Kadang-kadang kita hairan mengapa setelah bekerja dan berusaha namun terasa rezki tidak betambah dan kehidupan terasa tidak berkecukupan. Kita tertanya-tanya apakah takdir Allah telah menetapkan setakat itu sahaja rezki yang ditetapkan. Sebenarnya ada beberapa saranan dari Rasulullah SAW yang jika diamalkan akan menarik kemasukan rezeki bagi mereka yang benar imannya dan bertaqwa.
Taqwa
Amalan utama bagi menarik rezki bagi orang beriman adalah amalan taqwa. Orang bertaqwa akan mendapat rezki dari arah yang tidak disangka-sangka seperti Firman Allah SWT yang bermaksud;
"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya" ( Q: At-Thalaq: 2-3 )
Namun surah ini telah disalahguna sebahagian orang Islam dengan menjadikan ianya seumpama tangkal untuk memajukan perniagaan. Ayat ini mereka gelar sebagai "Ayat Seribu Dinar". Bukan begitu tujuan ayat ini diturunkan. Yang diperintahkan ialah supaya bertaqwa dan dengan itu nanti Allah menurunkan rezki yang mencurah bukannya mengantungnya untuk menarik rezki. Kita perlu beristighfar dan membersihkan diri dari pemahaman yang salah ini.
Memperbanyak Istighfar
Doa dan permintaan kita akan terhalang oleh dosa-dosa yang kita lakukan. Ianya menjadi halangan kepada pengaliran rahmat dan kurniaan dari Allah. Justeru dengan memperbanyakkan istighfar memohon ampun kepada Allah membuka laluan rezki dariNya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
"Barangsiapa tekun beristighfar nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar dari tiap-tiap kesempitan serta diberi rezki dari arah yang tidak disangka-sangka"
(H.R. Abu Dawud Nasaai, Ibnu Majah & Hakim)
Dengan memperbanyakkan istighfar dapat membersihkan diri dari dosa-dosa dan akan mendapat belaian kasih dari Allah. Orang yang mengasihi sangat suka memberi anugerah kepada yang dikasihi dan kepadaNya kita akan bertawakal.
Tawakal
Bertawakal yakni berserah kepada Allah setelah berusaha adalah sifat orang beriman. Yakinlah bahawa Allah telah menetapkan rezki bagi setiap makhluknya. Nabi SAW dengan tegas telah bersabda yang bermaksud;
"Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa nescaya Dia menjamin rezekimu sebagaimana Dia menjamin makanan burung , terbang di waktu pagi dengan perut kosong namun pulang kembali di waktu petang dengan perut kenyang"
(H.R. Imam Ahmad , Timizi, Nasai, Ibnu Majah & Ibnu Hibban) Sesunguhnya Allah memegang semua kunci rezki makhluknya. Oleh itu hanya kepadanya kita beusaha dan bertawakal. Namun tidak lengkap sekiranya tidak diringi dengan doa.
Doa
Doa adalah senjata mukmin. Serulah Dia yang maha kaya dan maha pemurah. Tunjukkanlah sifat fakir kita sebagai makhluk merendah diri memohon kepada pemilik alam ini. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud ;
"Berdoalah kepadaku nescaya akan ku perkenankan bagi mu" (Q: Al-Mukmin : 60 )
Berdoalah bersungguh-sungguh dengan yakin akan dimakbulkan tanpa ragu. Jangan sekali mengambil jalan syirik dan kurafat untuk menarik rezeki. Ini mengundang kemurkaan Allah dan kelak Allah akan menyempitkan kehiduapan kita. Berdoalah dengan niat rezki yang diperolehi akan diinfak dan disedekahkan demi jalan Allah.
Bersedekah
Bersedekah adalah amalan yang akan menarik rezeki kepada orang yang mengamalkan bersedekah. Ini bukan kepercayaan orang Islam saaja malah orang-orang bukan Islam juga meyakinimya. Mereka yakin lebih banyak memberi pasti akan makin banyak diterima. Mengenai perkara ini Allah SWT berfirman yang bermaksud;
"Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah maha pemberi rezki yang sebaik-baiknya" (Q: Saba' : 39 )
Allah telah menjanjikan kepada orang yang bersedekah bahawa Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik. Tanda kita mensyukuri rezki yang diberi oleh Allah ialah dengan bersedekah.
Bersyukur
Sifat syukur akan melapangkan dada dan membuat kita sentiasa merasa cukup. Dengan bersyukur akan datang sifat qanaah yang menjadikan diri tidak berputus asa berusaha. Allah akan menambah nikmat bagi orang-orang yang bersyukur. Allah SWT berfiraman yang bermaksud;
"Sesungguhnya jika kamu bersyukur , pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat ku) maka sesunguhnya azab Ku sangat pedih" (Q: Ibrahim : 7)
Dengan bersyukur Allah menambah nikmat sebaliknya sifat ingkar dan tidak bersyukur Allah janjikan azab yang pedih. Antara nikmat-nikmat yang Allah akan tambah ialah nikmat kekayaan, nikmat badan sihat, nikmat disenangi ramai dan nikmat hubungan baik dengan sanak saudara.
Menyambung silaturrahim
Sanak saudara adalah penyambung nasap kepada ibu bapa kita. Berbuat baik dengan sanak saudara dan menghubungi mereka adalah amalan yang akan melapangkan rezki. Sikap mesra dan baik hati akan membuat mereka mendoakan kejayaan kita dunia dan akhirat. Nabi SAW bersabda yang bermaksud;
"Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak saudaranya" (H.R. Bukhari )
Lebih ramai kita kenali dan berhubung maka lebih luas talian hubungan kita. Melalui mereka mungkin Allah salurkan peluang-peluang rezki yang tidak kita sangka-sangka.
Demikianlah sebahgian amalan-amalan yang boleh menarik rezki terutamanya rezki yang diberkati Allah. Walaubagaimana pun janganlah beramal untuk tujuan mengejar rezki. Beramallah demi mencari reda Nya.