Wednesday, 7 October 2015

Hijrah : Perubahan Diri

Secara ringkas Hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain atas sebab-sebab yang tertentu seperti Hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah. Secara falsafahnya hijrah bermaksud berubah dari keadaan yang kurang baik kepada bertambah baik. Ini sesuai dengan saranan Islam kepada orang-orang beriman agar "Hari ini mesti lebih baik dari semalam". Ini bermakna setiap kita perlu sentiasa membuat pembaharuan diri terutama bila masuk ke tahun Hijrah yang baru. Perubahan diri penting untuk mempertingkatkan harga diri dan memperbaiki diri secara berterusan. Espek penting dalam pembaharuan diri ini adalah perubahan dimensi mental agar kita dapat berfikir secara rasional dan menolak pemikiran spekulatif, emosional dan ilusi. Cara kita berfikir dan bersikap menentukan tahap harga diri kita. Bagaimana membuat pembaharuan diri dari sudut dimensi mental?
  • Bersikap Positif - Tanamkan dalam diri bahawa kita boleh berubah kepada keadaan yang lebih baik. Jangan memperkecilkan diri sendiri yang akan membuat motivasi diri kita rendah. Lindungilah nilai diri kita dengan menafikan kritikan-kritikan yang tidak berasas. Buanglah segala kepercayaan palsu dan salah tentang diri kita.
  • Bangun dengan perasaan gembira - Hidup ini tidaklah terlalu serius sehingga menghalang kita dari rasa gembira. Banyak perkara yang boleh buat kita rasa gembira dan kita tidak perlu melayan semua kesedihan kerana kita juga berhak untuk rasa gembira. Memulakan hidup dengan rasa gembira adalah suatu tenaga yang kuat untuk berubah.
  • Tetapkan Matlamat Yang Realistik -  Untuk berubah perlu ditentukan matlamat-matlamat yang hendak dicapai. Namun matlamat yang hendak dicapai itu hendaklah sesuatu yang berada dalam kemampuan dan keupayaan kita. Jangan tetapkan matlamat yang tidak realistik yang kita tahu ianya diluar kemampuan kita. Akhirnya nanti kita sendiri yang kecewa kerana gagal mencapainya.
  • Berkawan Dengan Kawan-kawan Bersikap Positif - Bergaullah dengan teman-teman yang bersikap positif yang cenderong kepada perubahan diri. Mereka akan menyokong dan menggalakkan kita ke arah perubahan diri. Sebaliknya jika kita berkawan dengan mereka yang berfikiran negatif, kita akan didorong kepada berfikiran negatif dan menghasut kita agar kekal di takuk lama. 
  • Jangan Bandingkan Diri - Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain secara negatif, kerana ianya akan membuat kita merasa diri kita lemah dan tak berkebolehan. Jika ingin membuat perbandingan, buatlah perbandingan yang adil iaitu dengan perbandingan yang setaraf dengan kita. Dengan cara ini kita akan merasa jika orang lain boleh kita juga boleh lakukan. 
  • Terima Dan Sayangi Diri - Kita perlu menerima diri kita seadanya dan menyayangi diri kita. Setiap insan dilahirkan unik dan istimewa. Banyak perkara yang ada pada diri kita yang tidak dimiliki orang lain yang membuat kita istimewa. Kita hanya ingin membuat perubahan diri tetapi bukan untuk berubah menjadi orang lain. Hitunglah rahmat yang diterima dan bersyukurlah.
  • Bantulah Orang Lain - Sebenarnya apabila kita membantu orang lain harga diri kita akan menjadi lebih tinggi dan mulia. Hakikatnya yang memberi mendapat lebih dari yang menerima dalam bentuk keberkatan dan rahmat serta rezki. Kerana itu dikatakan tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. 
  • Jangan Cuba Jadi Sempurna - Sesiapa yang cuba menjadi orang yang sempurna akan sentiasa hidup dalam kekecewaan, kerana hanya tuhan yang sempurna sedangkan manusia diciptakan dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Matlamat kita adalah untuk membuat yang terbaik namun tidak menafikan akan ada kelemahan di sana sini. Namun kita berusaha untuk mengurangkan kelemahan dan kekurangan itu seminima mungkin.
  • Belajar Dari Kesilapan - Setiap kita pasti melakukan kesilapan. Seburuk-buruk manusia ialah mereka yang tidak pernah belajar dari kesilapan. Kesilapan bukanlah satu kegagalan tetapi ianya satu pelajaran. Tidak mengulangi kesilapan yang sama itulah perubahan yang perlu kita buat.
  • Sedia Terima Idea Baru dan Kritikan Membina - Untuk berubah bersedialah menerima dan melaksanakan idea-idea yang baru serta bersedia menghadapi kritikan yang membina bukan menghina. Sikap konservatif yang negatif tidak akan membantu kita untuk membuat perubahan diri. Sedangkan dunia sentiasa berubah mengikut zaman.
  • Elakkan Tekanan - Janganlah risau dengan sesuatu yang diluar kawalan kita sepeti bencana alam dan maut. Juga kita tidak perlu terlalu memikirkan apa yang telah lalu dan apa yang akan berlaku di masa depan. Ini semua akan memberi tekanan kepada kita. Kita perlu hidup untuk hari ini kerana ianya pasti. Berguraulah dan ketawa ianya akan mengurangkan stress. Ibadah dan zikir akan membuat fikiran tenang. Untuk perkara yang diluar kawalan kita kita berserah dan tawakal kepada Allah.
  • Tambah Ilmu dan Pengetahuan - Banyakkan membaca, hadiri majlis ilmu dan belajar akan menambah ilmu dan pengetahuan. Tanpa ilmu yang kemaskini amat sukar melakukan perubahan diri keranan ilmu adalah prasyarat bagi sesuatu perubahan. Kemajuan pantas dunia dalam pelbagai perkara menuntut kita menguasai ilmu untuk menangani kehidupan yang kian mencabar. Oleh itu kita tidak terkecuali dari menguasai ilmu demi untuk perubahan diri.
  • Sedia Log Kemajuan Diri - Sebaiknya kita patut menyediakan suatu log pencapaian-pencapaian yang telah berjaya dicapai selama ini. Ianya berguna untuk mengetahui apa yang kita telah capai dan apa yang belum kita capai atau bagi membuat penambahbaikan. Log ini dapat kita gunakan bagi mengatur set matlamat  dan wawasan diri untuk dicapai bagi tempoh masa yang beikutnya.
Semuga saranan-saranan ini ada menafaatnya demi perubahan diri yang positif.         

          
        

No comments:

Post a Comment