Wednesday, 2 March 2016

Ada masaalah cerita, Jangan pendam.

Memendamkan perasaan ketika ada masaalah adalah satu perbuatan yang boleh memudaratkan seseorang. Masaalah perlu dilepaskan dengan menceritakannya kepada orang lain. jika dipendamkan ianya akan meletus dan akan menjejaskan diri orang memendamkan masaalah itu dari segi mental dan fizikal. Sesiapa yang menyimpan atau memendam masaalahnya boleh memendekkan umurnya. 
Menurut sebuah website kesihatan Liputan6, satu kajian telah dijalankan oleh University of Rochester selama 12 tahun seperti dilaporkan oleh majalah MensHealth pada Rabu 6.11.2013 menyatakan bahawa, orang yang sering memendam perasaannya dengan mendiamkan diri seribu bahasa, 35% berisiko akan mati dibandingkan dengan orang yang meluahkan emosinya dengan orang lain.Dalam kajian yang mengukur keterbukaan emosi seseorang menunjukkan peningkatan penyakit kanser dan kardiovaskular meningkat masing-masing 70% dan 47%.

Stres terpendam akan terkumpul dari emosi yang tidak diluahkan kemudiannya mengganggu tubuh orang yang memendamkan masaalahnya membuat tubuh bertindak balas dan menurunkan tahap imunisasi tubuh.Memendam perasaan adalah seperti seseorang yang memasang bom jangka yang akan meletus apabila diri tidak dapat mengawalnya lagi. Oleh itu segeralah diluahkan jangan dipendam.
         Kalau ada masaalah jangan pendam, jangan simpan. Carilah seseorang kawan, psikiater atau sesiapa untuk dilepaskan atau ceritakan. Jika ia boleh memberi nasihat itu lebih baik. Jangan simpan kerana ia akan menjadi virus. Benda yang terbuku boleh meletup padahal kita boleh lepaskan sedikit demi sedikit dengan meluahkannya  dan mendapat kelegaan. Untuk bahagia dan ceria, luahkan dan lepaskanlah.
       Jangan lupa tempat yang paling utama untuk menceritakan dan memohon penyelesaian kepada masaalah kita ialah kepada Allah. Mengadulah kepadaNya dengan bersujud dan berdoa dengan penuh harap dan merendah diri. Allah berfirman yang bermaksud;

"Berdoalah kamu kepada Aku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong takabur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina." ( QS 40: 60)

Janji Allah adalah benar. Berdoalah dan merayu kepadanya dengan sangkaan yang baik, tentu Allah akan memakbulkan dan memberi ketenangan kepada kita. Jangan berputus asa dari rahmat Allah kerana hanya orang yang kafir yang berputus asa kepada Allah.
              Usah biarkan diri kita memendam rasa dan menaggung beban masaalah sepanjang umur kita yang singkat. Masaalah yang bukan sahaja menjejaskan jiwa malah menyebabkan penyakit seperti kanser dan kardiovaskular juga melemahkan daya tahan badan.  Legakanlah ia dengan meluahkannya kepada kawan, kepada yang prihatin dan jangan lupa kepada Allah yang maha mendengar.
 
 
           

         
 

Sunday, 21 February 2016

Senaman Untuk Komposisi Badan Ideal

Komposisi badan adalah bermaksud peratusan lemak badan berbanding dengan isikandungan otot, tulang dan tisu badan yang lain. Jika peatus lemak berlebihan dalam badan ianya akan menyebabkan kegemukan atau obesiti. Kegemukan berpunca antaranya disebabkan oleh faktor biologi, emosi, persekitaran, malas melakukan aktiviti fizikal dan sebagainya. Obesiti menjadi punca kepada berbagai penyakit seperti diabetes, darah tinggi, masaalah jantung dan komplikasi buah pinggang. Oleh itu kita perlu berubah kepada amalan hidup sihat bagi mencegah kegemukan dan sentiasa berada dalam tingkatan berat yang ideal. Komposisi badan boleh dikenal pasti dengan menggunakan Indeks Jisim Tubuh (IJT) atau Body Mass Index (BMI) iaitu dengan membahagikan berat badan (kg) dengan ketinggian (m) diganda dua.

                                                  Berat Badan (kg)
                                BMI    =   ------------------------
                                                                         2
                                                  (Tinggi  (m)  )


Hasil dari bacaan tersebut kita dapat mengenal pasti tahap komposisi badan kita pada tahap ideal atau sebaliknya:

                                     <  18.5                    =   underweight  (kurang berat)
                                     18.5 - 23                 =   ideal weight  (berat ideal)
                                     23  - 27.5                =   overweight    ( gemuk)
                                     >  27.5                    =   obess



BAGAIMANA MENCEGAHNYA ?


Mencegah itu lebih baik dari mengubati. Oleh itu kita perlu mengamalkan cara hidup yang sihat dengan mengambil pemakanan yang seimbang dan melakukan aktiviti fizikal.  Tiga jenis latihan fizikal yang perlu kita lakukan adalah jenis aerobik, anaerobik dan kelenturan.

Aerobik
  • Senaman yang proses pengeluaran energi memerlukan oksigen.
  • Latihannya dalam intensiti yang sederhana tapi dengan durasi yang cukup panjang (20 minit)
  • Latihan aerobik akan meningkatkan penggunaan oksigen keseluruhan oleh badan sekaligus meningkatkan metabolisma badan. 
  • Oksigen digunakan untuk memecah glukos.
  • Aerobik berfungsi melancarkan peredaran darah dan oksigen dalam badan.
  • Aerobik mengurangkan tekanan darah dan membakar lemak.
  • Contoh senaman aeobik ialah jogging, berbasikal, bola jaring dan bolasepak.
Anaerobik
  • Senaman yang pengeluaran tenaga dilakukan tanpa menggunakan oksigen.
  • Latihan anaerobik terjadi ketika keperluan energi badan melebihi yang disediakan oleh pernafasan sehingga badan dipaksa bekeja tanpa oksigen.
  • Kerana berada dalam keadaan tanpa oksigen latihan hanya dapat dilakukan dalam jangka waktu yang pendek ( 2-3 minit)
  • Phosphocreatine digunakan untuk memecahkan glukos.
  • Anaerobik membantu meningkatkan kekuatan otot.
  • Anaerobik membantu meningkatkan kekuatan, kepantasan dan lajunya metabolisma badan.
  • Contoh latihan anaerobik ialah  sprint jarak dekat dan angkat berat.
 Kelenturan
  • Kelenturan atau flexibility sering diertikan sebagai kemampuan seseorang menggerakkan badan dalam satu ruang seluas-luasnya tanpa mengalami kecederaan otot dan sendi. 
  • Juga dimaksudkan keupayaan badan anda untuk melentur tegangkan sendi-sendi utamanya.
  • Contoh latihan kelenturan ialah gimnastik, tarian dan yoga.
Dengan mengamalkan permakanan yang seimbang dan secara konsisten melakukan aktiviti fizikal masaalah kegemukan dapat diatasi. Jika kita menjadikan aktiviti membakar lemak ini sebagai rutin kita akan mendapat tahap fizikal yang ideal.
 

Monday, 8 February 2016

Mengenali Orang Amanah

Seseorang yang amanah janganlah dinilai hanya kerana rupanya atau penampilannya yang nampak berwatak keagamaan semata-mata. Amanahnya seseorang itu tidak boleh diukur dengan puji-pujian dari orang ramai semata. Walaupun kadang-kadang orang itu seorang teman yang rapat dengan diri kita. Sedangkan emas pun ada yang tiruan. Oleh itu ketulinan emas perlu diuji sebelum nilai emas itu dapat ditaksir. 
        Dalam sebuah atsar pernah Saidinia Umar mendengar seseorang memuji orang lain dengan kata-kata bahawa orang itu jujur dan dapat dipercaya. Kemudian Umar bertanya kepada orang yang memuji-muji temannya itu:
"Sudah pernahkah anda bersama-samanya dalam perjalanan?"
"Belum", jawab orang tadi.
"Pernahkan terjadi perkelahian antara kalian berdua?"
"Belum"
"Sudah pernahkah anda menitipkan amanah kepadanya?", kata Umar
"Belum",jawab orang tadi.
"Kalau begitu anda belum mengenal betul-betul peribadi orang itu, yang anda lihat hanyalah ia naik-turun mesjid saja"

Jelas bagi Umar naik turunnya seseorang di mesjid tidak menjadi petanda jaminan bahawa seseorang itu seorang yang baik. Ini tidak bermaksud meremehkan peranan ibadah. Dalam mengenali manusia Umar tidak meneliti ibadahnya sahaja tetapi meneliti juga perwatakan itu secara keseluruhan. Ibadah sepatutnya menjadi alat penyelaras bagi keperibadian dan kesempurnaan seseorang. Oleh itu Umar amat menyesali orang bertaqwa yang bodoh juga orang bijak yang kurang taqwanya.
           Begitulah panduan yang boleh kita amalkan seperti yang diajarkan oleh Saidina Umar bila kita ingin menilai seseorang yang kita ingin titipkan amanah kepadanya. Apalagi jika kita ingin mengangkat ia menjadi pemimpin bagi umat Islam.

Wednesday, 20 January 2016

Barang Yang Lepas Jangan Dikenang

Apabila masuk tahun baru ianya akan meninggalkan kenangan yang baik dan buruk pada tahun yang ditinggalkan. Kenangan yang manis membuat kita ingin kembali ke masa itu seolah-olah itulah masa yang paling bahagia bagi diri kita. Kenangan pahit pula membuat kita sedih dan tidak dapat melupakannya seolah-olah itulah saat yang paling malang dalam hidup kita. Namun kita tidak dapat kembali ke waktu itu untuk sekali lagi menikmati saat bahagia yang telah berlalu itu. Juga tidak dapat kembali ke waktu itu untuk membetulkan segala kesilapan yang menjadi peristiwa pahit dalam hidup kita. Menghayalkan keseronokan masa lalu dan menyesali kesedihan yang lepas tidak akan menambahbaik kehidupan kita dimasa hadapan. Dalam hal ini Imam Syafie telah berpesan,

" Jadikan masa yang berlalu itu pengalaman dan pelajaran, masa yang sedang berjalan itu kita isi dengan amalan dan masa hadapan jangan terlalu diangan-angankan. "

Pengalaman masa lalu adalah pelajaran yang sangat berharga. Bak kata pepapatah, "Yang baik jadikan teladan dan yang buruk jadikan sempadan". Oleh itu meratapi peristiwa pahit masa lalu tidak akan memberi apa-apa faedah kepada diri kita. Saidina Umar Ibnu Khattab berkata,

" Sebesar mana rasa bersalah mu tidak boleh mengubah masa lalu dan sebesar mana keisauan mu tidak dapat mengubah masa depan. "

Tidak guna mengenang barang yang lepas. Sepatutnya kebaikan dimasa lalu dijadikan kayu pengukur (Bench Mark) dan motivasi untuk berbuat lebih baik lagi. Sedangkan kesilapan masa lalu jangan dibiar berulang lagi. Seperti kata pepatah, "Jangan dipatuk ular dilubang yang sama dua kali." Hanya orang yang bodoh yang tidak pernah belajar dari pengalaman dan mengulangi pengalaman lalu tanpa ingin berubah.
         Hiduplah untuk masa kini kerana masa kini adalah masa yang pasti. Sedangkan masa yang lepas telah berlalu takkan kembali. Manakala masa depan adalah sesuatu yang tidak pasti. Mulakan kembali dengan keazaman yang baru yang lebih kuat serta taubat. Azam dan taubat umpama kita membersih dan mengemaskan semula bilik operasi hidup kita. Bila ianya sudah bersih dan tersusun rapi barulah kita dapat melaksanakan azam kita dengan penuh semangat dan bermotivasi.


Friday, 11 December 2015

Orang Tua vs Orang Muda





Sering kita mendengar konflik antara orang tua dengan orang muda dalam sesuatu organisasi. Masing-masing mendakwa golongan mereka lebih penting dari golongan yang satu lagi. Orang tua mengatakan mereka lebih tahu kerana mereka lebih dahulu makan garam. Golongan muda mendakwa mereka lebih tahu kerana lebih terpelajar dan tahu banyak mengenai teknologi.
        Orang tua mempunyai pengalaman yang jauh lebih dari sekadar pengetahuan. Pengalaman adalah sesuatu yang dilalui dan alami sedangkan pengetahuan mungkin satu teori yang belum dilaksanakan. Mereka menempuhnya dari dahulu hingga kini dan bukan sekadar tahu malah dapat merasakannya, samada pahit atau manisnya. Kerana itu mereka lebih bersifat konservatif demi mempertahankan nilai-nilai dan prinsip yang dipegang. Pengalaman lalu telah mengajar mereka betapa nilai dan prinsip boleh tergadai jika besifat lemah dan hanyut dipengaruhi sifat kebendaan dan kepentingan diri.
            Namun dunia semakin berubah dan bergerak maju. Untuk maju memerlukan sikap yang progresif yang cenderong kepada perubahan, penambahbaikan dan reformasi. Oleh itu Dr Yusoff Qardawi, menyatakan, "Jika ingin melihat masa depan negara, lihatlah pada anak mudanya pada hari ini." Orang mudalah agen perubahan yang utama kerana merekalah peneroka perubahan masa depan. Mereka menguasai teknologi dan sistem baru yang lebih cekap dan efisien.
               Sebenarnya kita memerlukan kedua-dua golongan orang tua dan orang muda. Jika orang tua mendominasi sesuatu institusi ianya mungkin akan bertahan lama kerana sikap konservatif orang tua dapat mengekalkannya. Tetapi ianya akan kekal tanpa kemajuan dan perubahan kerana sikap orang tua yang konservatif itu tidak mesra perubahan. Jika orang muda pula mendominasi sesuatu institusi perubahan yang drastik mungkin akan berlaku lantaran jiwa muda yang panas dan progresif itu sentiasa dahagakan perubahan dan pembaharuan. Regulasi prosedur dan undang-undang mungkin tergugat lantaran ghairah mengejar matlamat dan meremehkan soal prosedur dan undang-undang. Justeru komposisi golongan tua dan muda perlulah seimbang. Yang muda meluncur laju ke arah kemajuan dan yang tua bertindak mengawal batas-batas agar perluncuran tidak tegelincir dari landasan. Orang tua dan orang muda wajib bekerja sama dan membuang ego masing-masing demi kemaslahatan yang lebih penting.

Thursday, 26 November 2015

Apa itu rezeki ?

Apa itu rezeki? Adakah ia terbatas kepada banyaknya wang dan harta? Kalau kita membataskan bahawa rezeki  itu dengan memiliki wang dan harta maka ramailah orang yang miskin di dunia ini. Seseorang itu mungkin tidak mempunyai wang dan harta yang banyak tetapi kadang-kadang ia memiliki sesuatu yang berharga melebihi dari nilai wang dan ringgit. Apabila kita teliti kita akan menyedari bahawa Allah menganugerahkan kita rezki dalam pelbagai bentuk. Sesunguhnya rezeki itu tidak semestinya berbentuk wang dan harta. Diantara bentuk-bentuk rezeki yang Allah anugerahkan kepada kita adalah:-
  • Qanaah iaitu sifat kaya hati dimana seseorang itu sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada. Sifat ini dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Bagi orang yang beriman mereka perlu melakukan sekeras usaha dan bertawakal agar Allah menganugerahkan rezeki. Allah SWT berfirman ; "Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah mencukupkan (keperluan)nya" (QS: Ath-Talaq: 3).  Berdasarkan ayat ini orang yang beriman sentiasa merasa cukup kerana merasa yakin dengan janji Allah.
  • Sakinah iaitu rasa tenang walau dalam keadaan apa pun. Sifat ini juga adalah sifat orang-orang yang beriman seperti sabda Nabi SAW yang bemaksud, " Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang beiman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya."  ( H.R. Muslim)  Sedangkan banyak berita yang kita dengar orang yang kaya harta selalunya jiwanya tidak tenang dan keluh kesah.
  • Ilmu adalah rezeki yang tak ternilai. Manusia menghabiskan beribu-ribu ringgit untuk memiliki ilmu. Harta tidak akan diperolehi tanpa ilmu. Kerana itu dikatakan ; " Ilmu itu lebih baik dari harta. Ilmu menjagamu, dan engkau menjaga harta. Ilmu itu penghukum (Hakim) dan harta terhukum."
  • Tubuh Sihat dan Sempurna adalah rezeki yang sepatutnya seseorang itu sangat bersyukur. Sekiranya seseorang itu memiliki kesempurnaan tubuh tanpa kecacatan ia adalah insan yang jauh bernasib baik bebanding OKU. Orang kaya sanggup membeli dengan wang jutaan ringgit jika anggota manusia boleh menjadi alat ganti kepada anggotanya yang cacat. Begitu juga kesihatan yang baik adalah rezeki. Ramai dikalangan orang yang kaya mengidap diabetes dan darah tinggi tidak boleh merasai manis dan masin kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Wang ringgit tidak boleh membeli kesihatan dan kebahagiaan.
  • Isteri yang solehah juga adalah rezeki yang tidak semua orang memperolehinya. Isteri yang solehah bukan jenis "Sikit kasi, banyak minta" seperti wanita-wanita materialistik yang assesorinya pun megah dan mewah. Nabi SAW menggambarkan kelebihan isteri solehah dalam hadisnya bermaksud, "Hati yang bersyukur, lisan yang mengingat Allah dan isteri yang baik akan menolong kamu dalam urusan hidupmu dan agamamu adalah harta tebaik yang dimiliki manusia."  ( H.R. Tirmizi)
  •  Anak adalah rezeki yang lazimnya ramai dalam keluarga yang berpendapatan rendah. Sedangkan orang yang  Allah kurniakan rezeki dengan kekayaan wang ringgit selalunya miskin anak. Kekayaan mungkin boleh membeli ramai anak-anak untuk dijadikan anak angkat, namun ianya tidak sama dengan memiliki anak dari darah daging sendiri
Demikianlah sebahagian dari bentuk rezeki tidak berbentuk wang dan harta yang dikurniakan kepada manusia. Banyak lagi bentuk rezeki yang Allah anugerhakan seperti sahabat yang baik, bakat, kasih sayang, dihormati dan sebagainya. Oleh itu kita harus bersyukur sekiranya kita memiliki semua yang disebut di atas atau sebahagianya kita adalah seorang yang kaya, walau kita tidak mempunyai wang yang banyak.

Thursday, 12 November 2015

Merangka Matlamat ........

Bila menjelang tahun baru samada Hijriah atau Masihi setiap kita pasti memikirkan azam bagi tahun baru yang akan menjelang. Azam adalah satu tekad untuk mencapai sesuatu pada tahun yang baru yang lebih baik atau matlamat yang kita beazam untuk capai. Merangka matlamat hidup kita adalah penting kerana cara terbaik untuk meramal masa depan kita  adalah dengan berusaha menciptakannya dan bukan bergantung kepada nasib. Kitalah jurumudi dan jurubina nasib kita dan Allah akan menentukan ianya tercapai atas usaha kita itu. 
        Dalam menentukan matlamat yang ingin kita capai kita boleh mengambil konsep SMART sebagai asas merangka matlamat yang ingin kita capai. 
S atau specific  adalah menetapkan sesuatu matlamat dengan jelas dan tertentu. Bukan membuat matlamat yang umum dan kabur. Misalnya jika kita matlamat kita untuk menjadi kaya, ianya telalu umum dan kabur. Tetapi jika kita menetapkan matlamat kita untuk menabung sebanyak RM100,000 dalam tahun ini, ianya matlamat yang jelas.
M atau measureable tentukanlah suatu matlamat yang boleh diukur atau boleh ditentusahkan. Misalnya kita beazam untuk menurunkan berat badan sebanyak 20 kg. Ini adalah matlamat yang boleh diukur. Sebaliknya jika matlamat kita ingin menguruskan badan, ianya sesuatu yang umum dan tidak boleh diukur.
A atau attainable adalah matlamat yang realistik iaitu yang boleh dan mampu kita capai. Umpamanya kita ingin menjadi seorang anggota polis sedangkan kita tidak mempunyai ketinggian yang cukup dan penglihatan yang kabur, ini adalah matlamat yang diluar keupayaan kita. 
R atau relevan  adalah matlamat yang relevan dengan perinsip dan misi hidup kita. Matlamat yang tidak relevan ini akan mensasarkan kita dari matlamat hidup kita yang lebih jauh dan utama. 
T atau time bounde iaitu matlamat yang mempunyai tempoh pencapaiannya. Penetapan tempoh ini penting kerana jika tidak kita akan menjadi umpama sampan yang hanyut tidak berhaluan. Misalnya jika kita berazam untuk khatam Quran sebulan sekali, bermakna kita telah menetapkan matlamat dengan suatu tempoh masa tertentu.

Dengan mengamalkan kaedah SMART ini kita akan dapat memenuhi azam kita setiap tahun kerana konsep SMART menjadikan setiap matlamat kita adalah relevan dan realistik.