QANAAH adalah sifat yang hanya ada pada orang yang beriman iaitu merasa cukup dan memadai menerima rezki yang dikurniakan Tuhan kepadanya, serta merasa bersyukur kepada Allah terhadap rezki yang diterimanya. Inilah yang juga disebut sebagai kaya hati. inilah kaya yang sebenar kerana perasaan sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada dan tidak merasa gelisah walau kekurangan harta. Tetapi ada yang mempunyai fahaman yang salah tentang maksud qanaah kerana mereka merasa rela dan berserah sahaja dengan kekurangan dan kehidupan yang rendah, lemah semangat dan kemahuan untuk cita-cita yang lebih tinggi, mati keingingan untuk mencapai kemajuan moral dan material. Bagi mereka rezki telah ditentukan, seperti pepatah Melayu, "rezki secupak takkan jadi segantang". Bagi mereka apa yang penting kita kena memberi tumpuan kepada amal ibadah. Soal rezki semuanya terserah kepada Allah, semuanya telah ditetapkan. Ini menyebabkan kelesuan untuk membebaskan diri dari kelaparan, kemiskinan dan kesengsaraan. Ini sangat bercanggah dengan konsep tawakal yang diajar oleh Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud,
"Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, nescaya Dia menjamin rezkimu sebagaimana Dia menjamin makanan burung terbang diwaktu pagi dengan perut kosong namun pulang kembali diwaktu petang dengan perut kenyang"
(H.R. Imam Ahmad, Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah & Ibnu Hibban)
Memang benar janji Allah membei rezki kepada makhluknya adalah pasti, namun burung tidak tunggu diam menunggu rezki datang dari langit. Sebaliknya pagi-pagi lagi ia telah keluar mencari rezki dan berkat usahanya Allah menganugerahkan rezki kepadanya.
Qanaah bukan demikian tujuannya. Qanaah adalah sebagai suatu sifat yang mengekang atau sempadan jiwa manusia supaya sanggup membatasi sifat tamak dan haloba yang tidak dapat dikendalikan dengan semata-mata akal dan fikiran. Ianya sebaliknya pula bukanlah sifat bermalas-malas dan berserah kepada Allah tanpa usaha dalam mencari rezki dan kekayaan. Salah faham terhadap konsep qanaah ini adalah satu daripada punca kemunduran umat Islam dalam pelbagai bidang.
No comments:
Post a Comment