Monday, 20 April 2015

Ekonomi cara mak.

Tahun 60an dan 70an semasa kami semua masih disekolah rendah kami tidaklah mewah seperti anak-anak jiran. Kalau anak-anak jiran makan ais krim atau kek kami hanya melihat saja kerana mak takkan bagi duit untuk itu. Dengan abah yang bergaji kecil sebagai anggota polis dan menanggung tujuh orang anak janganlah mimpi untuk bermewah seperti mereka. Kerana itu hari raya dan majlis kenduri adalah hari yang menyeronokkan bagi kami. Masa inilah kami dapat menikmati makanan yang tidak terdapat di rumah kami.  Namun kami tujuh beradik tidak pernah kebuluran dan mak akan pastikan kami semua menikmati sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam secukupnya cara mak. 
         Makanan untuk sarapan pagi paling utama adalah nasi goreng resepi mak yang dibuat dari nasi semalam yang tak habis. Samada digoreng dengan dipecah telur, atau carik-carik lebihan ikan goreng semalam atau ikan bilis. Bila tengok nasi goreng tu masing-masing muka monyok. Tapi bila dah lapar licin. Maklumlah masing-masing tengah membesar. Kedua yang utama ialah lempeng tepung cicah kuah kari ikan semalam yang telah diperangatkan. Pilihan lain ialah cicah gula atau sapu susu pekat manis. Ketiga yang utama adalah cucur bawang atau cucur manis. Bila dah masak mak hidangkan dalam tujuh bekas sama banyak supaya semua mendapat jumlah yang sama bagi mengelakkan adik yang kecil tak merasa sebab dimakan habis yang lebih tua. Makaan lain seperti nasi lemak, bihun, kuih-kuih dan makan yang dibeli jarang dapat kami makan. 
         Untuk makan tengahari ikan yang paling utama adalah ikan jenis murah seperti kembung, cencaru, sela dan belanak. Ikan lain jarang-jarang dihidangkan. Sebulan sekali abah masak nasi minyak berlauk ayam dan daging. Abah beli seekor ayam hidup dan sembelih sendiri. Pada masa tu tak ada ayam halal  siap proses dijual. Selepas sembelih ayam dicelur dengan air panas. Lepas tu bulunya dicabut dan ayam disalai untuk buang bulu halus. setelah disiang barulah dimasak dengan rempah-rempah yang abah giling sendiri. Pukul 1.00 tengahari baru siap dan kami semua makan bersama-sama dengan mak dan abah. Punyalah sedapnya tak tekira sebab jarang dapat makan nasi minyak. Masakan tengahari yang sering dimasak mak adalah sambal tumis, ikan masak belada dan kari ikan.Mungkin kosnya tak tinggi.
          Waktu minum petang kami selalunya dihidangkan dua makanan utama iaitu biskut lemak "krim kraker" atau biskut "marrie". juga dihidangkan dalam tujuh  bekas dengan jumlah yang sama suapaya semua merasa. Biskut tu mak beli setin besar untuk sebulan. Sekali-sekali mak masak cucur kodok atau kuih lain.
            Makan malam pula sama dengan apa yang dimakan waktu tengahari. Lauk-lauk dan nasi diperangat semula. Kalau tak cukup lauk apa lagi goreng telur dadarlah untuk tambahan.
            Minuman pagi agak istimewa sebab kami dihidangkan teh susu sebab abah suka minum teh susu. minuman petang teh 'o'. Jarang-jarang dapat minum Milo, kopi atau minuman lain.
            Dengan cara ini mak dapat mencukupkan makanan untuk kami tujuh beradik walaupun abah cuma dapat memberi  duit belanja dapur yang kecil. Malah bijaknya mak mengawal perbelanjaan mak dapat juga menyimpan sedikit wang untuk kecemasan. Beruntung abah dapat mak yang pandai beekonomi demi membesarkan kami semua. Sampai hari ini kami amat menggemari masakan nasi goreng kitar semula mak yang akan dihidangkan untuk sarapan pagi bila kami semua balik ke umah mak.



No comments:

Post a Comment