Wednesday, 10 January 2018

Setiap Menusia Adalah Istimewa

Kalau kita hanya melihat kepada kekurangan diri kita semata-mata orang lain juga akan nampak kita dari sisi kelemahan kita sahaja. Ini adalah suara dalaman negatif yang sentiasa mencari espek kelemahan diri yang akan membunuh nilai kendiri seseorang. Eugene Sagan seorang ahli psikologi menamakannya "kritik patologi". Orang yang mempunyai nilai kendiri yang rendah pasti akan mendengar dan akur dengan kritik patologi ini. Suara-suara ini akan membisikkan ciri-ciri seperti
(a)  Menamakan kita dengan bodoh, hodoh, kekok, pemalas dan tidak kompeten.
(b)  Memperingatkan kelemahan dan kesilapan kita.
(c)  Membandingkan kita dengan pencapaian orang lain dan mendapati kita serba kekurangan.
(d)  Mengetepikan pencapaian-pencapaian dan kekuatan-kekuatan kita.
(e)  Memperbesarkan kelemahan-kelemahan kita.
Orang yang  mempunyai nilai kendiri yang tinggi tidak menghiraukan kritik patologi ini dan terus berusaha dan bersifat positif.
          Jangan suka membandingkan diri dengan orang lain secara negatif. Perbandingan sebegitu adalah perangkap yang membuat seseorang putus asa dan hilang motivasi untuk mencapai cita-cita. Kita sepatutnya menegaskan pada diri kita bahawa "Aku indivdu unik. Tidak perlu menjadi salinan fotostat sesiapa. Aku bukanlah sempurna tetapi berupaya membuat yang terbaik dari segala pengetahuan yang ada . Aku mencuba menjadi insan yang lebih baik dan aku menerima keadaan diriku buat masa ini" 
         Kita hendaklah menerima diri kita seadanya tanpa syarat. Menurut Maxwell Maltz , penerimaan diri adalah 'menerima dan menyenangi diri sendiri, dalam keadaan sekarang dengan segala kecacatan, kelemahan, kekurangan, kekhilafan serta aset dan kekuatan kita.' Iaitu menerima diri dengan tanpa menafikan bahagian-bahagian tidak sempurna pada diri kita, juga tidak menolak keperluan untuk berubah dan memajukan diri. Hendaklah kita sedar dan menerima batas kemampuan kita dan batas kemampuan orang lain. Jangan berharap untuk menjadi seorang yang sempurna. Keinginan untuk menjadi sempurna akan menghakis harga diri. Ini adalah kerana keinginan menjadi sempurna membuat seseorang tidak pernah merasa memadai dengan pencapaiannya sendiri.
          Disamping itu kita jangan memperkecilkan bakat dan kemahiran diri sendiri yang mungkin tidak ada pada orang lain. Manusia itu unik, malah orang cacat dan kurang upaya pun mempunyai kelebihan yang tiada pada orang biasa. Albert Einstein seorang murid lembam pernah diusir dari sekolah adalah seorang saintis yang terkenal. Shakespeare  seorang yang lumpuh adalah seorang sasterawan Inggeris yang terkenal. Beethoven seorang yang pekak adalah seorang komposer muzik yang terkemuka disanjung sehingga kini. Kalau mereka boleh, apakah kita yang normal tidak mampu membuat yang lebih baik. 
          Jadi lebih baik kita mula menetapkan cita-cita  dan matlamat yang manasabah yang kita  yakin mampu dicapai. Kita ukur kemajuan diri tahun ini dengan pencapaian kita tahun lepas.Itu lebih baik dari membandingkan dengan pencapaian orang lain. Dengan perbandingan diri sendirilah kita akan mengecap kepuasan serta menghargai nilai diri. Berubahlah dari membandingkan kepada memajukan diri. Kita mula membina kehidupan dari kejayaan-kejayaan kecil, tumpukan kepada kelebihan-kelebihan yang ada disamping meneima kekurangan diri.
          Oleh itu kita perlu percaya kepada diri kita sendiri. Kita akan menjadi apa yang kerap kita fikirkan. Menurut Ranjit Singh Mahli, dalam bukunya 'Mempertingkatkan harga diri' , apa yang lazim kita fikirkan akan terpahat dalam minda separa sedar (subconcious mind) kita. Apa-apa pun yang dipercayai sebagai benar oleh minda sedar ( consious mind) kita, minda separa sedar kita akan menerimanya dan membawanya ke tahap realiti. Minda separa sedar kita akan mempercayai apa sahaja yang kita katakan kepadanhya , walaupun perkara itu tidak benar. Minda separa sedar tidak berupaya menakkul dan berfikir dengan sendiri. Kejayaan ialah satu keadaan minda , kita mengawal magnitud kejayaan kita dengan mengawal kepercayaan kita.
            Justeru itu marilah kita melihat espek positif diri kita dan tidah hanya fokus kepada espek kelemahan diri. Kita seharusnya memilih diri kita sebagai kawan karib kita. Sebagai kawan karib kita menerimanya seadanya tanpa syarat. Kita seharusnya menghargai kekuatan-kekuatan dan atribut-atribut positif  yang ada dalam diri. Disamping tidak menafikan wujud kelemahan-kelemahan dan kesilapan yang berlaku sekali-sekala yang merupakan fitrah mansia.
 
           
          

No comments:

Post a Comment