Monday, 8 February 2016

Mengenali Orang Amanah

Seseorang yang amanah janganlah dinilai hanya kerana rupanya atau penampilannya yang nampak berwatak keagamaan semata-mata. Amanahnya seseorang itu tidak boleh diukur dengan puji-pujian dari orang ramai semata. Walaupun kadang-kadang orang itu seorang teman yang rapat dengan diri kita. Sedangkan emas pun ada yang tiruan. Oleh itu ketulinan emas perlu diuji sebelum nilai emas itu dapat ditaksir. 
        Dalam sebuah atsar pernah Saidinia Umar mendengar seseorang memuji orang lain dengan kata-kata bahawa orang itu jujur dan dapat dipercaya. Kemudian Umar bertanya kepada orang yang memuji-muji temannya itu:
"Sudah pernahkah anda bersama-samanya dalam perjalanan?"
"Belum", jawab orang tadi.
"Pernahkan terjadi perkelahian antara kalian berdua?"
"Belum"
"Sudah pernahkah anda menitipkan amanah kepadanya?", kata Umar
"Belum",jawab orang tadi.
"Kalau begitu anda belum mengenal betul-betul peribadi orang itu, yang anda lihat hanyalah ia naik-turun mesjid saja"

Jelas bagi Umar naik turunnya seseorang di mesjid tidak menjadi petanda jaminan bahawa seseorang itu seorang yang baik. Ini tidak bermaksud meremehkan peranan ibadah. Dalam mengenali manusia Umar tidak meneliti ibadahnya sahaja tetapi meneliti juga perwatakan itu secara keseluruhan. Ibadah sepatutnya menjadi alat penyelaras bagi keperibadian dan kesempurnaan seseorang. Oleh itu Umar amat menyesali orang bertaqwa yang bodoh juga orang bijak yang kurang taqwanya.
           Begitulah panduan yang boleh kita amalkan seperti yang diajarkan oleh Saidina Umar bila kita ingin menilai seseorang yang kita ingin titipkan amanah kepadanya. Apalagi jika kita ingin mengangkat ia menjadi pemimpin bagi umat Islam.

No comments:

Post a Comment