Friday 31 December 2021

Mari Mengunjungi Tiga Taman Syurga Di Dunia

 

 

Menurut keterangan dari Nabi SAW bahawa Allah telah menyediakan tiga buah taman syurga di dunia ini bagi orang-orang beriman. Allah menjemput menghadiri taman syurganya di dunia agar nanti akan dijemput ke syurganya di akhirat. Yang dikatakan taman syurga yang dinaungi malaikat ini adalah Majlis zikir dan majlis ilmu, apabila kita menziarahi saudara muslim yang sakit dan Raudah di Masjid Nabi di Madinah.

 

  

Majlis Zikir Dan Majlis Ilmu

Nabi SAW menyeru kepada sesiapa melalui tempat-tempat majlis zikir dan majlis ilmu agar singgah kerana ianya adalah merupakan taman-taman syurga di dunia yang penuh berkat . Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

"Apabila kamu melalui taman-taman syurga singgahlah dan nikmatilah sajiannyha", Para sahabat bertanya ,"Apakah taman syurga itu?" Rasulullah menjawab ,"Majlis zikir. Allah memilih para malaikat yang selalu berkeliling mencari majlis-majlis zikir ini. Apabila mereka datang ke tempat itu mereka akan duduk bersama orang yang berzikir."

(H.R. Muslim)

Yang dimaksudkan majlis zikir itu adalah termasuk majlis-majlis ilmu. Dimana orang-orang mukmin berkumpul mendengarkan penyampaian ilmu. Menurut keterangan oleh Ustaz Tuan Syed Norhisham bin Tuan Padang dalam radio IKIM bahawa tempat paling mulia disisi Allah adalah majlis-majlis ilmu. Majlis ilmu adalah jalan yang akan memudahkan laluan ke syurga. Rasulullah SAW bersabda, "Barangsaiapa menempuh suatu jalan mencari ilmu maka Allah memudahkan jalan masuk syurga" (H.R.Muslim)

Menurutnya lagi malaikat merendahkan sayapnya sebagai suatu keredaan kepada penuntut-penuntut ilmu. Manusia seumpama sepohon pokok kering yang hendaklah selalu disiram dengan air hujan bukan sahaja membasahi bumi tetapi turut menyuburkan pokok-pokok yang kering kontang. Begitulah hati manusia yang jauh dari zikir dan majlis ilmu akan menjadi keras seperti batu dan sukar dilembutkan lagi (1)

Dengan menghadir taman syurga ini kita akan mendapat doa-doa dari malaikat dan hati kita akan sentiasa digilap agar sentiasa bersinar. 


 

                                                                        

Menziarahi Orang Sakit

Apabila kita menziarahai saudara-saudara muslim kita yang sakit sebenarnya kita sedang berada di taman syurga di dunia sehingga kita balik. Di situ kita akan dimohonkan keampunan  oleh beribu malaikat. Akan ada yang memanggil dan mengkhabarkan bahawa yang berziarah itu sedang menyiapkan tempat di syurga. Dalam sebuah hadis yang bermaksud, 

"Seseorang muslim apabila menjenguk saudaranya yang sedang sakit dia tetap berada di taman syurga hinggadia balik"  ( H.R. Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata Rasulullah SAW bersabda,"Barang siapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudara seislam (kerana Allah) makan akan ada yang memanggilnya bahawa engkau telah berbuat baik dan dalam perjalanan mu juga baik serta engkau telah menyiapkan suatu tempat tinggal di dalam syurga "  ( H.R. Tirmizi No. 2008 )

Mengulas tentang hal ini Ustaz H. Jimaain bin Safar Ketua Group Islamic Educational Thought and Methodology Research UTM  bahawa orang muslim bertanggung jawab menziarahi saudaranya yang sakit. Orang yang menziarahi saudaranya yang sakit akan disediakan tempat tinggalnya di syurga. Menziarahi orang muslim akan menggembirakannya seperti yang disabdakan Nabi m SAW, "Sebaik-baik amal adalah engkau membuat gembira saudara mu yang  beriman"  (H.R. Ibnu Abi Dunya)  (2)

Orang menziarahi suadara muslim yang sakit bakal didoakan keampunan dari 70,000 malaikat. Ini berdasarkan hadis oleh Imam Al-Suyuthi dalam kitab Lubabul Hadis.

"Siapa yang menjenguk orang sakit yang salih maka keluar bersamanya tujuh puluh ribu malaikat yang memintakan ampun untuknya dan mereka keluar dari rumah orang sakit itu bersamanya dan mereka masuk ke rumahnya" (3)


Raudhah

Raudah adalah tempat antara rumah Nabi SAW dengan mimbarnya. Ini adalah satu lagi taman syurga di dunia. Ini berdasarkan Sabda Nabi SAW yang bermaksud,

"Apa yang ada di antara rumahku dan mimbarku ini adalah satu daripada taman-taman syurga " (H.R. Bukhari & Muslim)

Lazimnya setelah tiba di Madinah jemaah umrah/haji merebut peluang menziarahi makam Rasulullah SAW dan memasuki Raudah. Tempat yang dikatakan Nabi SAW sebagai taman syurga di dunia adalah tempat mustajab doa. Oleh itu para jemaah berebut untuk mengambil peluang berdoa di situ. 

Dalam sebuah artikal  Karya  Bestari , maksud taman syurga menurut Ibnu Qutaibah ,  hadis ini bukan hendak mengatakan bahawa di antara rumah dan mimbar Nabi SAW itu terdpat taman syurga. Akan tetapi kerana ibadah yang dilakukan di tempat itu menyebabkan masuknya ke syurga maka ia seolah-olah sebahagian dari syurga  (4) 

Berdasarkan keterangan-keterangan mengenai tiga taman syurga di dunia ini dapat lah kita ketahui bahawa  taman syurga ini dinaungi para malaikat dan dipohankan keampunan ke atas pengunjungnya.Tempat yang berkah ini memudahkan jalan kita menuju  ke syurga.


____________________________________________________________________________

(1) IKIM - http:// ikimfm.my/taman syurga

(2) H. Jamaain . Safar - http: // people_utm.my/ajmain/

(3) MalangKini - http:// malangkini: pikiran-rakyat.com

(4) karyabestari.com




No comments:

Post a Comment