Thursday, 23 April 2015

Antara Kerbau dan Kucing

Bekerja keras dan membuat jasa belum tentu akan membuat anda disayangi. Berapa ramai pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan  air mata darah malah ada sebahagiannya gugur dalam perjuangan serta merengkok dalam penjara sehingga ke penghujung hayat, yang mana mereka tidak pernah disanjung atau diingat. Merekalah yang disebut "The unsung heroes". Namun niat perjuangan mereka bukan mencari nama, tetapi demi pertiwi dan kemerdekaan anak cucu mereka kemudian hari sebagaimana yang kita nikmati hari ini. Tetapi begitulah resam dunia yang bejasa kurang dindahkan tetapi yang mengutip hasil dari jasa orang lain, yang pandai bermuka-muka dan berbahasa disanjung orang kerana petahnya berkata-kata.
          Lihatlah sang kerbau, rumahnya kandang yang busuk dan makanannya rumput-rumput yang tumbuh semulajadi. Tempat permandiannya adalah kolam kubang yang berlumpur dan kotor. Namun seekor kerbau sangat berjasa kerana kudratnya digunakan untuk membajak sawah yang luas. Kadang-kadang ditunggang sebagai kenderaan. Najisnya boleh dibuat baja. Dagingnya boleh dimakan. Jika tidak mematuhi suruhan tuannya ia akan dipukul.
          Lihatlah sang kucing, disediakan tempat tidur yang selesa, makanannya disiapkan tuannya dan dimandikan dengan sabun dan wangian. Tiada apa jasanya kepada tuannya melainkan aksi manja "Alim-alim kucing" nya dan aksi stuntnya ketika bermain-main mengejar dan menangkap sasarannya. Sebagai balasan dihadiahkan kepada tuannya sebuah kek pusing yang busuk disudut-sudut rumah dan bau perfume-nya yang hancing di tempat-tempat strategi sebagai penanda kawasan takluknya.
          Namun berbanding kerbau yang banyak berjasa, manusia lebih menyayangi kucing yang "kurang asam" tu. Hanya kerana kucing itu comel, suka menggesel-geselkan badan ke kaki manusia dan pandai beraksi manja menyebabkan ia mendapat pehatian yang lebih. Bagaimana dengan kerbau yang berjasa? Begitulah resam hidup bila kita bercakap tentang "The unsung heroes". Agaknya kebanyakan orang beranggapan orang yang berjuang dan berjasa tanpa mengharap sanjungan ini, orang yang "Bodoh macam kerbau". Tetapi mereka lupa nikmat kemerdekaan yang kita rasai hari ini adalah hasil perjuangan "The unsung heroes" yang kalian katakan bodoh itu.

No comments:

Post a Comment