Thursday, 7 April 2016

Bagaimana anda berfikir begitulah anda hidup





Kalau kita perhatikan sering kita dapati bahawa orang yang gagal atau hidup tidak bahagia biasanya mempunyai persepsi negatif tentang dirinya sendiri. Kebanyakan mereka menganggap diri mereka telah ditakdirkan tidak beupaya dan serba kekurangan sehingga mereka tidak mampu berubah kepada kehidupan yang lebih baik. Sebenarnya kitalah yang menyebabkan diri kita jadi begitu kerana sentiasa memikirkan yang negatif tentang diri kita sendiri. Menurut Dale Carnegie, sebenarnya fikiran kitalah yang membentuk peribadi kita, dan arahan fikiran kita adalah faktor utama yang membentuk perjalanan hidup kita.
            Jika kita fikirkan kita boleh tentu kita boleh melakukan. Sebaliknya dari awal lagi kita fikirkan kita lemah dan tak berdaya maka kita akan kecundang sebelum berjuang. Orang yang berfikiran negatif begini sentiasa merelakan keadaan dirinya tanpa ingin berusaha untuk berganjak ke arah yang lebih baik. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, " Sesiapa yang rela maka baginya kerelaan, dan sesiapa yang benci maka baginya kebencian." (HR Termizi). Ini bermakna kalau seseorang itu tidak mahu berusaha merubah nasibnya dan merelakannya maka itulah nasibnya.
                Pandangan ini juga diperkatakan oleh seorang ahli motivasi Ranjit Singh, dalam bukunya 'Mempertingkatkan Harga Diri'  bahawa, anda akan menjadi apa yang anda paling kerap fikirkan. Apa yang lazim anda fikirkan akhirnya terpahat dalam minda separa sedar anda. Apa-apa yang dipercayai sebagai benar oleh minda sedar anda, minda separa sedar akan menerimanya dan membawanya ke tahap realiti. Minda separa sedar anda akan mempercayai apa sahaja yang anda katakan kepadanya walaupun perkara itu tidak benar. Minda separa sedar tidak berupaya mena'kul dan berfikir dengan sendiri. Jika anda berfikiran negatif bermakna negatiflah hasilnya.                                                                  Oleh itu kita perlu sentiasa berfikiran positif dalam hidup kita. Inilah kekuatan dalaman yang perlu ada  dalam diri kita. Menurut Prof. Dr Muhaya Hj Mohamad, seorang ahli motivasi faktor kekuatan dalaman sangat penting dalam diri seseoang kerana ia menentukan faktor luaran seseorang. Jika seseorang itu berfikiran positif,  perkara seperti  percakapan, perasaan  dan emosi akan positif maka semua tidakbalas dalaman yang dilakukan oleh tubuh badan akan memberi kesan kepada dunia luaran. Misalnya jika kita memberi senyuman, orang akan senyum kepada kita, jika kita marah, orang akan marah kepada kita. Berdasarkan keterangan ini jelas apa yang kita fikirkan negatif atau positif akan membentuk kehidupan dalam dan luaran kita.
                   Kesimpulannya umumnya kejayaan ialah satu keadaan minda  dimana anda mengawal magnitud kejayaan anda dengan mengawal kepercayaan anda. Berfikiran positiflah jika ingin berjaya dan bahagia.

No comments:

Post a Comment