Wednesday 20 January 2016

Barang Yang Lepas Jangan Dikenang

Apabila masuk tahun baru ianya akan meninggalkan kenangan yang baik dan buruk pada tahun yang ditinggalkan. Kenangan yang manis membuat kita ingin kembali ke masa itu seolah-olah itulah masa yang paling bahagia bagi diri kita. Kenangan pahit pula membuat kita sedih dan tidak dapat melupakannya seolah-olah itulah saat yang paling malang dalam hidup kita. Namun kita tidak dapat kembali ke waktu itu untuk sekali lagi menikmati saat bahagia yang telah berlalu itu. Juga tidak dapat kembali ke waktu itu untuk membetulkan segala kesilapan yang menjadi peristiwa pahit dalam hidup kita. Menghayalkan keseronokan masa lalu dan menyesali kesedihan yang lepas tidak akan menambahbaik kehidupan kita dimasa hadapan. Dalam hal ini Imam Syafie telah berpesan,

" Jadikan masa yang berlalu itu pengalaman dan pelajaran, masa yang sedang berjalan itu kita isi dengan amalan dan masa hadapan jangan terlalu diangan-angankan. "

Pengalaman masa lalu adalah pelajaran yang sangat berharga. Bak kata pepapatah, "Yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan". Oleh itu meratapi peristiwa pahit masa lalu tidak akan memberi apa-apa faedah kepada diri kita. Saidina Umar Ibnu Khattab berkata,

" Sebesar mana rasa bersalah mu tidak boleh mengubah masa lalu dan sebesar mana keisauan mu tidak dapat mengubah masa depan. "

Tidak guna mengenang barang yang lepas. Sepatutnya kebaikan dimasa lalu dijadikan kayu pengukur (Bench Mark) dan motivasi untuk berbuat lebih baik lagi. Sedangkan kesilapan masa lalu jangan dibiar berulang lagi. Seperti kata pepatah, "Jangan dipatuk ular dilubang yang sama dua kali." Hanya orang yang bodoh yang tidak pernah belajar dari pengalaman dan mengulangi pengalaman lalu tanpa ingin berubah.
         Hiduplah untuk masa kini kerana masa kini adalah masa yang pasti. Sedangkan masa yang lepas telah berlalu takkan kembali. Manakala masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti. Mulakan kembali dengan keazaman yang baru yang lebih kuat serta taubat. Azam dan taubat umpama kita membersih dan mengemaskan semula bilik operasi hidup kita. Bila ianya sudah bersih dan tersusun rapi barulah kita dapat melaksanakan azam kita dengan penuh semangat dan bermotivasi.