. Hanya kerana kucing itu comel, suka menggesel-geselkan badan ke kaki manusia dan pandai beraksi manja menyebabkan ia mendapat pehatian yang lebih. Bagaimana dengan kerbau yang berjasa? Begitulah resam hidup bila kita bercakap tentang "The unsung heroes". Agaknya kebanyakan orang beranggapan orang yang berjuang dan berjasa tanpa mengharap sanjungan ini, orang yang "Bodoh macam kerbau". Tetapi mereka lupa nikmat kemerdekaan yang kita rasai hari ini adalah hasil perjuangan "The unsung heroes" yang kalian katakan bodoh itu.

Monday 20 April 2015

Ekonomi cara mak.

Tahun 60an dan 70an semasa kami semua masih disekolah rendah kami tidaklah mewah seperti anak-anak jiran. Kalau anak-anak jiran makan ais krim atau kek kami hanya melihat saja kerana mak takkan bagi duit untuk itu. Dengan abah yang bergaji kecil sebagai anggota polis dan menanggung tujuh orang anak janganlah mimpi untuk bermewah seperti mereka. Kerana itu hari raya dan majlis kenduri adalah hari yang menyeronokkan bagi kami. Masa inilah kami dapat menikmati makanan yang tidak terdapat di rumah kami.  Namun kami tujuh beradik tidak pernah kebuluran dan mak akan pastikan kami semua menikmati sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam secukupnya cara mak. 
         Makanan untuk sarapan pagi paling utama adalah nasi goreng resepi mak yang dibuat dari nasi semalam yang tak habis. Samada digoreng dengan dipecah telur, atau carik-carik lebihan ikan goreng semalam atau ikan bilis. Bila tengok nasi goreng tu masing-masing muka monyok. Tapi bila dah lapar licin. Maklumlah masing-masing tengah membesar. Kedua yang utama ialah lempeng tepung cicah kuah kari ikan semalam yang telah diperangatkan. Pilihan lain ialah cicah gula atau sapu susu pekat manis. Ketiga yang utama adalah cucur bawang atau cucur manis. Bila dah masak mak hidangkan dalam tujuh bekas sama banyak supaya semua mendapat jumlah yang sama bagi mengelakkan adik yang kecil tak merasa sebab dimakan habis yang lebih tua. Makaan lain seperti nasi lemak, bihun, kuih-kuih dan makan yang dibeli jarang dapat kami makan. 
         Untuk makan tengahari ikan yang paling utama adalah ikan jenis murah seperti kembung, cencaru, sela dan belanak. Ikan lain jarang-jarang dihidangkan. Sebulan sekali abah masak nasi minyak berlauk ayam dan daging. Abah beli seekor ayam hidup dan sembelih sendiri. Pada masa tu tak ada ayam halal  siap proses dijual. Selepas sembelih ayam dicelur dengan air panas. Lepas tu bulunya dicabut dan ayam disalai untuk buang bulu halus. setelah disiang barulah dimasak dengan rempah-rempah yang abah giling sendiri. Pukul 1.00 tengahari baru siap dan kami semua makan bersama-sama dengan mak dan abah. Punyalah sedapnya tak tekira sebab jarang dapat makan nasi minyak. Masakan tengahari yang sering dimasak mak adalah sambal tumis, ikan masak belada dan kari ikan.Mungkin kosnya tak tinggi.
          Waktu minum petang kami selalunya dihidangkan dua makanan utama iaitu biskut lemak "krim kraker" atau biskut "marrie". juga dihidangkan dalam tujuh  bekas dengan jumlah yang sama suapaya semua merasa. Biskut tu mak beli setin besar untuk sebulan. Sekali-sekali mak masak cucur kodok atau kuih lain.
            Makan malam pula sama dengan apa yang dimakan waktu tengahari. Lauk-lauk dan nasi diperangat semula. Kalau tak cukup lauk apa lagi goreng telur dadarlah untuk tambahan.
            Minuman pagi agak istimewa sebab kami dihidangkan teh susu sebab abah suka minum teh susu. minuman petang teh 'o'. Jarang-jarang dapat minum Milo, kopi atau minuman lain.
            Dengan cara ini mak dapat mencukupkan makanan untuk kami tujuh beradik walaupun abah cuma dapat memberi  duit belanja dapur yang kecil. Malah bijaknya mak mengawal perbelanjaan mak dapat juga menyimpan sedikit wang untuk kecemasan. Beruntung abah dapat mak yang pandai beekonomi demi membesarkan kami semua. Sampai hari ini kami amat menggemari masakan nasi goreng kitar semula mak yang akan dihidangkan untuk sarapan pagi bila kami semua balik ke umah mak.



Thursday 2 April 2015

Terimalah kehadirannya

Kita tidak pernah meminta ia hadir dalam kehidupan kita, namun kini ia telah menjadi sebahagian dari hidup kita mulai 1 April, 2015. Kehadirannya tetap memberi kesan kepada bajet kehidupan dan keluarga kita. Terimalah kehadirannya suka atau terpaksa. Justru bagaimana kita mendepani situasi ini? Dua langkah utama perlu di ambil iaitu pertama, mencari sumber pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan yang bertambah. Kedua menyelaraskan semula bajet keluarga dengan menyingkirkan perbelanjaan yang tidak perlu atau kepeluannya boleh ditangguhkan. Disamping itu hendaklah kita berserah kepada Allah agar ditambahkan rezki dengan mengamalkan amalan berikut:

Memperbanyakkan istighfar
Perbanyakkanlah beristighfar dengan bersungguh-sungguh kerana ianya akan memurahkan rezki orang yang mengamalkannya. Seperti Sabda Nabi SAW:

 "Barangsiapa tekun beristighfar nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezki dari arah yang tidak disangka-sangka"

(H.R. Abu Dawud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Hakim )

Taqwa
Walau dalam keadaan keukaran tetaplah dengan sifat taqwa agar dikasihi Allah lantas Dia memberi jalan keluar atas masaalah kita. Seperti firman Allah SWT:

" Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan membeinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya"

( QS Al-Thalaq: 2-3)

Tawakal
Setelah berusaha bertawakal dan yakinlah kepada Allah . Seperti sabda Nabi SAW:

"Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, nescaya Dia menjamin rezekimu sebagaimana Dia menjamin makanan burung, terbang diwaktu pagi dengan perut kosong namun pulang kembali diwaktu petang dengan peut kenyang"

(H.R. Imam Ahmad, Tirmizi, Nasa'i , Ibnu Majjah dan Ibnu Hibban)

Doa
Janganlah putus asa dengan rahmat Allah, bedoalah dengan penuh yakin pasti Allah akan makbulkan. Seperti firmanNya :

"Dan Rabbmu  berfirman: berdoalah kepadaku nescaya akan ku perkenankan bagi mu"

(QS Al-Mu'min:  60)


Bersedekah
Tidak pelu menunggu menjadi kaya untuk bersedekah. Amalkan bersedekah ikut kemampuan kita kerana ia bukan sahaja memberi pahala tetapi ia juga menarik rezki. Firman Allah SWT :

"Barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah maha pemberi rezki yang sebaik-baiknya"

(QS Saba':  39)

Bersyukur
Bersyukurlah walau macam mana keadaan kita. Allah menyukai orang yang besyukur dan permurah kepada orang yang bersyukur. Firman Allah SWT:

" Sesunguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatku) maka azabku sangat pedih."

(QS Ibrahim : 7)


Ayoh! Mari kita amalkan.