Saturday, 23 May 2015

Menyemarak cinta di hujung usia


Bila usia telah mencecah separuh abad hubungan suami isteri semakin hambar dan sudah tidak romantik lagi. Kalau dulu memanggil pasangan masing-masing "sayang" kini mungkin memanggilnya "atuknya" atau "opahnya". Kalau duduk dekat-dekat terasa rimas dan panas. Kalau cuba nak romantik sikit isteri akan berkata, "orang tua ni dah buang tebiat ke apa?". Isteri pun dah tak berminat nak behias untuk suami, begitu juga suami dah tak kisah dengan kekemasan dirinya. Apakah sudah tiada cinta lagi setelah mengemudi bahtera perkahwinan dua ke tiga dekad? Sebenarnya cinta itu masih ada tetapi ia telah dipudarkan oleh tanggapan tiada cinta untuk usia emas. Cinta itu perlu disemarakkan semula dengan mengambil langkah-langkah perubahan.
         Pertama, isteri berhiaslah untuk suami. Memang jika anda berhias pun tidak akan mengembalikan anda ke zaman muda. Tetapi kelihatan kemas dan menarik dapat menyejukkan hati suami anda. Malah berhias untuk suami itu adalah suatu ibadah walaupun isteri telah mencecah usia emas. Tidak kira cantik atau buruk isteri tetap kena berhias. Dengan berhias isteri akan mendapat pahala dan keberkatan dari Allah. Dengan niat kerana Allah, berhias akan mengikat kasih sayang suami-isteri. Tetapi bukan isteri sahaja perlu berhias sebaliknya suami juga perlu menjaga kekemasan diri agar tenang bila isteri melihatnya. Mengemaskan diri untuk isteri kerana Allah pasti mendapat pahala dan keberkatan serta menjadi pengikat kasih sayang yang kukuh.
           Namun kecantikan isteri janganlah dilihat pada kulit wajah yang kendur tetapi lihatlah pada jasanya kepada anda dan keluarga setelah sekian lama bersama. Kecantikannya bukan pada matanya yang sudah kekurangan sinar, tetapi lihatlah pada kesetiaannya yang tidak pernah pudar. Carilah kecantikan isteri bukan mencari isteri yang cantik. Jasanya, kasih sayangnya, layanannya, masakannya, kesabarannya, dan pelbagai lagi keindahan yang tidak zahir pada rupa tetapi dapat dirasakan oleh hati anda. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan seorang isteri yang cantik lagi.
            Kedua, semarakkanlah semula cinta diusia emas dengan hubungan seksual. Jangan berhenti mengadakan hubungan seksual kerana ia akan memudarkan hubungan suami-isteri. Menurut Profesor Dr. Ismail Tambi seorang pakar sakit tuan,
i.   Seks masih perlu di usia emas
ii.  Penuaan bukanlah seteru seksualiti
iii. Komunikasi memantapkan seksualiti
iv.  Kesihatan, emosi dan isu-isu seksual boleh ditangani untuk mengecapi penghayatan seksual
      yang memberansangkan.
v.   Terapi moden dan altenatif boleh mengatasi masaalah seksual
vi.  Perubahan sikap adalah mustahak untuk mencapai kesemua dari  i.  hingga v.
Oleh itu anda perlu berubah dan nikmati semula zaman muda anda melalui sesualiti tetapi dalam versi baru usia matang.
               Ketiga, apabila usia telah mencecah separuh abad anak-anak telah membesar, rumah tangga sunyi dan tak banyak lagi untuk diperbualkan antara suami dan isteri.Cara yang baik untuk menyemarakkan semula cinta ia merancang bulan madu kedua. Ini cukup berkesan untuk membangkitkan kembali kehangatan dalam rumah tangga yang kian suram. Untuk itu cadangan berikut boleh diambil kira
i.    Menetapkan tarikh untuk percutian
ii.   Menyediakan bajet 
iii.  Memilih lokasi yang penuh dengan alam semulajadi kerana ianya sesuai dan baik 
      bagi usia emas
iv.   Bergerak melalui jalan darat agar banyak masa untuk anda berbual.
Anda akan pasti dapat merasakan kelainannya apabila anda melaluinya. Tidak mustahil bulan madu kedua lebih hebat dari yang pertama.

Semarakkanlah cinta, bangkitkanlah asmara.......semuanya ditangan anda untuk berusaha.



2 comments:

  1. Tahniah bang satu pesanan yang jujur lagi ikhlas kerana diusia tua inilah pasangan masing2 perlu ambil perhatian.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq sudi membaca. Sekadar perkongsian mungkin ada manafaatnya. Semua insan berhak hidup bahagia termasuk yg berusia emas. Cuma caranya yang berbeza sesuai dengan umur yg meningkat senja. Live must go on.

      Delete