Saturday, 12 September 2015

Bahaya Masa Lapang




Bagaimana kita menguruskan masa lapang kita adalah sangat penting. Ini adalah kerana waktu lapang adalah ruang kosong dalam hidup kita yang boleh diisi dengan apa sahaja, samada kebaikan atau kemaksiatan. Samada disi dengan hak atau yang bathil. Jika salah urus, masa lapang akan dipenuhi dengan perkara lagha dan dosa. Dalam hal ini Imam Shafi'i telah berpesan,

"Kalau engkau tidak menyibukkan dirimu dengan yang hak, maka ia akan sibuk dengan yang bathil"

Masa yang dipenuhi dengan perkara yang bathil akan menjurus kepada lemahnya iman dan jiwa menjadi kosong. Umpama sebuah gelas yang kosong jika tidak diisi dengan susu yang berkhasiat, ianya mungkin diisi dengan arak yang memabukkan. Demikian jiwa manusia bila ia kosong, ianya akan diisi dengan pelbagai perkara negatif seperti rasa takut, cemas, dengki, cemburu, dendam dan sebagainya. Unsur-unsur yang merosakkan kebahagiaan diri.
            Justeru kita harus berwaspada masa lapang walau pun suatu kesempatan untuk kita berehat atau bersantai namun ianya haruslah dalam batas-batas syarak agar kita tidak tersasar mengisi masa lapang kita dengan perkara bathil dengan meninggalkan yan hak. Apabila kita putus dari mengingati Allah bererti terdapat ruang kosong dan syaitan dengan mudah menyelinap masuk di ruang kosong tersebut dan menjalankan dakyahnya. Kesimpulannya walaupun kita bersantai dan berehat di masa lapang namun kita tetap menjaga hubungan kita dengan Allah SWT.

Tuesday, 8 September 2015

Kunci Kebaikan Hati




Kebaikan hati seseorang itu ada kuncinya. Kuncinya kecil iaitu "Rasa Syukur". Kunci ini hanya dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Ini adalah kerana hanya orang yang benar-benar beriman sahaja yang meletakkan pergantungannya kepada Allah. Kerana itu hati mereka dipelihara Allah dan dikurniakan kebahagiaan. Bersabda Rasulullah SAW;

"Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya."

(H.R. Muslim)


Bersabda Rasulullah SAW;

"Hati yang bersyukur, lisan yang mengingat Allah dan isteri yang baik akan menolong kamu dalam urusan hidupmu dan agamamu adalah harta terbaik yang dimiliki manusia"

(H.R. Thirmizi)

Justeru itu marilah kita mencari kunci kecil ini yang merupakan kunci bagi kebaikan hati iaitu "Rasa Syukur". Untuk memperolehnya perlulah kita mempertingkatkan dan memantapkan iman agar rasa syukur itu benar-benar kita miliki. Dengan kunci ini kita akan dapat membuka pintu-pintu kebahagiaan dan mengunci pintu-pintu kedukaan.


Friday, 21 August 2015

Bagaimana berbual mesra

Bila menghadiri sesuatu majlis bagi sesetengah orang amat sukar untuk bertegur sapa dan bermesra dengan tetamu yang tidak kenali. Akibatnya suasana menjadi senyap kerana tiada perbualan antara tetamu yang datang. Ini mungkin disebabkan masing-masing berprasangka tetamu itu sombong atau tidak mesra. Terdapat beberapa petua untuk mengatasi masaalah ini iaitu:-
  • Salam pengenalan. Pertama hapuskan prasangka buruk kita terhadap orang lain.  Apabila sudah bertemu mulakanlah dengan salam pengenalan iaitu pertama hulurkan tangan bersalaman. Tunjukkanlah wajah yang ceria dan sentiasa tersenyum tanda mesra. Terus bertanya soalan pembuka bicara seperti, " Encik dari mana?" atau "Encik saudara tuan rumah ke?". Bila kelihatan kemesraan mula terjalin bolehlah kita memperkenalkan diri dan bertanya nama tetamu itu. Seterusnya bolehlah kita melanjutkan dengan perbualan.
  • Perbualan. Bila kita sudah memperoleh sedikit maklumat mengenai tetamu tersebut atau memang kita sudah tahu latar belakangnya kita mulakanlah bicara dengan topik umum yang dia tahu dan minat. Dengan cara itu perbincangan akan menjadi lebih rancak dan banyak topik yang boleh dibicarakan. Elakkan berbual isu-isu sensitif seperti isu politik, agama dan kaum. Tambahan pula jika kita berlainan pandangan dengannya, perbualan akan menjadi tegang dan kemesraan akan hilang. Begitu juga elakkan bertanya atau berbual mengenai perkara yang terlalu peribadi kerana kebanyakn orang tidak suka isu peribadinya disentuh. Perkara peribadi selalu membuat seseorang tesinggung. Jika tetamu itu dari kaum atau bangsa yang berbeza dari kita fahami dan hormatilah budaya mereka. Mungkin apa yang baik diperkatakan dalam budaya kita, tidak baik bagi bangsa mereka. Janganlah terlalu banyak celoteh dan banyak cakap kerana ini akan membuat tetamu kita rasa tidak selesa. Berilah ruang untuk dia bercakap agar perbualan menjadi perbualan dua hala bukan "one man show". Sesekali selitkan kata-kata pujian yang ikhlas kepada tetamu tersebut dan ini akan membuat dia berasa besar hati dan menghormati kita. Juga selitkan senda gurau yang akan membuat tetamu merasa mesra seolah-olah telah lama mengenali kita. Pastikan kita bercakap dengan fasih dan jelas serta dapat difahami olehnya.
  • Sikap. Semua yang kita lakukan di atas akan rosak jika kita bersikap sombong dan meninggi diri dengan menunjukkan kita lebih hebat dari tetamu itu. Sikap ini akan menjadi tembok penghalang bagi tetamu itu untuk berbual mesra dengan kita. Kita juga harus memahami ego tetamu tersebut. Kalau ia berpangkat Dato' atau seorang pegawai tinggi hormatilah kedudukannya dan jangan buat ia seperti kawan-kawan biasa kita. Namun kita jangan pula terlalu merendah diri sehingga terlalu banyak pekara yang kita khuatirkan untuk dibicarakan. Akhirnya tidak banyak yang dapat kita bicarakan. Semasa berbicara tunjukkanlah air muka yang ceria. Pandang semasa berbicara dan jangan buat pandang tak pandang kerana ini akan menyinggung perasaan tetamu itu. Tunjukkan rasa minat dengan perbualan dengan gerak badan, mata dan air muka bagi menunjukkan kita memberi perhatian. 
Demikianlah sebahagian petua yang boleh kita cuba jika ingin berbual mesra dengan tetamu atau orang yang kita tidak kenal. Sangatlah buruk jika kita duduk bersebelahan dengan seseorang dalam satu majlis tanpa bertegur sapa.

Thursday, 13 August 2015

Mengubat Hati




Seperti badan, hati juga boleh menjadi sihat, sakit atau mati. Hati yang sihat adalah hati yang ada iman, cenderong beramal soleh dan tidak suka amalan dosa. Hati yang sakit cenderong kepada amalan dosa, berat untuk beamal soleh tetapi masih ada iman. Hati yang mati hati yang tidak lagi mahu mendengar nasihat seperti dimiliki oleh Firaun dan Abu Jahal. Seperti badan yang sakit, hati yang sakit juga perlu dirawat dan diubati. Oleh itu ia pelu melalui proses penyembuhan ia itu dengan cara:

Didiagnosis 
Jika badan tidak sihat kita akan berjumpa doktor untuk didiagnosis. Bagi hati yang dihinggapi penyakit hati kita perlu berjumpa dengan orang yang alim dan soleh bagi mengenalpasti penyakit hati dan sejauh mana parahnya. Mereka dapat menilai sejauh mana tahap lemahnya hati kita dan boleh memberi saranan cara mengatasinya. Apa yang penting jangan merasa malu dan perlu bersabar terhadap apa jua hasil pemerhatian dan saranan mereka.

Preskripsi
Bila doktor mendiagnosis kita ia akan mengeluarkan preskripsi bagi mendapatkan ubat bagi menyembuhkan penyakit kita. Begitu juga bila kita berjumpa orang yang alim dan soleh mereka akan memberi saranan bagi penyembuhan penyakit hati kita. Contoh saranan atau preskripsi bagi penyakit hati kita adalah sebagaimana yang disarankan oleh seorang ulama Ibrahim Al-Khawas yang menyatakan ubat hati itu lima perkara iaitu (i) Baca Quran dan maknannya (ii) Solat malam (Qiamullail)  (iii) Berkumpullah dengan orang-orang soleh (iv) Perbanyakkan puasa  (v) Zikir malam berpanjanglah. Preskripsi ini bukan untuk dibaca tetapi untuk diamalkan, baharulah ia akan menyembuhkan penyakit hati.

Dikuarantin
Jika sakit kita pada tahap yang memerlukan pemerhatian doktor kita mungkin perlu dikuarantin atau ditahan dalam wad. Sama juga dengan orang yang hatinya berpenyakit kadang-kadang perlu beruzlah sementara untuk menjalani proses pemulihan hati. Dalam tempoh inilah ia perlu mempertingkatkan ilmu dan amal agar menjadi kemas. Menjauhi sebarang pengaruh yang mengganggu proses pemulihan yang sedang dijalani. Dengan cara ini proses pemulihan akan berjalan lancar tanpa gangguan.

Pengubatan
Setiap ubat adalah pahit, begitu juga ubat hati. Untuk sembuh kita perlu sabar dan istiqamah dalam usaha untuk mengubati penyakit hati. Sebagaimana kita perlu mengambil ubat secara berterusan untuk mengubati badan yang tidak sihat maka begitu juga kita perlu mungubati hati kita secara istiqamah tanpa jemu.

Pencegahan
Setelah dirawat doktor tentulah kita bertekad tidak mahu lagi mendapat penyakit semula setelah sembuh. Hati yang sudah pulih juga perlu dijauhkan dari unsur-unsur yang boleh membawa kepada berulangnya penyakit hati. Hati yang telah bertaubat tidak sepatutnya terjebak dengan dosa-dosa yang akan merosakkan hati. Mencegah lebih baik dari mengubati. Oleh itu untuk mengelakkan pengaruh buruk itu kita sepatutnya sentiasa bergaul dengan orang-orang yang soleh dan berada dalam majlis-majlis yang soleh seperti majlis-majlis ilmu.

Amal cara hidup sihat
Badan akan menjadi sihat apabila seseorang itu mengamalkan cara hidup sihat. Cara hidup sihat adalah melaui permakanan seimbang, bersenam dan menjauhi amalan hidup yang merosakkan seperti penagihan dadah dan alkohol.  Hati juga akan menjadi sihat apabila mengambil jalan hidup yang benar mengikut sunnah.  Hati juga perlu seimbang. Iman dan amal, Ibadah dan akhlak, serta ibadah khusus dan ibadah umum perlu seimbang. Menumpu kepada ibadah semata dengan mengabaikan tanggung jawab mengurus kehidupan adalah tidak seimbang dan merosakkan hati. Hati juga perlu dilatih dan diuji. Misalnya untuk meningkatkan tawadhu sesekali kita buat kerja-kerja seperti mencuci tandas, untuk mengikis sifat ego. Untuk mengurangkan nafsu yang haloba kita perbanyakkan berpuasa.Inilah antara contoh senaman hati yang boleh kita amalkan. Akhirnya jauhilah anasir-anasir perosak hati dari kekeliruan keasyikan dunia dan ajaran-ajaran berwajah agama yang tidak bersumber dari nas yang sahih. 

Doa 
Hebat mana pun kita segalanya terletak dibawah kuasa Allah. Oleh itu kita wajib berdoa agar sentiasa diberi petunjuk di jalan yang lurus. Sifat terlalu optimis tanpa meletakkan pegantungan kepada Allah mungkin akan me jerumuskan kita ke jalan yang sesat seperti yang dilalui oleh Iblis yang setelah begitu lama mengabdi kepada Allah akhirnya engkar dan ditempatkan dalam neraka.

Wednesday, 17 June 2015

Tawaran Istimewa Ramadhan Vs Tawaran Istimewa Aidl Fitri

Menjelang Ramadhan bermulalah pelbagai promosi jualan bersempena Hari Raya Aidil Firi bagi menarik pelangan membeli barangan dan pekhidmatan yang ditawarkan. Di pusat-pusat membeli belah pelbagai tawaran jualan murah dengan diskaun sehingga 50% diberikan ke atas barangan seperti pakaian, kasut, alatan dapur, barang eletrik dan sebagainya. Kedai-kedai telefon pintar menawarkan telefon canggih dengan harga yang lebih murah dengan bebagai jenama seperti Samsung, Sony, Leonova, Oppo dan lain-lain untuk menarik planggan. Pelanggan yang ghairah untuk menyambut hari raya tentu bukan sahaja berbangga berhari raya dengan pakaian baru malah berbangga dengan telefon pintar canggih yang baru. Kesempatan ini juga di ambil oleh syarikat telekomunikasi mempromosikan saluran telko mereka dengan tawaran seperti menawarkan pembeian wang tunai raya dan bonus bagi yang berdaftar dengan sistem mereka. Syarikat kereta turut menawarkan jualan dengan memberi rebat tunai sehingga RM8,000 untuk menarik pembeli semepena hari raya. Yang berkemampuan mengambil kesempatan ini bukan sahaja untuk bebaju baru di hari raya ini, malah bekereta baru semepena hari raya. Juga telah menjadi trend kini cuti hari raya digunakan untuk melancung ke tempat-tempat peranginan seperti Cameron Highland, Pangkor dan Langkawi. Hotel-hotel menawarkan pekej-pekej penginapan dengan harga yang menarik semepena hari raya. Begitulah tedapat pelbagai tawaran istimewa semepena hari raya semenjak sebelum Ramadhan lagi dan ini menarik perhatian umat Islam ghairah dan sibuk dengan tawaran dan promosi sehingga ibadah di bulan Ramadhan terabai.
          Kesibukan umat Islam menyahut tawaran Istimewa Aidil Fitri telah menyebabkan mereka terlupa bahawa  Tawaran Istimewa Ramadhan jauh lebih hebat. Diantara tarawan istimewa yang di tawarkan Ramadhan adalah pertama, pada bulan ini Allah mengampunkan dosa-dosa orang-orang yang beiman. Oleh itu pada bulan ini perbanyakkan taubat dan istighfar agar dosa terampun dan kita menjadi bersih dan kembali kepada fitrah pada 1 Syawal. Kedua, dibulan Ramadhan segala amalan diberi pahala berganda yang tiada tawaran ini dibulan lain. Lakukanlah amalan-amalan wajib dan sunat agar kita memperoleh pahala yang maksimum. Ketiga, di bulan Ramadhan pintu langit dibuka dan Allah memakbulkan doa orang-orang beriman. Ambillah peluang ini berdoa sebanyak-banyaknya atas hajat untuk kebaikan agama dan kehidupan kita. Mohonlah dengan tulus dan yakin Allah akan memakbulkannya. Keempat, hanya di Ramadhan tedapat Lailatul qadar ia itu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan. Carilah ia di malam-malam akhir Ramadhan kerana beibadat pada malamnya akan di ganjarkan pahala melebihi 1,000 bulan ( 83 tahun 4 bulan). Kalau kita beibadah seumur hidup pun tidak akan mencapai amalan sebanyak itu. 
          Tetapi malangnya sebahagian dari kita lebih ghairah dan sibuk dengan tawaran istimewa Aidil Fitri berbanding Tawaran Istimewa Ramadhan. Bersolat jamaah dan tarawih hanya bertahan diminggu awal puasa sahaja. Selepas itu masing-masing asyik dengan pesiapan raya. Menghias rumah dan memasang lampu atau panjut. Yang wanita sibuk menyediakan kuih-kuih raya. Membeli belah dari siang terlajak sehingga malamnya. Yang berada sering mengunjungi buffet Ramadhan di restoran atau di hotel. Begitulah keasyikan persiapan hari raya dan keghairahan membeli belah disebabkan tawaran dan promosi hari raya menyebabkan kita kerugian besar kerana telah telepas tawaran yang maha istimewa dari Ramadhan.

Sunday, 31 May 2015

Meriahnya Ramadhan

Ramadhan datang lagi dan bersyukurlah bagi sesiapa yang dapat bertemu Ramadhan lagi tahun ini. Bulan yang pernuh berkah yang mana beramal didalamnya digandakan pahalanya lebih dari bulan-bulan lain dan bulan dimana doa-doa dimakbulkan. Bagi orang yang soleh Ramadhan disambut dengan penuh kegembiraan setelah merinduinya sekian lama dan bila  Ramadhan  berakhir dilepaskan dengan air mata khuatir tidak bertemu lagi ditahun hadapan. Bagi orang awam pula kemeriahan tetap dirasakan disudut budayanya. Diantara kemeriahan yang dapat dirasakan :-

Kepelbagaian Juadah Berbuka

Meriahnya bulan Ramadhan tergambar dengan pelbagai juadah berbuka masyarakat kita. Ini boleh kita saksikan di bazar Ramadhan yang menjual pelbagai juadah berbuka yang kadang-kadang tidak terdapat dibulan yang lain. Dari murtabak, roti john sehinggalah ke kuih seperti kuih badak berendam dan kuih taik itek. Di surau dan mesjid pula diedarkan bubur lambuk atau nasi dalca kepada orang ramai untuk berbuka. Di surau dan mesjid ada moreh dan jamuan lepas terawih atau tadarus juga dengan pelbagai juadah bergantung kepada bajet atau sedekah ahli khariah. Dibandar-bandar telah menjadi trend restoran dan hotel-hotel menawarkan Buffet Ramadhan yang menawarkan pakej berbuka puasa mewah dengan bayaran tertentu setiap orang. Namun kurma tetap menjadi bahan utama untuk berbuka puasa. Pelbagai jenis kurma dijual dari yang murah hingga yang termahal. Di bulan Ramadhan sahaja kita dapat menikmati pelbagai jenis kurma yang lazat dan masih segar. 

Kemeriahan Membeli Belah
Aidilfitri   adalah perayaan yang utama bagi masyarakat kita. Kerana itu persediaan ke arah menyambutnya dibuat dengan lebih bersungguh. Membeli pakaian, langsir dan peralatan rumah menjadi acara utama di bulan Ramadhan bergantung kepada bajet masing-masing. Walaupun dikatakan membuat persediaan awal apat menjimatkan perbelanjaan namun membeli belah dibulan Ramadhan itu sendiri adalah satu kemeriahan bagi  masyarakat kita yang mereka tidak dapat elakkan. Disana-sini pasaraya dan kedai-kedai mengiklankan kempen jualan Aidil Fitri. Walau penat berpuasa membeli belah tetap dilakukan. Seolah-olah tiada hari raya jika tiada pakaian baru. Bagi golongan berpendapatan rendah inilah masanya mereka menyediakan pakaian baru bagi anak-anak mereka setahun sekali.

Kemeriahan Lampu dan Cahaya

Malam Ramadhan setelah penat berpuasa masyarakat menjadi ceria dengan limpahan cahaya dari lampu kelap-kelip dan pelita panjut yang dipasang di rumah dan di tempat tertentu terutama menjelang akhir Ramadhan. Ada pendapat mengatakan idea memasang panjut ini adalah kerana hendak menerangkan kampung pada zaman dahulu supaya senang penduduk kampung hendak pergi dan balik ke surau atau mesjid untuk menunaikan terawih dan bertaddarus. Kini pemasangan panjut menjadi tradisi kerana zaman sekarang sudah ada lampu jalan menerangi jalan untuk menerangi orang lalu lalang. Pihak Perbandaran juga turut menghiasi bandar dan jalan dengan lampu-lampu hiasan dan menjadikan malam pada bulan Ramadhan sungguh meriah dengan lampu-lampu.

Kemeriahan Ibadah

Dibulan Ramadhanlah kita dapat melihat mesjid dipenuhi dengan ahli jemaah. Masyarakat kita berduyun-duyun mengunjungi mesjid dan surau untuk menunaikan solat tarawih. Orang dewasa, kanak-kanak dan kaum wanita memenuhi ruang solat mesjid dan surau. Mesjid menjadi terang bercahaya dan meriah dengan ramainya ahli jemaah disepanjang Ramadhan. Mesjid dan surau juga diadakan majlis taddarus quran dan tazkirah. Setelah bersahur ramai yang terus ke mesjid dan surau untuk solat subuh berjemaah. Seolah-olah setiap hari bulan Ramadhan adalah pesta ibadah bagi masyarakat Islam. Ramadhan dipenuhi dengan solat berjemaah, tarawih, membaca quran, iktiqaf dan bersedekah yang kurang dilakukan dibulan lain.
  • Begitulah meriahnya Ramadhan saban tahun yang kadang-kadang kita terfikir mana lebih meriah antara Ramadhan dengan Aidilfitri. Apa pun bagi orang yang beriman yang dicari bukan meriahnya tetapi berkahnya Ramadhan. Bulan yang dosa-dosa diampunkan dan pahala digandakan. Bonus tahunan yang jangan sekali-kali dilepaskan.




Saturday, 23 May 2015

Menyemarak cinta di hujung usia


Bila usia telah mencecah separuh abad hubungan suami isteri semakin hambar dan sudah tidak romantik lagi. Kalau dulu memanggil pasangan masing-masing "sayang" kini mungkin memanggilnya "atuknya" atau "opahnya". Kalau duduk dekat-dekat terasa rimas dan panas. Kalau cuba nak romantik sikit isteri akan berkata, "orang tua ni dah buang tebiat ke apa?". Isteri pun dah tak berminat nak behias untuk suami, begitu juga suami dah tak kisah dengan kekemasan dirinya. Apakah sudah tiada cinta lagi setelah mengemudi bahtera perkahwinan dua ke tiga dekad? Sebenarnya cinta itu masih ada tetapi ia telah dipudarkan oleh tanggapan tiada cinta untuk usia emas. Cinta itu perlu disemarakkan semula dengan mengambil langkah-langkah perubahan.
         Pertama, isteri berhiaslah untuk suami. Memang jika anda berhias pun tidak akan mengembalikan anda ke zaman muda. Tetapi kelihatan kemas dan menarik dapat menyejukkan hati suami anda. Malah berhias untuk suami itu adalah suatu ibadah walaupun isteri telah mencecah usia emas. Tidak kira cantik atau buruk isteri tetap kena berhias. Dengan berhias isteri akan mendapat pahala dan keberkatan dari Allah. Dengan niat kerana Allah, berhias akan mengikat kasih sayang suami-isteri. Tetapi bukan isteri sahaja perlu berhias sebaliknya suami juga perlu menjaga kekemasan diri agar tenang bila isteri melihatnya. Mengemaskan diri untuk isteri kerana Allah pasti mendapat pahala dan keberkatan serta menjadi pengikat kasih sayang yang kukuh.
           Namun kecantikan isteri janganlah dilihat pada kulit wajah yang kendur tetapi lihatlah pada jasanya kepada anda dan keluarga setelah sekian lama bersama. Kecantikannya bukan pada matanya yang sudah kekurangan sinar, tetapi lihatlah pada kesetiaannya yang tidak pernah pudar. Carilah kecantikan isteri bukan mencari isteri yang cantik. Jasanya, kasih sayangnya, layanannya, masakannya, kesabarannya, dan pelbagai lagi keindahan yang tidak zahir pada rupa tetapi dapat dirasakan oleh hati anda. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan seorang isteri yang cantik lagi.
            Kedua, semarakkanlah semula cinta diusia emas dengan hubungan seksual. Jangan berhenti mengadakan hubungan seksual kerana ia akan memudarkan hubungan suami-isteri. Menurut Profesor Dr. Ismail Tambi seorang pakar sakit tuan,
i.   Seks masih perlu di usia emas
ii.  Penuaan bukanlah seteru seksualiti
iii. Komunikasi memantapkan seksualiti
iv.  Kesihatan, emosi dan isu-isu seksual boleh ditangani untuk mengecapi penghayatan seksual
      yang memberansangkan.
v.   Terapi moden dan altenatif boleh mengatasi masaalah seksual
vi.  Perubahan sikap adalah mustahak untuk mencapai kesemua dari  i.  hingga v.
Oleh itu anda perlu berubah dan nikmati semula zaman muda anda melalui sesualiti tetapi dalam versi baru usia matang.
               Ketiga, apabila usia telah mencecah separuh abad anak-anak telah membesar, rumah tangga sunyi dan tak banyak lagi untuk diperbualkan antara suami dan isteri.Cara yang baik untuk menyemarakkan semula cinta ia merancang bulan madu kedua. Ini cukup berkesan untuk membangkitkan kembali kehangatan dalam rumah tangga yang kian suram. Untuk itu cadangan berikut boleh diambil kira
i.    Menetapkan tarikh untuk percutian
ii.   Menyediakan bajet 
iii.  Memilih lokasi yang penuh dengan alam semulajadi kerana ianya sesuai dan baik 
      bagi usia emas
iv.   Bergerak melalui jalan darat agar banyak masa untuk anda berbual.
Anda akan pasti dapat merasakan kelainannya apabila anda melaluinya. Tidak mustahil bulan madu kedua lebih hebat dari yang pertama.

Semarakkanlah cinta, bangkitkanlah asmara.......semuanya ditangan anda untuk berusaha.