Tuesday, 7 December 2021

Tanda Taubat Seseorang InsyaAllah Diterima

 

 ibadah.jpg

Bila kita ingin berubah dan berhijran ke arah lebih baik , lebih dekat dengan Allah tentunya pertama sekali kita perlu memohon ampun dan bertaudat kepada Allah. Kita akan meninggalkan segala amalan mungkar dan melakukan lebih amal salih. Setelah sekian lama kita berubah terkadang hati kecil kita berkata apakah dosa-dosa yang telah kita lakukan itu diampuni? Apakah taubat kita diterima? Untuk meredakan keisauan ini kita perlu memerhatikan beberapa indikator. Ada beberapa indikator yang menjadi petanda yang INSYAALLAH menunjukkan taubat kita diterima. Diantaranya kita masih merasa berdosa, kita gemar berdamping dengan orang salih, rasa takut kepada balasan Allah, sibuk dengan amal soleh dan sentiasa menjaga mulut dari kata-kata dosa. 


Merasa masih ada dosa yang masih belum terhakis

Kalau kita telah berhijrah ke arah lebih baik , lebih Islamik dan lebih beramal kita sepatutnya sentiasa merasa diri kita masih kurang dan berdosa. Sentiasa rasa masih banyak lagi yang perlu dibuat untuk menjadi insan soleh. Sentiasa merasa sedih kekurangan diri dan banyak memohon ampun kepadanya dan mengharapkan keampunanNya. Sentiasa besifat tawadhu' dan merasa banyak dosa yang belum terhakis.  Ini adalah sebahagian tanda-tanda insyaAllah taubat kita diterima. Sebaliknya jika setelah kita berhijrah kita merasa kita sudah menjadi manusia baik dan lebih alim serta soleh maka itu tanda taubat kita belum diterima. Walaupun kita dah berubah kita tak boleh meremehkan orang lain walaupun mereka kurang beragama. Ingatlah kita dahulu pun seperti mereka dan berkat dakwah orang lain serta izin dari Allah kita dapat berubah. Sepatutnya kita sampaikanlah nasihat kepada mereka dengan kata-kata yang baik dan merendah hati. 


Hati lebih tenteram dan lebih gemar berdamping dengan orang saleh dari orang fasik.

Satu lagi indikator insyaAllah taubat kita diterima ialah hati merasa lebih tenang dan tiada keluh kesah. Emosi sentiasa tekawal tidak mudah meruap dan sentiasa befikiran positif berbanding dari masa belum berhijrah. Hati yang tenang ini lebih gemar berdamping dengan orang-orangh soleh dari orang-orang fasik. Berdamping dengan orang-orang soleh akan mendorong kita kepada amal soleh. Sebaliknya apabila kita telah bertaubat hubungan dengan orang-orang fasik dan lalai semakin menjauh.

 

Sering merasa sedih kerana takutkan azab Allah.

Orang yang telah bertaubat sepatutnya kurang ketawa dan lebih memikirkan azab Allah. Ia lebih cenderung senyum berbanding ketawa. Bila mengenangkan dosa-dosa yang telah dilalui hati terasa berat untuk ketawa dan berjenaka berlebihan. Mengingat azab Allah yang dijanjikan kepada pendosa-pendosa membuat segala lawak dan jenaka sukar untuk menggeletek hatinya untuk ketawa. Justeru ia lebih banyak bersedih mengingatkan dosa-dosa yang telah lalu dan takut kiranya dosanya tidak diampunkan Allah


*  Sibuk menunaikan kewajiban terhadap Allah dan sedikit masa untuk urus rezki yang telah ditetapkan Allah.  

Bila telah berhijrah seseorang akan lebih sibuk menunai kewajiban kepada Allah dan ada sedikit masa sahaja untuk urusan lain. Baginya rezki Allah telah ditentukan dan tidak perlu bertungkus lumus menghabiskan masa untuk tujuan itu. Kalau dulu dia menghabiskan masa dan keringat mengejar harta dan kekayaan dengan mengabaikan hubungan dengan Allah serta tidak memperdulikan halal dan haram, kini hal itu tidak lagi menjadi fokusnya. Hidupnya sentiasa menjurus kepada hal-hal mencari redha Allah sahaja. 


*  Sedikit rezki tapi merasa banyak. Banyak beramal untuk akhirat tetapi merasa sedikit.

Satu tanda seseorang insyaAllah diterima taubatnya ialah tumbuhnya sifat qanaah dalam dirinya. Iaitu rezki sentiasa terasa cukup. Tetapi sebaliknya sentiasa merasa amalnya masih sedikit. Inilah dikatakan orang yang kaya hati. Iaitu orang yang hidup besederhana dalam urusan dunia tetapi sangat tamak mengejar akhirat.  


*  Diri sentiasa menjaga lidah dan pengucapan , sering bertafakur serta sering berada dalam keadaan sedih dan menyesal. 

Bagi orang yang bertaubat hendaklah menyedari bahawa diantara penyumbang dosa terbanyak seseorang ialah dosa dari lidah dan pengucapan. Kata-kata dari mulut seseorang itu cenderong membawa kepada dosa.Oleh itu tanda taubat seseorang insyaAllah diterima ialah seseorang yang berubah itu lebih memilih diam dari banyak berkata-kata. Dia memlih bertafakur dan sentiasa bermuahasabah diri serta berada dalam sedih dan penuh penyesalan.

 Jika sang pentaubat mempunyai ciri-ciri tersebut di atas insyaAllah taubatnya akan diterima. Kerana bila ciri-ciri ini ujud  akan nampaklah perbezaan karektor dari sebelum dan selepas melakukan taubat. Inilah perubahan yang dikehendaki setelah bertaubat bukan perubahan dari rupa diri dan pakaian semata. Perubahan yang datang dari hati yang ikhlas dan penuh penyesalan.

No comments:

Post a Comment