Sunday, 25 December 2016

Nikmat Sakit

Siapa pun tidak suka mendapat sakit kerana ia mengganggu perjalanan hidup kita dan akan membuat kita menderita. Namun mendapat sakit adalah lumrah dan fitrah hidup manusia. Walaupun kita berusaha menjaga kesihatan dan cuba mencegahnya ia tetap akan datang menimpa kita sekurang-kurang sekali atau dua dalam seumur hidup kita. Ini adalah keana bukan semua benda berada di bawah kawalan kita, termasuklah penyakit. Oleh itu setelah kita berusaha menjaga dan cuba mencegah penyakit dari menimpa kita kita perlu menyerahkan takdir kita kepada Allah SWT. Andainya kita ditimpa penyakit dengan redho kita perlu terima ia sebagai takdir dari Allah. Kita perlu melihat sakit dari sudut yang positif, malah ianya merupakan satu nikmat  dari Allah SWT.
          Sakit adalah nikmat  kerana bila sakit kita akan banyak mengingati Allah berbanding semasa kita sihat. Mengingati Allah dengan memperbanyak zikir dan melakukannya dengan kesungguhan dan linangan air mata. Mengharap Allah memberi kekuatan, kesabaran dan ketenangan dalam menghadapi ujian sakit. Ketika ini kita merasa diri begitu dekat dengan Allah. Zikir begini tidak dapat kita nikmati semasa kita sihat.
          Sakit adalah nikmat kerana bila kita sakit dan sabar serta redho Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita. Ketika ini kita teringat akan dosa-dosa yang kita lakukan dan sedar jarak kita dengan ajal sudah semakin dekat. Pada saat ini kita bersungguh-sungguh beristighfar kerana khuatir dosa tidak diampun sebelum dijemput Allah. Sedangkan semasa sihat istighfar yang kita ucapkan tidaklah begitu menyentuh mungkin kerana asyik dengan nikmat dunia.
          Sakit adalah  nikmat kerana apabila menyedari dekatnya ajal maka lidah dan hati akan lazim mengucapkan syahadah. Jika takdirnya maut menjemput biarlah akhir kalimah adalah kalimah thoyyibah . Mengharap hidup berakhir dengan "husnul khotimah" bukan "suul khotimah". Disaat inilah kita paling ingat akan kematian. Sedangkan semasa masih sihat kita merasa seperti akan hidup seribu tahun lagi. Itulah sebabnya mengapa kita sering digalakkan untuk mengingati mati.
          Sakit adalah nikmat kerana dikesempatan inilah kita mempunyai cukup masa untuk muhasabah diri apa yang telah kita lakukan selama kita hidup. Sejauh manakah kita telah melakukan amalan soleh. Amalan dosa manakah yang masih belum kita tinggalkan. Sambil kita berazam jika Allah memanjangkan usia kita, kita akan buat lebih baik lagi dalam mendekatkan diri kepada Allah. Jika Allah panjangkan usia ianya merupakan peluang kedua untuk kita memperbaiki diri dari segi iman dan amal. Sedangkan ketika sihat kita dihayalkan dengan kehidupan dunia yang indah-indah. Tanpa ada waktu untuk bermuhasabah diri.
          Sakit adalah nikmat kerana bersabar dengan sakit dan berjuang melawannya adalah satu jihad.  Walaupun sakit kita tetap meneruskan beramal dan taat kepada Allah. Semua ini adalah satu perjuangan. Bagi yang bersabar dan redho dengan sakit yang berat seperti kanser jika ia mati ia mendapat pahala syahid. 
          Sakit adalah nikmat kerana ia memberi nasihat kepada kita. Apabila sakit baharulah kita benar-benar faham punca penyakit dan kepentingan menjaga kesihatan. Baharulah ada tekad untuk mengamalkan cara hidup sihat. Sakit menginsafkan kita bahawa suatu nikmat itu bila-bila masa sahaja boleh ditarik oleh Allah.  Sakit akan membuat seseorang insaf dan sedar diri seterusnya menghilangkan sifat sombong. Sakit dapat menundukkan sifat tamak kerana sakit mengingatkan kita bahwa setiap sesuatu itu ada hadnya. Sakit mengajar kita agar santun peribadi, lembut dan tawadhu' kerana bila sakit baru kita sedar betapa kerdilnya kita disisi Allah.
          Sakit adalah nikmat kerana kita dapat merasakan hangatnya tali silaturrahim ketika teman-teman dan saudara menziarahi dan memujuk agar sabar, memberikan senyuman dan rasa rindu mesra. Sakit mempereratkan ukhuah merapatkan hubungan kita dengan teman dan saudara yang selama ini kita sangka menjauh dari kita. Selama ini kita merasa seolah-olah terssisih bertukar menjadi akrab bila teman dan saudara datang menziarahi. Rasa kasih sahabat dan saudara menjadi terapi tambahan kepada sakit kita dan membantu mempercepatkan sakit kita sembuh.
           Sakit adalah nikmat kerana ketika inilah antara waktu-waktu mustajab doa. Rintihan kita didengar oleh Allah ketika kita sakit.

Justeru janganlah kita hanya melihat sakit hanya dari sudut yang negatif. Sakit adalah nikmat jika kita lihat kesan positif pada jiwa dan keimanan. Sakit kadang-kadang bertindak sebagai imunisasi diri bagi menjadikan diri lebih kuat melawan pengaruh-pengaruh yang mendorong kepada dosa.
          
                  

No comments:

Post a Comment