Sunday, 4 February 2018

Mengurus Kemarahan


Marah adalah sifat yang menjadi fitrah kehidupan manusia. Marah penting kerana dengan adanya rasa marah manusia bangkit membela maruah dan mempertahankan  haknya. Kerana marah rakyat sesuatu negara menuntut kemerdekaan dan keadilan. Tetapi jika marah tidak dikawal manusia akan mengamuk dan mencederakan orang lain. Marah jika tidak dikawal perkara kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan secara aman akan menjadi punca permusuhan yang tidak berkesudahan. Oleh itu marah hendaklah diurus dengan baik bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Cegah marah

Rasa cepat marah atau baran perlu dicegah kerana jika tercetus akibatnya buruk. Ianya akan mengakibatkan permusuhan dan dendam. Langkah-langkah yang boleh diambil ke arah itu antaranya

(a) Untuk mendapat kekuatan behadapan dengan tekanan seseorang perlu membuat latihan bebas tekanan. Ini boleh dilakukan dengan banyak bermeditasi dan memperbanyakkan zikir. Dengan cara ini jiwa akan lebih kuat dan tenang berhadapan pelbagai tekanan. Zikir boleh juga dalam bentuk melihat kebesaran Allah dengan memerhatikan keindahan alam ciptaanNya. Kesannya jiwa akan menjadi besar dan orang berjiwa besar tidak mudah melenting dengan perkara-perkara titik bengik.  Terdapat juga program-program motivasi yang boleh diikuti bagi mengawal rasa marah dan melatih diri secara praktikal mengurus tekanan.
(b) Jauhkan diri dari provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan. Jauhi golongan yang suka menyindir, memperleceh dan bergurau melampaui batas. Elakkan berdebat yang matlamatnya untuk menang dan bukan mencari kebenaran. Jauhi perbincangan isu-isu sensitif berkait dengan agama, politik dan bangsa. Ianya merupakan unsur-unsur yang bakal mencetuskan sakit hati dan marah bila ianya bertentangan dengan pendirian seseorang.
(c) Gunakan humor  dalam percakapan dan perbualan bagi memperlihatkan perkara yang dibicara itu bukan perkara yang menyinggung perasaaan. Ianya sebagai isyarat bahawa seseorang dalam mood yang baik dan tidak marah.
(d) Berfikiran positif dalam setiap keadaan dan jangan berfikiran negatif. Misal bila seseorang diberikan tugas baru janganlah anggap inya menambah beban tetapi anggaplah ianya satu peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru. Juga ianya satu petunjuk bahawa dia  layak dan diberi kepecayaan. Jangan selalu buruk sangka bila kawan menegur kekurangan kita. Dia bukan bertujuan menjatuhkan tetapi cuba membaiki apa yang silap. Berfikiran negatif akan sentiasa membuat seseorang dalam keadaan marah kerana semuanya tak kena dalam hidupnya.
(e) Bersenamlah kerana bersenam akan mencerdaskan minda dan minda yang cerdas akan mendahului emosi dalam membuat keputusan. Badan yang lemah dan kurang sihat lebih mudah dikuasai emosi dan menjurus kepada rasa cepat marah.

Kawal marah

Apabila perasaan marah mulai terasa ada bebeapa langkah yang boleh diambil bagi mengawalnya agar tidak meletus. 
(a) Membaca ta'awuz dengan segera agar tidak dipengaruhi syaitan yang akan menyuruh manusia cepat bertindakbalas ke atas pencetus kemarahan tanpa berirkir panjang. Jika kemarahan masih memuncak segera mengambil wuduk agar api kemarahan akan mendingin.
(b) Ingatlah betapa besar pahala orang yang mampu menahan kemarahan disisi Allah. Mengalah bukan bererti kalah. Menahan diri dari marah bukah bererti lemah. Sabda Nabi SAW "Bukanlah orang yang kuat (yang sebenarnya) dengan (mengalahkan lawannya dalam) pergulatan (pekelahian) tetapi tidak lain orang kuat (yang sebenarnya) adalah mampu mengendalikan dirinya ketika marah" (H.R. Bukhari No. 5763)

(c) Mengambil sikap berdiam diri tidak berbicara bila rasa hendak marah kerana ketika marah sedang berputik percakapan yang keluar pasti dengan nada yang tinggi dan tonasi yang tidak mengenakkan.
(d) Ambillah posisi duduk atau berbaring  kerana posisi berdiri atau bergerak akan menggalakkan seseorang untuk menyerang penyebab kemarahan. Oleh itu jika ketika marah mula terasa segeralah duduk atau berbaring. 
(e) Bayangkanlah betapa buruknya penampilan diri bila sedang marah. Imej budiman dan akhlak terpuji akan terhakis. Kelak orang akan menyangka itulah wajah sebenar kita.
(f) Sentiasa ingat besarnya pahala jika memaafkan. Firman Allah SWT, "Orang yang bertaqwa adalah mereka yang menafkahkan (harta mereka) baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang lain.Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan (QS Ali Imran: 134)

(g) Hendaklah menjauhkan celaan, makian, tuduhan, laknat dan cercaan.Itu semua perangai orang jahil, yang akhirnya akan mencetus persengketaan.

Luahkan marah 
Setiap orang tidak lepas dari rasa marah namun sebaiknya kita luahkan rasa marah itu secara terus terangn agar ianya tidak tebuku di hati. Dengan cara ini kita dapat memperbetulkan segala masaalah yang kita hadapi.Rasa marah jika dipendam akan menimbulkan berbagai masaalah lain pula. Namun beberapa perkara perlu diambil perhatian sebelum meluahkan rasa marah.

(i)  Kita hendaklah bertanggungjawab dengan perasaan marah kita. Semasa meluahkan rasa marah nyatakan tentang perkara yang dimarahi dan bukan menyerang peribadi orang yang kita marah. Misalnya katakan, "Saya marah dengan tindakan awak kerana tidak memaklumkan kepada saya terlebih dahulau..........." Bukan , "Awak tu siapa memandai-mandai ambil tindakan........"
(ii) Ambil sedikit waktu untuk bertenang dan menyejukkan perasaan. Dengan berbuat begini kita akan bercakap dengan rasional dan tenang.
(iii)Luahkan rasa marah itu dalam nada yang positif.  Contohnya, "Saya hargai awak menyiapkan kerja dengan cepat mengikut masa yang ditentukan. Namun awak buat saya marah kerana banyak kesilapan dalam kerja awak." Bukan sebaliknya mengkritik," Awak ni kerja asal siap sahaja , tapi kerjanya hentam keromo saja. Makan gaji buta"


Jika tidak dapat diluahkan 

Walaupun kita ingin meluahkan kemarahan kita ada ketikanya kita tak dapat  lakukannya mungkin yang membuat kita marah itu kadang-kadang ketua kita atau orang yang lebih berkuasa dari kita. Ini menimbulkan rasa takut dan khuatir menjejaskan tugas atau karier kita. Apa lagi kemarahan itu belum sampai ke tahap untuk kita mengorbankan kepentingan  kehidupan kita. Jika ini terjadi kita masih boleh meluahkan rasa marah dalam bentuk yang lain.

(i) Sediakan "punch bag" khas untuk kita luahkan marah dengan menumbuk dan menendangnya dengan menyebut apa yang kita marah sepuasnya. Selepas itu bolehlah kita lupakan segala kemarahan itu.
(ii) Tukar tenaga marah kepada tindakan positif. Misalnya pegawai atasan kita membuat kita marah dan  dengan kemarahan membuap-buap itu kita tanamkan azam untuk memajukan diri dalam kerjaya. Jadikan ia sebuah dendam yang positif. Dendam untuk naik ke atas tanpa memijak orang lain.
(iii) Mengadulah kepada Allah dalam solat dan doa. Serah kepadanya dan yakinlah doa orang yang terinaya tidak ada hijab dan pasti dimakbulkan Allah. Doakan agar segala kesilapan dapat dibetulkan dan orang berkenaan diberi pengajaran agar ia insaf.

Sunday, 14 January 2018

Mereka yang gagal



Untuk berjaya seseorang haruslah punya matalamat yang jelas, kerja keras , tabah dan sabar menghadapi liku-liku perjuangan untuk memajukan diri. Tanpa sifat-sifat positif tersebut anda akan tergolong dalam mereka yang gagal. Mereka yang gagal mempunyai ciri-ciri negatif seperti dinyatakan dibawah:
  • Memfokus pada diri sahaja dan enggan melihat bagaimana orang lain boleh berjaya. Tidak mahu cuba belajar dari pengalaman orang lain. Halangan utama adalah sikap enggan berubah ke arah yang lebih baik dan maju.
  • Ketidaksanggupan mengambil risiko langsung menyebabkan ianya gagal menganjak kearah yang lebih tinggi. Dia lebih selesa ditakuk lama asalkan tidak berisiko. Dia lebih merasa selamat berada di zon selesa tanpa risiko.  
  • Berfikiran negatif terhadap tugas dan menganggap tanggungjawab sebagai beban. Dia lebih suka meliahat masaalah dahulu tanpa mempertimbangkan peluang yang ada. Ini menyebabkan segala yang dirancang terbantut. Malah dalam keadaan dimana peluangnya begitu baik dan berpotensi pun dia memikirkan masaalah yang menerawang dalam fikiran dia sendiri. Terlalu bersikap negatif akhirnya peluang yang baik berada di hadapan mata terlepas begitu sahaja. Mereka sering memberi berbagai alasan tanpa berusaha mencari penyelesaian alternatif.
  • Berpuas hati dengan apa yang diketahui  dan enggan mengetahui lebih lanjut tentang sesuatu yang diketahui. Tidak berminat untuk berusaha lebih untuk meningkatkan potensi diri. Mereka lebih banyak bercakap untuk menampakkan mereka sebagai orang tahu dan berjaya. Kebiasaanya mereka tidak sedar apa yang mereka cakap. Bila sudah banyak bercakap mereka biasanya enggan mendengar nasihat dan pendapat orang lain. Bagi mereka mendengar nasihat dan pendapat orang lain menunjukkan kejahialan mereka. Akhirnya pemikiran akan berada di takuk lama.
  • Tidak melibatkan diri dengan persekitaran dan lebih suka menyendiri. Pergaulannya terhad dengan kumpulan kecil. Mereka membenci golongsan berjaya dan pemenang serta mencari kelemahan mereka. Mereka sepatutnya belajar dari golongan ini. Sebaliknya mereka enggan mengakui kelemahan sendiri.  Apa yang berlaku disekelilingnya bukan masaalah dia. Bantuan baginya adalah gangguan.
  • Fokus hanya kepada kerja sendiri tak mahu ceburi bidang lain. Enggan ambil alih kerja orang lain kerana takut tambah bidang tugas sedangkan ianya satu peluang belajar perkara baru. Manusia adalah insan sosial. Saling bergantungan sepatutnya menjadi ideal manusia disamping kecukupan sendiri. Tiada seorang individu yang mempuyai semua bakat, idea, keupayaan untuk melakukan fungsi keseluruhan. Kita semua saling bergantung dan tidak mungkin untuk fokus kepada kerja sendiri.
  • Merasa cepat kecewa dan menganggap kegagalan sebagai satu hukuman dan bukan cabaran untuk maju. Orang berjaya menganggap kegagalan sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya mereka yang gagal sering dihantui oleh kegagalan masa lalu. Kegagalan yang pernah berlaku dalam hidup mereka bersarang dalam pemikiran mereka sehingga kini. Mereka takut untuk menghadapi kenyataan dan sebaliknya memilih untuk hidup di masa lampau.
  • Terlalu peduli dengan kritikan negatif  menyebabkan segala yang ingin dilaksanakan tidak berani dilaksanakan. Tiiada siapa yang mampu memuaskan hati semua orang  dan jika kita mahu semua orang suka dengan apa yang kita lakukan kita tidak akan bejaya. Jika kritikan itu membina boleh kita ambil kira untuk membuat perubahan atau penambahbaikan. Jika tidak, jangan ambil kisah dan teruskan apa yang telah dirancang kerana ia hanya akan menyekat perjalanan kita.
  • Tidak berpengaruh  kerana enggan berusaha meningkatkan diri dan kemahiran agar bepengaruh terhadap orang lain. Untuk menjadi seorang yang berpengaruh kita haruslah mempunyai pengetahuan dan kemahiran sehingga kita menjadi seorang yang istimewa. Untuk itu kita perlu mempertingkatkan ilmu dan kemahiran. Ini dipanggil 'keizen' dalam masyarakat Jepun yang bermaksud semangat peningkatan yang berterusan. Melalui pembelajaran kita berupaya membuat sesuatu yang kita tidak pernah dapat buat sebelum ini. Melalui pembelajaran kita melanjutkan keupayaan kita untuk mencipta menjadi sebahagian daripada peroses generatif kehidupan. Sebaliknya enggan belajar berarti berada ditakuk lama dan terus gagal.
  • Tidak memaafkan orang lain menyebabkan jiwa tidak tenteram dan tertekan menjurus kepada gejala yang merosakkan diri. Sebaliknya apabila melakukan kesilapan enggan meminta maaf serta mengulangi kesilapan tanpa rasa bersalah.
  • Sentiasa mempunyai kerja sebagai alasan untuk mengelak dari disuruh membuat kerja lain atau tangungjawab lebih berat. Hakikatnya dia tidak bekerja keras tetapi sentiasa tidak mempuyai cukup masa. Ini adalah kerana suka buat keja saat akhir, gopoh dan terlalu lembab. Sebaliknya orang yang berjaya bekerja keras dan menyiapkan kerja mengikut masa yang ditetapkan. Mereka sentiasa ada masa untuk menikmati ketenangan.
  • Tiada perancangan adalah punca utama kegagalan. Bak kata pepatah , "Jika anda tidak merancang, berarti anda merancang untuk gagal" Ramai yang mengabaikan espek ini dan akhirnya mereka menemui kegagalan. Sekecil-kecil perancangan itu adalah kunci kejayaan. 
  • Tidak berdoa agar Tuhan memberi kekuatan untuk berubah dan maju. Enggan berdoa menunjukkan sikap angkuh dan sombong terhadap Tuhan.

Wednesday, 10 January 2018

Setiap Menusia Adalah Istimewa

Kalau kita hanya melihat kepada kekurangan diri kita semata-mata orang lain juga akan nampak kita dari sisi kelemahan kita sahaja. Ini adalah suara dalaman negatif yang sentiasa mencari espek kelemahan diri yang akan membunuh nilai kendiri seseorang. Eugene Sagan seorang ahli psikologi menamakannya "kritik patologi". Orang yang mempunyai nilai kendiri yang rendah pasti akan mendengar dan akur dengan kritik patologi ini. Suara-suara ini akan membisikkan ciri-ciri seperti
(a)  Menamakan kita dengan bodoh, hodoh, kekok, pemalas dan tidak kompeten.
(b)  Memperingatkan kelemahan dan kesilapan kita.
(c)  Membandingkan kita dengan pencapaian orang lain dan mendapati kita serba kekurangan.
(d)  Mengetepikan pencapaian-pencapaian dan kekuatan-kekuatan kita.
(e)  Memperbesarkan kelemahan-kelemahan kita.
Orang yang  mempunyai nilai kendiri yang tinggi tidak menghiraukan kritik patologi ini dan terus berusaha dan bersifat positif.
          Jangan suka membandingkan diri dengan orang lain secara negatif. Perbandingan sebegitu adalah perangkap yang membuat seseorang putus asa dan hilang motivasi untuk mencapai cita-cita. Kita sepatutnya menegaskan pada diri kita bahawa "Aku indivdu unik. Tidak perlu menjadi salinan fotostat sesiapa. Aku bukanlah sempurna tetapi berupaya membuat yang terbaik dari segala pengetahuan yang ada . Aku mencuba menjadi insan yang lebih baik dan aku menerima keadaan diriku buat masa ini" 
         Kita hendaklah menerima diri kita seadanya tanpa syarat. Menurut Maxwell Maltz , penerimaan diri adalah 'menerima dan menyenangi diri sendiri, dalam keadaan sekarang dengan segala kecacatan, kelemahan, kekurangan, kekhilafan serta aset dan kekuatan kita.' Iaitu menerima diri dengan tanpa menafikan bahagian-bahagian tidak sempurna pada diri kita, juga tidak menolak keperluan untuk berubah dan memajukan diri. Hendaklah kita sedar dan menerima batas kemampuan kita dan batas kemampuan orang lain. Jangan berharap untuk menjadi seorang yang sempurna. Keinginan untuk menjadi sempurna akan menghakis harga diri. Ini adalah kerana keinginan menjadi sempurna membuat seseorang tidak pernah merasa memadai dengan pencapaiannya sendiri.
          Disamping itu kita jangan memperkecilkan bakat dan kemahiran diri sendiri yang mungkin tidak ada pada orang lain. Manusia itu unik, malah orang cacat dan kurang upaya pun mempunyai kelebihan yang tiada pada orang biasa. Albert Einstein seorang murid lembam pernah diusir dari sekolah adalah seorang saintis yang terkenal. Shakespeare  seorang yang lumpuh adalah seorang sasterawan Inggeris yang terkenal. Beethoven seorang yang pekak adalah seorang komposer muzik yang terkemuka disanjung sehingga kini. Kalau mereka boleh, apakah kita yang normal tidak mampu membuat yang lebih baik. 
          Jadi lebih baik kita mula menetapkan cita-cita  dan matlamat yang manasabah yang kita  yakin mampu dicapai. Kita ukur kemajuan diri tahun ini dengan pencapaian kita tahun lepas.Itu lebih baik dari membandingkan dengan pencapaian orang lain. Dengan perbandingan diri sendirilah kita akan mengecap kepuasan serta menghargai nilai diri. Berubahlah dari membandingkan kepada memajukan diri. Kita mula membina kehidupan dari kejayaan-kejayaan kecil, tumpukan kepada kelebihan-kelebihan yang ada disamping meneima kekurangan diri.
          Oleh itu kita perlu percaya kepada diri kita sendiri. Kita akan menjadi apa yang kerap kita fikirkan. Menurut Ranjit Singh Mahli, dalam bukunya 'Mempertingkatkan harga diri' , apa yang lazim kita fikirkan akan terpahat dalam minda separa sedar (subconcious mind) kita. Apa-apa pun yang dipercayai sebagai benar oleh minda sedar ( consious mind) kita, minda separa sedar kita akan menerimanya dan membawanya ke tahap realiti. Minda separa sedar kita akan mempercayai apa sahaja yang kita katakan kepadanhya , walaupun perkara itu tidak benar. Minda separa sedar tidak berupaya menakkul dan berfikir dengan sendiri. Kejayaan ialah satu keadaan minda , kita mengawal magnitud kejayaan kita dengan mengawal kepercayaan kita.
            Justeru itu marilah kita melihat espek positif diri kita dan tidah hanya fokus kepada espek kelemahan diri. Kita seharusnya memilih diri kita sebagai kawan karib kita. Sebagai kawan karib kita menerimanya seadanya tanpa syarat. Kita seharusnya menghargai kekuatan-kekuatan dan atribut-atribut positif  yang ada dalam diri. Disamping tidak menafikan wujud kelemahan-kelemahan dan kesilapan yang berlaku sekali-sekala yang merupakan fitrah mansia.
 
           
          

Monday, 26 December 2016

Bagaimana mahu kekal dalam grup




Media sosial adalah fenomena berkomunikasi secara santai yang popular kini. Terdapat perlbagai media sosial yang popular seperti facebook, wassapp, instagram, wechat dan sebagainya. Keseronokan bersembang (chat) membuat seseorang jadi leka dan tidak memperdulikan persekitarannya. Namun tak kurang juga kesetiaan seseorang ahli grup tidak berpanjangan akibat rasa tersinggung dan tidak puas hati. Oleh itu jika kita ingin bertahan lama dengan sesuatu grup banyak perkara yang perlu kita fahami dan bertoleransi.

  • Fahamilah bahawa ahli grup mempunyai banyak perbezaan dari segi pendidikan, hobi, sifat, fahaman agama, kematangan dan pola berfirkir. Misalnya jika kita seorang yang berpendidikan tinggi mungkin bahan yang kita post hanya akan dibaca dan mendapat respon dari mereka yang berpendidikan tinggi. Jika majoriti ahli grup kurang berpendidikan mungkin posting kita tidak dibaca atau mendapat perhatian dari ahli grup. Justeru kita kena faham keperbezaan ini dan faham situasi di dalam grup.
  • Fahamilah bahawa kerektor ahli-ahli grup juga tidak sama, ada yang suka humor, ada yang serius, ada yang santai, ada jenis yang suka tazkirah, ada yang suka mengkeritik, ada yang suka artikel bermenafaat dan ada yang loyar buruk. Umpamanya bahan yang kelakar mungkin mendapat perhatian dari yang suka humor tetapi mungkin kurang digemari kepada yang serius. Jika majoriti ahli grup suka humor grup ini akan dipenuhi dengan bahan-bahan lawak dan respon lawak. 
  • Fahamilah bahawa keaktifan ahli-ahli grup juga berbeza-beza. Ada yang sangat aktif, ada yang sedang-sedang dan ada yang jarang-jarang posting. Ada pula yang malu-malu nak posting sehingga tak posting langsung. Sebahagiannya pula hanya suka baca posting dan sebahagiannya malas nak buka media sosial. Jadi ada bermacam ragam keaktifan posting ahli-ahli grup. 
  • Fahamilah bahawa tidak semua isi posting itu benar. Oleh itu jangan mudah terpengaruh dengan isi posting. Dapatkan pandangan kedua atau ketiga dan bandingkan. Jangan sampai isi posting membuat kita emosi, tersinggung atau tak mahu kalah akibat mempercayai begitu sahaja posting yang diterima.
  • Fahamilah bahawa janganlah kita terlalu ghairah untuk membetulkan keadaan. Jika posting isinya keliru tidak perlu kita cuba luruskan jika kita tahu ianya sensitif. Ini mungkin akan mengeruhkan keadaan kemesraan dalam grup. Sebaliknya jika posting yang keliru itu jika cuba diluruskan ahli grup janganlah cepat tersinggung.
  • Fahamilah bukan semua posting akan sesuai dengan kehendak dan citarasa kita. Jika sesuatu posting itu kita tidak berkenan misalnya humor, gambar berdenyut-denyut, cerita seks, artikel terlalu panjang atau berjela-jela biarkan sahaja atau delete. 
  • Fahamilah bahawa tujuan utama kita menjadi ahli media sosial adalah untuk mengeratkan persahabatan dan silaturrahim. Oleh itu fokus kepada satu tujuan iaitu menjalin tali silaturahim, setiakawan dan perhubungan yang balik. Perkara-perkata titik bengik yang tidak penting abaikanlah agar tidak menimbulkan sengketa.

Sunday, 25 December 2016

Nikmat Sakit

Siapa pun tidak suka mendapat sakit kerana ia mengganggu perjalanan hidup kita dan akan membuat kita menderita. Namun mendapat sakit adalah lumrah dan fitrah hidup manusia. Walaupun kita berusaha menjaga kesihatan dan cuba mencegahnya ia tetap akan datang menimpa kita sekurang-kurang sekali atau dua dalam seumur hidup kita. Ini adalah keana bukan semua benda berada di bawah kawalan kita, termasuklah penyakit. Oleh itu setelah kita berusaha menjaga dan cuba mencegah penyakit dari menimpa kita kita perlu menyerahkan takdir kita kepada Allah SWT. Andainya kita ditimpa penyakit dengan redho kita perlu terima ia sebagai takdir dari Allah. Kita perlu melihat sakit dari sudut yang positif, malah ianya merupakan satu nikmat  dari Allah SWT.
          Sakit adalah nikmat  kerana bila sakit kita akan banyak mengingati Allah berbanding semasa kita sihat. Mengingati Allah dengan memperbanyak zikir dan melakukannya dengan kesungguhan dan linangan air mata. Mengharap Allah memberi kekuatan, kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi ujian sakit. Ketika ini kita merasa diri begitu dekat dengan Allah. Zikir begini tidak dapat kita nikmati semasa kita sihat.
          Sakit adalah nikmat kerana bila kita sakit dan sabar serta redho Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Ketika ini kita teringat akan dosa-dosa yang kita lakukan dan sedar jarak kita dengan ajal sudah semakin dekat. Pada saat ini kita bersungguh-sungguh beristighfar kerana khuatir dosa tidak diampun sebelum dijemput Allah. Sedangkan semasa sihat istighfar yang kita ucapkan tidaklah begitu menyentuh mungkin kerana asyik dengan nikmat dunia.
          Sakit adalah  nikmat kerana apabila menyedari dekatnya ajal maka lidah dan hati akan lazim mengucapkan syahadah. Jika takdirnya maut menjemput biarlah akhir kalimah adalah kalimah thoyyibah . Mengharap hidup berakhir dengan "husnul khotimah" bukan "suul khotimah". Disaat inilah kita paling ingat akan kematian. Sedangkan semasa masih sihat kita merasa seperti akan hidup seribu tahun lagi. Itulah sebabnya mengapa kita sering digalakkan untuk mengingati mati.
          Sakit adalah nikmat kerana dikesempatan inilah kita mempunyai cukup masa untuk muhasabah diri apa yang telah kita lakukan selama kita hidup. Sejauh manakah kita telah melakukan amalan soleh. Amalan dosa manakah yang masih belum kita tinggalkan. Sambil kita berazam jika Allah memanjangkan usia kita, kita akan buat lebih baik lagi dalam mendekatkan diri kepada Allah. Jika Allah panjangkan usia ianya merupakan peluang kedua untuk kita memperbaiki diri dari segi iman dan amal. Sedangkan ketika sihat kita dihayalkan dengan kehidupan dunia yang indah-indah. Tanpa ada waktu untuk bermuhasabah diri.
          Sakit adalah nikmat kerana bersabar dengan sakit dan berjuang melawannya adalah satu jihad.  Walaupun sakit kita tetap meneruskan beramal dan taat kepada Allah. Semua ini adalah satu perjuangan. Bagi yang bersabar dan redho dengan sakit yang berat seperti kanser jika ia mati ia mendapat pahala syahid. 
          Sakit adalah nikmat kerana ia memberi nasihat kepada kita. Apabila sakit baharulah kita benar-benar faham punca penyakit dan kepentingan menjaga kesihatan. Baharulah ada tekad untuk mengamalkan cara hidup sihat. Sakit menginsafkan kita bahawa suatu nikmat itu bila-bila masa sahaja boleh ditarik oleh Allah.  Sakit akan membuat seseorang insaf dan sedar diri seterusnya menghilangkan sifat sombong. Sakit dapat menundukkan sifat tamak kerana sakit mengingatkan kita bahwa setiap sesuatu itu ada hadnya. Sakit mengajar kita agar santun peribadi, lembut dan tawadhu' kerana bila sakit baru kita sedar betapa kerdilnya kita disisi Allah.
          Sakit adalah nikmat kerana kita dapat merasakan hangatnya tali silaturrahim ketika teman-teman dan saudara menziarahi dan memujuk agar sabar, memberikan senyuman dan rasa rindu mesra. Sakit mempereratkan ukhuah merapatkan hubungan kita dengan teman dan saudara yang selama ini kita sangka menjauh dari kita. Selama ini kita merasa seolah-olah terssisih bertukar menjadi akrab bila teman dan saudara datang menziarahi. Rasa kasih sahabat dan saudara menjadi terapi tambahan kepada sakit kita dan membantu mempercepatkan sakit kita sembuh.
           Sakit adalah nikmat kerana ketika inilah antara waktu-waktu mustajab doa. Rintihan kita didengar oleh Allah ketika kita sakit.

Justeru janganlah kita hanya melihat sakit hanya dari sudut yang negatif. Sakit adalah nikmat jika kita lihat kesan positif pada jiwa dan keimanan. Sakit kadang-kadang bertindak sebagai imunisasi diri bagi menjadikan diri lebih kuat melawan pengaruh-pengaruh yang mendorong kepada dosa.
          
                  

Friday, 17 June 2016

10 Jenis Pembaziran

Membazir adalah perbuatan yang dikutuk oleh Islam. Sehingga seorang pembazir dianggap sebagai saudara syaitan. Anda dikira membazir sekiranya anda menggunakan atau membelanjakan sesuatu melebihi had keperluan anda. Misalnya jika anda mampu makan satu hidangan makanan tetapi mengambil lebih dari keperluan menyebabkan banyak lebihan yang tidak dapat dihabiskan dan dibuang begitu sahaja maka anda telah melakukan pembaziran. Sedangkan kita tahu sebahagian manusia di bumi ini yang hanya dapat makan sehari atau dua hari sekali sahaja. Namun pembaziran bukanlah hanya berbentuk material malah berlaku dalam hal-hal yang tidak berbentuk mateial. Bagi ulama salaf Ibn Qayyim Al-Jawziyya terdapat sepuluh (10) pembaziran yang dilakukan oleh manusia samada kaya atau miskin iaitu:

(1)  Ilmu

Orang berilmu dikatakan membazir apabila ilmunya tidak bermanafaat bagi dirinya dan orang lain. Ia tidak beramal dengan ilmu . Tahu beribadah tetapi mengabaikan ibadah. Melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh orang yang jahil. Lokek ilmu dan enggan mengajarkan kepada orang lain kerana merasa megah dengan ilmu yang dimiliki. Membiarkan orang-orang tidak berilmu menjadi imam dan guru memimpin masyarakat. Sedangkan dia sekadar melihat dan membiarkan masyarakat sesat kerana mengikut orang yang tidak berilmu. 

(2) Amalan

Orang beramal adalah membazir apabila melakukannya tidak dengan ikhlas. Walau dilakukan dengan banyak tetapi tidak tulus keana Allah maka ianya menjadi sia-sia. Amalannya kosong tanpa pahala. Oleh itu setiap amal harus dielakkan dari riak atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan bertujuan untuk menjadi masyhur atau mendapat sanjungan manusia. Tetapi setiap amalan hanya bernilai bila ia bertujuan mendapatkan keredhaan Allah.

(3)  Kekayaan

Orang kaya membazir apabila kekayaan dibelanjakan ke jalan yang tidak mendekatkan diri kepada Allah. Kita bazirkan duit kita, status kita dan kuasa kita kepada perkara-perkara yang tiada bermanafaat untuk dunia dan akhirat. Kekayaan yang dikumpul dan dibelanjakan untuk nafsi-nafsi semata tidak akan menyumbangkan pahala di akhirat. Malah apabila seseorang mati walau berjuta hartanya tidak akan dapat dibawa bersama melainkan jika dibelanjakan dijalan Allah, pahala yang diperolehi dapat dibawa ke akhirat.

(4) Hati 

Orang memiliki hati membazir kerana hatinya kosong dari cinta kepada Allah dan tidak rindu untuk bertemu dengannya di Akhirat. Hati yang membazir juga adalah hati yang tidak memiliki ketenangan dan kekhusyukan. Ini adalah kerana hati telah dipenuhi dengan cinta dunia dan tunduk kepada nafsu. 

 (5) Tubuh badan

Tubuh badan membazir kerana kita tidak gunakan untuk beribadah dan berbakti kepada Allah. Semasa sihat tidak ingat kepada Allah tetapi apabila sakit baru ingat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ada yang tidak mensyukuri kesihatan yang diberi dan mengabaikannya dan akhirnya ditimpa berbagai penyakit. Ada yang terlalu menjaga badan untuk menjadi kuat dan untuk mendapat bentuk badan yang menarik tetapi tidak berdaya untuk beribadah.

(6)  Cinta

Pemilik cinta membazir kerana menumpahkan emosi cintanya kepada yang lain selain Allah. Cintakan selain Allah melebihi dari mencintai Allah. Misalnya bila pasangan bercinta atas nama cinta sanggup melanggar batas-batas larangan Allah mereka sebenarnya meletakkan cinta mereka melebihi dari cinta mereka kepada Allah. Ini adalah pembaziran cinta yang dimurkai Allah.

(7)  Masa

Masa yang digunakan adalah membazir bila tidak digunakan dengan betul untuk memperbaiki amal yang lepas dengan mengerjakan amalan yang baik. Masa yang berbaki tidak dapat kita jangkakan. Oleh itu tidak menggunakannya dengan betul adalah satu pembaziran dan tidak dapat ditebus. Kerana itu Al Quran dalam surah Al-Asr menyatakan bahawa manusia ini sentiasa dalam kerugian. Hanya mereka yang beiman dan yang memenuhi masa dalam kehidupan dengan amalan yang soleh yang beruntung.

(8) Akal

Kebijaksanaan akal kita adalah membazir jika digunakan kepada yang tidak berfaedah dan merugikan individu dan masyarakat. Akal jika tidak digunakan untuk memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama ianya adalah suatu pembaziran yang besar. Sebenarnya semua perkara berkaitan dengan agama ada kaitannya dengan kehidupan kita di dunia dan semua kegiatan hidup kita di dunia ada kaitannya dengan agama.


(9) Khidmat

Adalah satu pembaziran bila khidmat kita berikan kepada seseorang yang tidak membawa kita kepada Allah atau memberi faedah di dunia. Tambahan pula apabila kita memberi khidmat kepada pihak yang menyumbang kepada maksiat atau menentang ajarana Islam. Ianya khidmat yang membazir dan sia-sia lagi dimurkai Allah.


(10) Zikir

Zikir akan menjadi sia-sia dan membazir jika ia tidak memberi kesan kepada diri dan hati kita. Jika zikir banyak tetapi hati masih penuh dengan dendam kesumat, lidah basah dengan zikir namun buat benda yang dilarang Allah juga tak pernah berhenti atau zikir tak kering dibibir namun mulut tak lepas dari mengata dan mengumpat orang. Ini semua termasuk dalam zikir-zikir yang membazir. Lidah yang  memuji dan mengagungkan Allah adalah lidah yang sama melakukan maksiat.

Dari keterangan ini dapatlah kita fahami bahawa  pembaziran itu bukan berlaku dalam soal wang ringgit sahaja malah meliputi zahir dan batin. Sepuluh jenis pembaziran yang disebut oleh  Ibn Qayyim Al-Jawziyya sering berlaku dalam hidup kita samada secara sedar atau tanpa kita sedari. Mungkin inilah sebabnya mengapa walaupun banyak kita beramal tetapi ianya tidak memberi kesan yang banyak kepada perubahan diri kita. Justeru kita pelu menghapus pembaziran ini jika ingin menuju kearah pembentukan insan yang soleh.

Monday, 9 May 2016

Ciri-ciri Orang Yang Menang

Ada sebahagian orang apabila kita bergaul dengan mereka kita rasa tidak selesa kerana mereka suka membicarakan hal-hal yang negatif dan tidak mendorong kita ke arah perkara-perkakara yang positif. Manakala sebahagian orang pula  apabila kita bergaul dengan mereka kita rasa mereka orang yang menarik dan selalu mendorong ke arah yang positif. Mereka berfikiran  positif dan tinggi motivasinya serta membangunkan semangat kita untuk berubah. Mereka dari jenis orang yang tekun dan tabah, tidak mudah kalah. Merekalah orang-orang yang dipangil berpersonaliti menang atau "achiever". 

Apakah ciri-ciri orang yang menang?

KOMITED
Seorang yang bepersonaliti menang komited dengan tugas dan tanggungjawabnya. Ia menyatakan komitmennya dengan penuh keyakinan. Sentiasa mengambil peluang untuk meneroka bidang dan perkara baru. Ia sedia berhadapan dengan masaalah dan mencari jalan penyelesaiannya. Ia bekerja melepasi masa yang ditetapkan dengan menyudahkan kerjanya dengan hasil yang berkualiti. Sebaliknya personaliti kalah atau "loser" hanya suka membuat janji yang tidak pasti. Ia suka mencari jalan keluar dari permasaalahan dan tidak fokus kepada menyelesaikan masaalah. Bekerja mengikut masa yang ditetapkan dan hanya mementingkan kerja siap tanpa mengambilkira kualiti hasilnya. 
PERHUBUNGAN
Orang yang berpersonaliti menang mempunyai hubungan yang baik dengan ramai orang utama. Ini memudahkan ia menjalankan tugasnya kerana ada banyak kontek untuk dirujuk dan meminta pertolongan. Dalam persaingan dia tidak takut menghadapi kekalahan. Ia menghormati pemenang dan sedia belajar dari mereka. Dia akan berkata, "Saya bagus tetapi tidak sebagus yang saya inginkan". Apabila melakukan kesalahan dia akan berkata, "Saya salah" dan meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Sebaliknya personaliti kalah hanya berkawan dengan kelompoknya sahaja. Perhubungan yang tidak meluas ini menyukarkannya mendapat sokongan dan pertolongan dari pihak lain. Personaliti kalah tidak berani berhadapan dengan kekakalahan. Ia membenci pemenang dan cuba mendedahkan kelemahannya. Kerana itu ia akan berkata, "Saya tidak seteruk kebanyakan orang." Apabila melakukan kesalahan dia akan berkata, "Saya tidak bersalah". Walaupun ia meminta maaf, ia tetap mengulangi kesalahannya.

PENGURUSAN MASA
Orang yang berpersonaliti menang bijak mengurus masa. Walaupun mereka bekeja keras namun mereka mempunyai lebih masa. Ia mempunyai masa untuk menikmati ketenangan kerana berjaya mengimbangi masa bekerja, masa untuk peribadi dan keluarga. Sebaliknya personaliti kalah bekerja sambil lewa tetapi sentiasa tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyiapkan tugas. Ia bekerja dengan tergopoh-gapah kerana terpaksa menyiapkan tugas disaat akhir. Ini akibat kurang berdisplin dan tidak pandai mengurus masa.
NILAI MURNI
Orang yang berpersonaliti menang bersikap tenang dan lemah lembut apabila berhadapan dengan sesiapa yang berurusan dengannya. Ia lebih suka menerangkan secara menyeluruh duduk suatu perkara daripada sekadar memberi maklumbalas kepada sesuatu isu. Ia seorang pendengar yang baik sedia mendengar apa jua perkara yang dibangkitkan atau diterangkan. Ia berusaha mencari jawapan ke atas setiap permasaalahan. Ia tidak akan menolak mentah-mentah permintaan tetapi akan memberi cadangan altenatif kepada penyelesaian sesuatu masaalah. Ia juga bersedia melakukan tugas dan kerja sukarela. Sebaliknya personaliti kalah sering gusar dan bersikap kasar apabila berhadapan dengan sesiapa yang berurusan dengannya. Ia tidak akan menerangkan dan hanya akan memberi maklumbalas apabila diminta. Ia hanya suka orang lain mendengar apa yang dibicarakannya dan tidak tahan mendengar orang lain berbicara. Dalam mencari penyelesaian ia cepat berputus asa dan hanyak akan mencadangkan satu jalan penyelesaian yang muktamat. Baginya tiada tugas yang boleh dilaksanakan secara percuma.
KEPIMPINAN DIRI
Seorang yang berpersonaliti menang menonjolkan dirinya dengan melihat dan turun padang. Dengan cara itu ia mendapat maklumat dari sumber pertama (primary source) bukan sumber kedua (secondary source). Ia tahu situasi sebenar sesuatu perkara dan dimana kekuatan dan kelemahannya. Tabah dan tekun adalah ciri paling kuat bagi seorang berpersonaliti menang. Ketabahan dan ketekunan menyebabkan ia menjadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk mencapai kejayaan. Sebaliknya personaliti kalah lebih suka menunggu dan mengharapkan orang lain yang melihat. Hasilnya ia memperolehi maklumat dari sumber kedua yang tidak tejamin ketepatannya. Apabila gagal ia akan merasa sangat kecewa dan sangat sukar untuk bangun dari kegagalannya.
             Demikian sebahagian ciri-ciri utama personaliti menang yang patut dimiliki jika mahu memajukan diri dalam apa jua bidang. Jika mahu maju seseoang perlu komited bukan sekadar batuk ditangga. Ciri yang paling penting adalah tabah dan tekun tidak mudah kalah. Berupaya bangkit walau beberapa kali gagal. Ciri ini tidak semestinya dimiliki oleh orang yang berpelajaran tinggi atau berbakat, kerana banyak penemuan dan ciptaan berjaya dihasilkan oleh mereka-mereka yang tidak mempunyai akademik yang hebat. Mereka berjaya kerana sifat tabah dan tekun.